بسم الله الرحمن الرحيم
Suatu ketika, Rasulullah bertanya kepada para sahabat baginda, “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawaban. Rasulullah lalu berkata : “ Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Sebagai hamba Allah dan makhlukNya yang lemah, marah itu adalah antara fitrah manusia. Bahkan susah mengawal amarah itu juga sesuatu yang normal. Namun seseorang yang tidak mampu mengawal marah itu pasti akan memiliki banyak kekesalan.
Ini adalah disebabkan kerana kewarasan untuk berfikir sewaktu marah itu tidak stabil sehingga waktu marah kita terus sahaja meluahkan kata-kata kesat atau buku lima tanpa berfikir dua kali sehinggakan melukakan hati orang sekeliling kita.Namun Islam itu indah dan dalam Islam itu terdapat hidayah dan petunjuk. Demikian adalah tips-tips untuk mengawal marah:
1. Berwudhu’
Berwudhu’ merupakan salah satu cara efektif untuk menghilangkan perasaan marah. Marah itu diumpamakan sebagai api yang membara manakala wudhu’ itu pula adalah air sejuk pemadam kepanasan. Berwudhu’ ketika marah adalah antara anjuran Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sepertimana dalam hadits Riwayat Imam Abu Daud, sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam:
“Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api, apabila kamu marah maka hendaklah dia mengambil wudhu’.”
2. Menukar posisi tubuh badan.
Apabila kita marah dalam keadaan berdiri eloklah kita duduk untuk meredhakan kemarahan kita itu. Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah bersabda :
“Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
3. Membaca Al-Qur’an dan doa-doa.
Jika Umar al-Khattab mampu lembut hatinya ketika mendengar adiknya Fatimah membaca al-Qur’an, apalah tandingannya hati kita dengan khalifah berani itu? Ambillah wudhu’ kemudian bacalah al-Qur’an. Panjatkan doa agar hati yang membara itu tenang bagaikan tiada apa yang terjadi.
Antara doa untuk menghilangkan rasa marah :
اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي ذَنْبِي وَاذْهِبْ غَيْظَ قَلْبِي وَاَجِرْنِي مِنَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya:
Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan selamatkanlah aku daripada kejahatan syaitan.
4. Berdiam diri apabila marah.
Bak kata orang diam itu lebih baik. Walaupun agak susah, sebaiknya itulah yang kita cuba lakukan agar kita tidak lebih terlanjur lagi mengucapkan kata-kata kosong yang tidak menyenangkan hati.
Menurut hadits Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.”
5. Cuba memaafkan dan redha.
Walaupun sakit hati, sebaliknya kita cuba untuk memaafkan dan seterusnya meredhakan saja hati yang terguris itu kerana Allah berfirman di dalam Surah at-Thagabun ayat 14 yang tafsirnya:
“Dan jika kamu memaafkan dan membiarkan (melupakan kesalahan) mereka serta mengampuni mereka maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”
Rasulullah juga menjanjikan balasan yang baik ketika di akhirat bagi mereka yang menahan marahnya.
Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam at-Tirmidzi, Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud :
“Siapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu untuk melepaskannya, Allah akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari yang disukainya di syurga.”
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan