Setiap perintah Allah sama ada yang berupa suruhan ataupun larangan, mengandungi tujuan bagi kebaikan hamba itu sendiri. Begitu juga halnya dengan perintah berpuasa yang sedang kita kerjakan adalah ibadat yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas umat Islam. Natijah dari puasa itu akan melahirkan insan yang bertaqwa.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 183 :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya bertaqwa.
Ibadat puasa selain daripada mempunyai fadhilat-fadhilat serta ganjaran pahala yang besar di sisi Allah, ia juga mempunyai hikmah bagi sesiapa yang berpuasa antaranya :
i. Dapat memberikan pengaruh positif iaitu kesihatan tubuh badan di samping mencergaskan fikiran.
ii. Puasa yang teratur boleh mendatangkan kesihatan yang stabil dan dapat memperbaiki sistem daya tahan badan.
Kerana itulah, Rasulullah ﷺ sangat menganjurkan umatnya supaya berpuasa agar sihat sepertimana sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabarani dari Abu Hurairah dia berkata, bersabda Rasulullah ﷺ :
صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا
Maksudnya :
Berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya.
Hadits ini memberikan penjelasan bahawa Ramadhan adalah bulan penuh rahmat. Selain kita mendapat pahala dari ibadat berpuasa, ia juga sangat bermanfaat bagi tubuh badan terutama pada kesihatan kita.
Memang ada kebenarannya kerana kebanyakan penyakit selalu dikaitkan dengan amalan pemakanan. Dalam erti kata lain, perut merupakan sumber utama penyebab penyakit. Jadi, amalan pemakanan perlu dikawal kerana tanpa pengawalan yang seimbang boleh mendatangkan kemudharatan kepada system tubuh badan. Dan satu-satunya cara bagi mengawal amalan pemakanan yang berlebih-lebihan atau tidak teratur ialah dengan puasa. Ini kerana melalui puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadaman, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya.
Menurut Imam al-Ghazali, bahawa puasa merupakan pembersih setiap jiwa, sebagai Latihan bagi tubuh, memberi manfaat perlindungan bagi setiap individu dan jamaah, dan dalam keadaan lapar dapat mesucikan hati dan mencerahkan penglihatan mata hati, Adapun keadaan kenyang dapt mewarisi kekerasan jiwa dan membutakan hati, kerana itu hidupkanlah hati kalian dengan sedikit ketawa dan kenyang, dan bersihkanlah dengan berlapar-lapar sehingga menjadi suci dan memiliki kelembutan.
Ibadat puasa dapat memberikan manfaat kepada kesihatan, antaranya ialah :
i.
Puasa
merupakan satu kaedah yang paling sempurna untuk mengimbangi kesihatan tubuh
badan dan untuk menghindari dari segala penyakit. Puasa sebenarnya bertindak
menghancurkan sisa-sisa racun dan toksik dalam darah manusia. Di samping itu,
puasa juga boleh membersihkan segala kotoran dalam badan dan memberi kesegaran
pada otot-otot dan membuat kita sihat, segar dan bertenaga.
ii. Pakar-pakar perubatan juga bersetuju menyatakan bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit. Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun di dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain.
iii. Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan yang berkumpul dalam tubuh akan membuatkan seperti orang sakit, memberatkan tubuh, dan mengurangkan daya tahan. Apabila berpuasa, maka berat badan menurun dan racun-racun terurai daripada tubuh dan keluar, sehingga tubuh menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel dalam badan akan kembali baik.
iv. Menurut kajian para pakar, di antara kesan-kesan kesihatan daripada berpuasa ialah :
· Merehatkan tubuh dan memperbaiki saraf. Menyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.
· Memperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.
· Mengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.
· Mengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit.
· Mengembalikan keremajaan dan vitality sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.
· Menguatkan indera dan meningkatkan IQ.
· Memperelok dan membersihkan kulit.
Sehubungan dengan fungsi puasa sebagai terapi kesihatan, para pakar telah menggariskan empat faedah bila berpuasa iaitu;
Pertama : Dengan berpuasa, cecair lemak di dalam darah akan menurun di mana sel darah putih dan tisu yang beroksigen berfungsi lebih berkesan.
Kedua : Beban system imunisasi akan berkurangan dan system penghadaman bebas dari inflamasi apabila tidak alahan kepada makanan tertentu.
Ketiga : Penurunan gula dalam darah semasa berpuasa, akan merangsang hormone pengeluaran zat-zat yang boleh membantu seseorang lebih focus kepada sesuatu pekerjaan
Keempat : Berlaku pengurangan pengumpulan bahan toksin daripada makanan dan sebaliknya toksin yang sedia ada akan dikeluarkan.
Maka dalam bulan Ramadhan ini, kita tidak boleh mengambil kesempatan untuk kita rehat atau memperbanyakkan tidur berbanding bulan-bulan lain, malah sepatutnya pada bulan inilah umat Islam sepatutnya menjadi lebih berupaya dan rajin terutamanya dalam melakukan ibadat dengan mengamalkan kebajikan seperti membaca al-Qur’an, bersedekah, bertarawih dan sebagainya.
Dipetik dari buku Ramadhan Bulan Meraih Taqwa. Terbitan Pusat Da’wah Islamiah.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan