بسم الله الرحمن الرحيم
Kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam
merupakan peristiwa yang tiada bandingannya dalam Sejarah umat manusia kerana
kehadiran baginda telah membuka zaman baru dalam Pembangunan peradaban dunia
bahkan pembawa rahmat bagi sekalian makhluk di muka bumi ini.
Baginda merupakan contoh individu yang mempunyai potensi
yang sangat besar sehinggakan seorang penulis Barat, Michael H.Hart menyatakan
dalam bukunya yang bertajuk “100 Tokoh Individu Yang Paling Berpengaruh Di
Dunia” telah meletakkan nama baginda pada kedudukan yang pertama di antara
serratus tokoh yang disenaraikan. Ini kerana baginda merupakan satu-satunya
manusia yang memiliki kejayaan yang paling hebat di dalam dua bidang sekali gus
iaitu ukhrawi dan duniawi.
Kejayaan baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam
sememangnya telah banyak dibahaskan oleh para Sejarah sama ada ahli Sejarah
Islam mahupun Barat. Salah satu sisi kejayaan baginda adalah kegiatan baginda
sebagai seorang pedagang (peniaga) namun kehidupan baginda sebagai pedagang
(peniaga) ini kurang mendapat perhatian di kalangan ulama.
Sejarah Awal
Sejak zaman kanak-kanak hingga mencecah usia dewasa, baginda
dikenali oleh Masyarakat sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang luhur.
Ketinggian akhlak baginda membuatkan bangsa Arab khususnya kaum Quraisy merasa
kagum. Dalam catatan Sejarah telah menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu
‘alaihi wa sallam ketika berumur lapan tahun, baginda tinggal bersama bapa
saudaranya Abu Thalib selepas kematian datuk dan ibunya. Abu Thalib merupakan
ketua suku bani Hashim dan hidup dalam keadaan sederhana. Justeru, Nabi
Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam mula belajar hidup berdikari dengan
mengembala kambing di padang pasir dan ketika berusia dua belas tahun, buat
pertama kalinya baginda mengikut bapa saudaranya Abu Thalib yang merupakan
seorang saudagar untuk berdagang ke Syam.
Apabila telah dewasa, baginda mula menjalankan perdagangan
sendiri di Makkah kerana baginda sedar bahawa bapa saudara baginda mempunyai
tanggungan lain dan menyara sebuah keluarga yang besar. Oleh itu, Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wa sallam mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan
dan persendirian di Makkah dengan membeli barang-barang di sebuah pasar dan
menjualnya kepada orang lain.
Sebenarnya baginda telah memulakan kerjaya bidang dalam
perniagaan lebih awal berbanding perniagaan yang dijalankan baginda dengan
modal daripada isteri baginda Saiyidatina Khadijah. Perkara ini telah disahkan
oleh beberapa peristiwa yang berlaku yang menunjukkan bahawa baginda pernah
menjalankan perniagaan secara perkongsian dengan beberapa orang peniaga sebelum
terlibat dengan perniagaan Saiyidatina Khadijah.
Sejarah Perkembangan
Saiyidatina Khadijah merupakan seorang Wanita Makkah yang
sanagt kaya dan menjalankan perniagaan beliau melalui wakil-wakil beliau dalam
pelbagai bidang.Walaupun beliau mempunyai modal (harta) yang banyak tetapi
tidak dapat mengusahakannya sendiri. Justeru itu, beliau memerlukan seseorang
yang jujur dalam menjalankan perniagaannya dengan modal berkenaan. Ketika Abu
Thalib mencadangkan kepada beliau untuk
menjadikan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai orang yang boleh
dipercayai bagi menjalankan perniagaannya, cadangan itu disambut baik oleh Saiyidatina Khadijah.
Beliau mendapat tahu baginda Nabi Muhammad Shallallahu
‘alaihi wa sallam seorang yang rajin, sangat tekun bekerja, jujur, boleh
dipercayai dan boleh membawa keuntungan.Baginda juga diberikan gelaran al-Amin atau ash-Shiddiq
yang bererti orang yang dipercayai dan bagi Masyarakat Kota Makkah, tidak ada
orang yang boleh dipercayai lebih daripada baginda. Maka Saiyidatina Khadijah
telah melantik baginda untuk menjalankan
beberapa perdagangan ke beberapa buah pasar di utara dan Selatan Semenanjung Arab. Baginda dibayar
melalui hasil perniagaan sebagai upah dan kadang kala dibayar atas dasar untung
sebagai rakan perniagaan.
Pada usia 25 tahun, bermula dengan mengambil upah membawa
barang dagangan Saiyidatina Khadijah ke pasar Habsyah, baginda juga melakukan
banyak perjalanan perdagangan dengan modal beliau antaranya telah biasa
melakukan perjalanan perniagaan ke Kota Safa, Mushaqqar dan Hijar yang terletak
di Bahrain, Syam dan bahagian timur semenanjung Arab. Kesemua perjalanan
baginda ke negara-negara jiran ini adalah semata-mata kerana perdagangan dan
perniagaan.
Sebelum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkahwin
dengan Saiyidatina Khadijiah, baginda telah pergi berniaga ke Syam, Jurasalem,
Yaman dan tempat-tempat lain sebagai wakil perdagangan dan berjaya mendapat keuntungan
yang luar biasa untuk Saiyidatina Khadijah. Meskipun begitu, baginda tidak pernah
menyalahgunakan walau satu sen pun dari keuntungan perniagaan berkenaan.
Semasa berniaga di Negeri Syam, baginda dibantu oleh orang
suruhan Khadijah bernama Maisarah. Semasa berniaga, baginda menitik beratkan
sifat AMANAH, SENTIASA BENAR, BIJAKSANA dan SOPAN. Kejujuran, kesopanan dan
kebijaksanaan baginda membawa keuntungan yang besar. Pengalaman bersama baginda
ini diceritakan oleh Maisarah kepada Saiyidatina Khadijah yang menyebabkan
beliau semakin mengkagumi dan tertarik hati dengan baginda. Beliau kemudian
menghantar wakil untuk membawa hasratnya untuk bernikah dengan baginda melalui
Abu Thalib. Ketika itu baginda berusia 25 tahun manakala Saiyidatina Khadijah
berusia 40 tahun. Rasululah Shallallahu ‘alaihi wa sallam tetap meneruskan
perniagaan perdagangan baginda seperti biasa walaupun setelah berkahwin dengan
Saiyidatina Khadijah tetapi kini baginda menjadi pengurus dan rakan perniagaan
isteri baginda. Baginda telah menjelajah ke serata pasar dan pusat perdagangan
yang diadakan dalam dan luar negeri seperti Yaman, Bahrain, Iraq dan Syam.
Namun ketika berusia lewat tiga puluhan, baginda lebih
cenderung bertafakkur dan beribadat. Baginda sering ke Gua Hira (terletak di
Jabal Nur) selama berhari-hari dan berminggu-minggu untuk tujuan demikian.
Walau bagaimanapun baginda masih menjalankan urusan perniagaan sebelum dan selepas
kerasulan baginda.
Kesimpulan
Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan
ikon usahawan dan peniaga yang Berjaya. Perkara ini dapat dilihat melalui sirah
kehidupan baginda iaitu sikap berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain
serta kecerdasan pemikiran dan kemuliaan
sikap yang baginda miliki yang membawa kepada kemajuan perniagaan yang baginda
telah usahakan.
Bermula dengan tidak mempunyai modal untuk menjalankan
perniagaan sendiri, baginda berusaha berniaga kecil-kecilan dan bersendirian di
Makkah. Baginda pernah menyertai pernigaan
secara perkongsian dan juga pernah menjadi pengurus perdagangan para
pelabur berdasarkan pembahagian hasil. Akhirnya baginda telah Berjaya meletakkan
diri baginda sebagai saudagar yang memiliki reputasi tinggi dengan penuh
ketulusan dan telah mencipta nama di kalangan Masyarakat peniaga khususnya dan
di kalangan kaum Quraisy amnya.
Sudah semestinya keperibadian baginda in menjadi contoh
ikutan dan khususunya bagi mereka yang
bergiat dalam bidang perniagaan. Ini kerana berniaga merupakan pekerjaan yang
mulia untuk mendapatkan sumber rezeki yang baik dan halal serta merupakan
sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam.