Thursday, June 03, 2021

SALING BERMAAFAN DAN MENJAGA BAIK HUBUNGAN SILATURRAHIM DI BULAN SYAWAL

  

 


Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Hujuraat ayat 10 yang tafsirnya:

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Kini, kita menyambut Aidilfitri iaitu bulan kemenangan umat Islam setelah selesai mengerjakan ibadah puasa selama tiga puluh hari di bulan Ramadhan. Pada bulan Syawal yang mulia ini,  sudah menjadi budaya kepada masyarakat kita dengan amal ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, dan mengukuhkan lagi silaturrahim sesama kita. Bulan Syawal menguatkan lagi ketaqwaan jiwa yang telah diisi dengan amal ibadat di bulan Ramadhan. Dengan hati dan jiwa yang tenang, kita bergembira melihat keluarga dan teman kita suka untuk memaafkan. Kita pula tidak merasa angkuh untuk meminta dimaafkan kerana Ramadhan telah mendidik hati kita untuk menjadi hamba yang bersyukur dan rendah diri mampu melembutkan jiwa bersama nafsu berserta kesabaran yang tinggi. Di bulan Syawal pula, peluang untuk kita mengukuhkan lagi kasih sayang sesama kita dengan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan dengan hati yang tenang dan gembira. Ikhlas bermaafan dan memaafkan di bulan Syawal menjadikan kita insan yang lebih sempurna di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala dan memperbaiki hubungan kita sesama insan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-cerai dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara  hati kamu (dengan nikmat agama Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmatnya itu (orang-orang Islam yang) bersaudara.”

Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia kerana akibat memutuskan silaturrahim itu besar risikonya yang berkemungkinan berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri, hatta perkelahian antara sesama anak atau jiran tetangga pun juga boleh menyebabkan terputusnya hubungan silaturrahim yang saling menyalahkan di antara satu sama yang lain.

Tidak rugi pun jika kita bermaaf-maafan, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Janganlah kerana keangkuhan yang ada di dalam diri menjadikan hubungan kekeluargaan itu porak peranda. Air dicincang itu tidak akan putus. Jika sesama keluarga pun tidak bertegur sapa, bermasam muka apa akan jadi dalam sebuah perhubungan kekeluargaan itu? Hubungan silaturrahim ini perlu dijaga bukan di kalangan ahli keluarga sahaja malah juga perlu di antara sahabat handai. Oleh itu, binalah ikatan silaturrahim sesama insan dan saling bermaaf-maafan dalam apa jua kesempatan, seperti pada hari raya merupakan kesempatan yang baik untuk saling bermaaf-maafan dan memulakan hubungan yang mesra tetapi menunggu hari raya mengambil masa yang lama, oleh itu carilah peluang dan kesempatan yang sesuai pada bila-bila masa sebagai satu permulaan untuk memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala  dalam surah al-Anfaal ayat 1 yang tafsirnya:

“Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan antara kamu dan ta’atlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu orang beriman.”

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan