Wednesday, October 04, 2023

NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM PERINTIS USAHAWAN & PERNIAGAAN ISLAM


بسم الله الرحمن الرحيم

Kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan peristiwa yang tiada bandingannya dalam Sejarah umat manusia kerana kehadiran baginda telah membuka zaman baru dalam Pembangunan peradaban dunia bahkan pembawa rahmat bagi sekalian makhluk di muka bumi ini.

Baginda merupakan contoh individu yang mempunyai potensi yang sangat besar sehinggakan seorang penulis Barat, Michael H.Hart menyatakan dalam bukunya yang bertajuk “100 Tokoh Individu Yang Paling Berpengaruh Di Dunia” telah meletakkan nama baginda pada kedudukan yang pertama di antara serratus tokoh yang disenaraikan. Ini kerana baginda merupakan satu-satunya manusia yang memiliki kejayaan yang paling hebat di dalam dua bidang sekali gus iaitu ukhrawi dan duniawi.

Kejayaan baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam sememangnya telah banyak dibahaskan oleh para Sejarah sama ada ahli Sejarah Islam mahupun Barat. Salah satu sisi kejayaan baginda adalah kegiatan baginda sebagai seorang pedagang (peniaga) namun kehidupan baginda sebagai pedagang (peniaga) ini kurang mendapat perhatian di kalangan ulama.

Sejarah Awal

Sejak zaman kanak-kanak hingga mencecah usia dewasa, baginda dikenali oleh Masyarakat sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang luhur. Ketinggian akhlak baginda membuatkan bangsa Arab khususnya kaum Quraisy merasa kagum. Dalam catatan Sejarah telah menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika berumur lapan tahun, baginda tinggal bersama bapa saudaranya Abu Thalib selepas kematian datuk dan ibunya. Abu Thalib merupakan ketua suku bani Hashim dan hidup dalam keadaan sederhana. Justeru, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam mula belajar hidup berdikari dengan mengembala kambing di padang pasir dan ketika berusia dua belas tahun, buat pertama kalinya baginda mengikut bapa saudaranya Abu Thalib yang merupakan seorang saudagar untuk berdagang ke Syam.

Apabila telah dewasa, baginda mula menjalankan perdagangan sendiri di Makkah kerana baginda sedar bahawa bapa saudara baginda mempunyai tanggungan lain dan menyara sebuah keluarga yang besar. Oleh itu, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan persendirian di Makkah dengan membeli barang-barang di sebuah pasar dan menjualnya kepada orang lain.

Sebenarnya baginda telah memulakan kerjaya bidang dalam perniagaan lebih awal berbanding perniagaan yang dijalankan baginda dengan modal daripada isteri baginda Saiyidatina Khadijah. Perkara ini telah disahkan oleh beberapa peristiwa yang berlaku yang menunjukkan bahawa baginda pernah menjalankan perniagaan secara perkongsian dengan beberapa orang peniaga sebelum terlibat dengan perniagaan Saiyidatina Khadijah.

Sejarah Perkembangan

Saiyidatina Khadijah merupakan seorang Wanita Makkah yang sanagt kaya dan menjalankan perniagaan beliau melalui wakil-wakil beliau dalam pelbagai bidang.Walaupun beliau mempunyai modal (harta) yang banyak tetapi tidak dapat mengusahakannya sendiri. Justeru itu, beliau memerlukan seseorang yang jujur dalam menjalankan perniagaannya dengan modal berkenaan. Ketika Abu Thalib mencadangkan  kepada beliau untuk menjadikan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai orang yang boleh dipercayai bagi menjalankan perniagaannya, cadangan  itu disambut baik oleh Saiyidatina Khadijah.

Beliau mendapat tahu baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam seorang yang rajin, sangat tekun bekerja, jujur, boleh dipercayai dan boleh membawa keuntungan.Baginda juga  diberikan gelaran al-Amin atau ash-Shiddiq yang bererti orang yang dipercayai dan bagi Masyarakat Kota Makkah, tidak ada orang yang boleh dipercayai lebih daripada baginda. Maka Saiyidatina Khadijah telah melantik baginda untuk menjalankan  beberapa perdagangan ke beberapa buah pasar di utara  dan Selatan Semenanjung Arab. Baginda dibayar melalui hasil perniagaan sebagai upah dan kadang kala dibayar atas dasar untung sebagai rakan perniagaan.

Pada usia 25 tahun, bermula dengan mengambil upah membawa barang dagangan Saiyidatina Khadijah ke pasar Habsyah, baginda juga melakukan banyak perjalanan perdagangan dengan modal beliau antaranya telah biasa melakukan perjalanan perniagaan ke Kota Safa, Mushaqqar dan Hijar yang terletak di Bahrain, Syam dan bahagian timur semenanjung Arab. Kesemua perjalanan baginda ke negara-negara jiran ini adalah semata-mata kerana perdagangan dan perniagaan.

Sebelum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkahwin dengan Saiyidatina Khadijiah, baginda telah pergi berniaga ke Syam, Jurasalem, Yaman dan tempat-tempat lain sebagai wakil perdagangan dan berjaya mendapat keuntungan yang luar biasa untuk Saiyidatina Khadijah. Meskipun begitu, baginda tidak pernah menyalahgunakan walau satu sen pun dari keuntungan perniagaan berkenaan.

Semasa berniaga di Negeri Syam, baginda dibantu oleh orang suruhan Khadijah bernama Maisarah. Semasa berniaga, baginda menitik beratkan sifat AMANAH, SENTIASA BENAR, BIJAKSANA dan SOPAN. Kejujuran, kesopanan dan kebijaksanaan baginda membawa keuntungan yang besar. Pengalaman bersama baginda ini diceritakan oleh Maisarah kepada Saiyidatina Khadijah yang menyebabkan beliau semakin mengkagumi dan tertarik hati dengan baginda. Beliau kemudian menghantar wakil untuk membawa hasratnya untuk bernikah dengan baginda melalui Abu Thalib. Ketika itu baginda berusia 25 tahun manakala Saiyidatina Khadijah berusia 40 tahun. Rasululah Shallallahu ‘alaihi wa sallam tetap meneruskan perniagaan perdagangan baginda seperti biasa walaupun setelah berkahwin dengan Saiyidatina Khadijah tetapi kini baginda menjadi pengurus dan rakan perniagaan isteri baginda. Baginda telah menjelajah ke serata pasar dan pusat perdagangan yang diadakan dalam dan luar negeri seperti Yaman, Bahrain, Iraq dan Syam.


Namun ketika berusia lewat tiga puluhan, baginda lebih cenderung bertafakkur dan beribadat. Baginda sering ke Gua Hira (terletak di Jabal Nur) selama berhari-hari dan berminggu-minggu untuk tujuan demikian. Walau bagaimanapun baginda masih menjalankan urusan perniagaan sebelum dan selepas kerasulan baginda.

Kesimpulan

Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan ikon usahawan dan peniaga yang Berjaya. Perkara ini dapat dilihat melalui sirah kehidupan baginda iaitu sikap berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain serta  kecerdasan pemikiran dan kemuliaan sikap yang baginda miliki yang membawa kepada kemajuan perniagaan yang baginda telah usahakan.

Bermula dengan tidak mempunyai modal untuk menjalankan perniagaan sendiri, baginda berusaha berniaga kecil-kecilan dan bersendirian di Makkah. Baginda pernah menyertai pernigaan  secara perkongsian dan juga pernah menjadi pengurus perdagangan para pelabur berdasarkan pembahagian hasil. Akhirnya baginda telah Berjaya meletakkan diri baginda sebagai saudagar yang memiliki reputasi tinggi dengan penuh ketulusan dan telah mencipta nama di kalangan Masyarakat peniaga khususnya dan di kalangan kaum Quraisy amnya.

Sudah semestinya keperibadian baginda in menjadi contoh ikutan dan khususunya  bagi mereka yang bergiat dalam bidang perniagaan. Ini kerana berniaga merupakan pekerjaan yang mulia untuk mendapatkan sumber rezeki yang baik dan halal serta merupakan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam.  

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan