Saturday, June 26, 2021

Buruk Baik Bermula dengan Niat

 

Dalam sebuah hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin al-khattab Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah  bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan rasulNya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan rasulNya. Dan siapa yang hijrahnya kerana menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (seperti apa) yang dia niatkan.”

Niat itu bermula dari hati dan pemikiran. Jika setiap perlakuan itu bermula dengan niat yang baik, In sya Allah perilaku akan membawa kepada kebaikan dan Allah Subhanahu wa Ta’ala memudahkan perkara yang baik. Namun jika perlakuan itu bermula dengan niat yang buruk, maka ianya akan membawa kepada keburukan.

Niat itu satu pendorong atau penggerak yang ada dalam diri seseorang. Tanpa niat, tidak akan wujud satu semangat atau dorongan untuk melakukan suatu perkara. Niat juga sebagai alasan untuk melakukan suatu hal dan setentunya ia ada niat yang baik dan buruk. Niat yang baik akan mencipta perilaku yang baik, begitu juga sebaliknya.Niat baik itu untuk alasan melakukan suatu perkara dengan tujuan yang baik seperti beribadah dengan niat untuk mematuhi perintah dan mendekatkan diri   kepada   Allah   Subhanahu    wa    Ta’ala,  bekerja  untuk  memberi  nafkah  kepada     keluarga,     mencari     ilmu     untuk   menambah   pengetahuan   dan   meluaskan  pemikiran,  bertujuan  untuk  membantu   orang   yang   lemah   dan   sebagainya.

Setiap   niat   yang   baik   serta   diiringi   dengan  taqwa  dan  keimanan  kepada  Allah Subhanahu   wa   Ta’ala,   akan   dibalas     dengan     masuk     syurga.     Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh   Imam   Muslim,   daripada   Abu      Ayyub berkata:

“Seorang  laki-laki  menghampiri  Nabi    dan    berkata: “Tunjukkanlah     kepadaku     suatu  amalan  jika  aku  kerjakan  dapat  mendekatkanku     dari syurga     dan     menjauhkanku dari neraka?” Baginda bersabda:      “Engkau      menyembah      Allah        tanpa        menyekutukanNya        dengan  sesuatu  apa  pun,  mendirikan  sembahyang,      menunaikan      zakat,      menyambung     silaturrahim     dengan     sanak kerabatmu.” Ketika dia beranjak pergi, Rasulullah bersabda:  “Jika  dia  berpegang  teguh  dengan  apa  yang  diperintahkan  kepadanya  nescaya  dia  akan  masuk  syurga.” Jelasnya,  apa   sahaja   perkara   yang   dilakukan  dengan  niat  yang  baik,  in sya Allah akan dibalas dengan syurga, suatu  tempat  yang  semua  umat  Islam  inginkan  kerana  di  dalamnya  penuh  dengan kenikmatan tanpa ada kesulitan dan   kesukaran   sebagaimana   hadits   yang  diriwayatkan  oleh  Imam  Muslim,  daripada   Abu   Hurairah   Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:

“Barangsiapa  masuk  syurga,  ia  akan  selalu    mendapatkan    ni’mat,    tidak    pernah   mengalami   kesulitan,   tidak   rosak pakaiannya dan tidak akan habis masa mudanya.”

Adapun  niat  buruk  itu  untuk  alasan  melakukan     suatu     perkara     yang     memberikan  kerugian  dan  kebinasaan  bagi   diri   sendiri   seperti   beribadah   hanya  kerana  ingin  menunjuk-nunjuk,  membinasakan    orang    lain    kerana dendam,    membantu    orang    kerana    riya’,    sentiasa    memburukkan    jiran    tetangganya, menuntut ilmu yang tidak baik  demi  kepuasan  diri  sendiri  dan  merosakkan  orang  lain  serta  banyak  lagi  yang  akhirnya  membawa  kepada  kemudharatan dan keburukan terhadap diri sendiri dan orang lain.

Oleh  itu  setiap  perkara  yang  dimulai  dengan niat yang buruk tidak membawa keuntungan    dan    kebaikan,    malah    memudharatkan   dan   merugikan   diri   sendiri  serta  lebih  kepada  mendapat  dosa.   Ketahuilah   bahawa   dosa   itu   mengundang kepada pintu neraka.

Begitulah akibat (balasan) perilaku atau perbuatan yang dilakukan dengan niat yang baik atau buruk. Setiap perkara itu akan dihitung oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala  sama  ada  akan  diberikan  pahala  mahupun  dosa  tertakluk  kepada  permulaan niat seseorang.

Selalu berniat baik dalam satu perkara tidak kira kecil mahupun besar akan diberi ganjaran oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, manakala perkara  yang  dimulakan  niat  yang  jahat  akan  diberi  azab  serta  balasan  yang  kurang menyenangkan malah kebinasaan akan menimpa.

Oleh itu jagalah hati dan niat itu kerana setiap kebaikan itu dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala, malah sebaliknya akan dijauhi daripadaNya.

 

 

Petikan dari Majalah al-Huda, PDI.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan