Tuesday, May 23, 2023

KAWAL KEMARAHAN

 


بسم الله الرحمن الرحيم

Suatu ketika, Rasulullah bertanya kepada para sahabat baginda, “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawaban. Rasulullah lalu berkata : “ Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.”

(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Sebagai hamba Allah dan makhlukNya yang lemah, marah itu adalah antara fitrah manusia. Bahkan susah mengawal amarah itu juga sesuatu yang normal. Namun seseorang yang tidak mampu mengawal marah itu pasti akan memiliki banyak kekesalan. 

Ini adalah disebabkan kerana kewarasan untuk berfikir sewaktu marah itu tidak stabil sehingga waktu marah kita terus sahaja meluahkan kata-kata kesat atau buku lima tanpa berfikir dua kali sehinggakan melukakan hati orang sekeliling kita.

Namun Islam itu indah dan dalam Islam itu terdapat hidayah dan petunjuk. Demikian adalah tips-tips untuk mengawal marah:

1.       Berwudhu’

Berwudhu’ merupakan salah satu cara efektif untuk menghilangkan perasaan marah. Marah itu diumpamakan sebagai api yang membara manakala wudhu’ itu pula adalah air sejuk pemadam kepanasan. Berwudhu’ ketika marah adalah antara anjuran Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sepertimana dalam hadits Riwayat Imam Abu Daud, sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam:

“Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api, apabila kamu marah maka hendaklah dia mengambil wudhu’.”

2.       Menukar posisi tubuh badan.

Apabila kita marah dalam keadaan berdiri eloklah kita duduk untuk meredhakan kemarahan kita itu. Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah bersabda :

“Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring.”

(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

3.       Membaca Al-Qur’an dan doa-doa.

Jika Umar al-Khattab mampu lembut hatinya ketika mendengar adiknya Fatimah membaca al-Qur’an, apalah tandingannya hati kita dengan khalifah berani itu? Ambillah wudhu’ kemudian bacalah al-Qur’an. Panjatkan doa agar hati yang membara itu tenang bagaikan tiada apa yang terjadi.

Antara doa untuk menghilangkan rasa marah :

اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي ذَنْبِي وَاذْهِبْ غَيْظَ قَلْبِي وَاَجِرْنِي مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya:

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan selamatkanlah aku daripada kejahatan syaitan.

4.       Berdiam diri apabila marah.

Bak kata orang diam itu lebih baik. Walaupun agak susah, sebaiknya itulah yang kita cuba lakukan agar kita tidak lebih terlanjur lagi mengucapkan kata-kata kosong yang tidak menyenangkan hati.

Menurut hadits Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.”

5.       Cuba memaafkan dan redha.

Walaupun sakit hati, sebaliknya kita cuba untuk memaafkan dan seterusnya meredhakan saja hati yang terguris itu kerana Allah berfirman di dalam Surah at-Thagabun ayat 14 yang tafsirnya:

“Dan jika kamu memaafkan dan membiarkan (melupakan kesalahan) mereka serta mengampuni mereka maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

Rasulullah juga menjanjikan balasan yang baik ketika di akhirat bagi mereka yang menahan marahnya.

Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam at-Tirmidzi, Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Siapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu untuk melepaskannya, Allah akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari yang disukainya di syurga.”


 

 

Wednesday, May 10, 2023

SEDEKAH

 بسم الله الرحمن الرحيم

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Adi bin Hatim, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang berkemampuan untuk melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan hanya bersedekah sebelah buah tamar, hendaklah dia melakukannya.”

Dalam hadits di atas Baginda menegaskan bersedekah dengan hanya sebelah buah tamar boleh menghalang orang mu’min daripada terkena azab api neraka. Ia juga boleh menjadi benteng dan pelindung kepada orang mu’min daripada kepanasan api neraka.

Harta adalah ni’mat paling berharga dalam kehidupan di dunia ini. Orang yang bersyukur dengan ni’mat Allah tentunya akan membelanjakan sebahagian harta yang dikurniakan dengan bersedekah ke jalan yang diredhaiNya. Ini termasuk memberi makan fakir miskin, membantu sesama umat untuk membantu syiar dan meninggikan lagi kalimahnya.

Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Qur’an dan hadits. Jika kita amat-amati ayat al-Qur’an berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 261:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ 

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya, keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta. Sedekah mengundang Rahmat dan menjadi sebab Allah Subhanahu Wa Ta’ala membuka pintu rezeki.

Bagi orang yang tidak mempunyai wang dan harta yang banyak untuk dilaburkan dalam amalan sedekah maka hendaklah mengambil peluang melakukan apa saja perlakuan dan pertuturan yang berunsur sedekah. Manakala bagi mereka yang dilimpahi Rahmat Allah dnegan kurniaan harta dan wang ringgit yang banyak maka berusahalah mendidik hati agar tidak bersifat kedekut. Keluarkan sebahagian daripadanya untuk dijadikan amalan sedekah.

Walau bagaimanapun apa sahaja bentuk sedekah yang diberikan, yang amat penting adalah kejujuran dan keikhlasan. Ini kerana sifat itulah yang mula-mula dinilai Allah dalam memberi ganjaran pahala kepada hambaNya.