بسم الله الرحمن الرحيم
Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Adi bin Hatim, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang berkemampuan untuk melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan hanya bersedekah sebelah buah tamar, hendaklah dia melakukannya.”
Dalam hadits di atas Baginda menegaskan bersedekah dengan hanya sebelah buah tamar boleh menghalang orang mu’min daripada terkena azab api neraka. Ia juga boleh menjadi benteng dan pelindung kepada orang mu’min daripada kepanasan api neraka.
Harta adalah ni’mat paling berharga dalam kehidupan di dunia ini. Orang yang bersyukur dengan ni’mat Allah tentunya akan membelanjakan sebahagian harta yang dikurniakan dengan bersedekah ke jalan yang diredhaiNya. Ini termasuk memberi makan fakir miskin, membantu sesama umat untuk membantu syiar dan meninggikan lagi kalimahnya.
Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Qur’an dan hadits. Jika kita amat-amati ayat al-Qur’an berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 261:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya, keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta. Sedekah mengundang Rahmat dan menjadi sebab Allah Subhanahu Wa Ta’ala membuka pintu rezeki.
Bagi orang yang tidak mempunyai wang dan harta yang banyak untuk dilaburkan dalam amalan sedekah maka hendaklah mengambil peluang melakukan apa saja perlakuan dan pertuturan yang berunsur sedekah. Manakala bagi mereka yang dilimpahi Rahmat Allah dnegan kurniaan harta dan wang ringgit yang banyak maka berusahalah mendidik hati agar tidak bersifat kedekut. Keluarkan sebahagian daripadanya untuk dijadikan amalan sedekah.
Walau bagaimanapun apa sahaja bentuk sedekah yang diberikan, yang amat penting adalah kejujuran dan keikhlasan. Ini kerana sifat itulah yang mula-mula dinilai Allah dalam memberi ganjaran pahala kepada hambaNya.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan