Tuesday, October 31, 2023

QUDWAH DAN QIADAH TELADAN KEPIMPINAN

 



Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah ash-Shaff ayat 2-3

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ

Terjemahan Makna Ayat :

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukannya?

Sangat besar kebencian dan kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukannya.

Menurut Islam tugas kepimpinan itu adalah merangkumi semua tugas bersepadu. Segala sesuatu yang dilaksanakan oleh pemimpin adalah sentiasa terikat dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh Islam bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Nilai-nilai utama yang ditentukan oleh Islam bagi menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat, ialah pemimpin itu mestilah taat kepada Allah dan mencontohi kepimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam itu adalah contoh  pimpinan yang terbaik. Islam juga menghendaki seorang pemimipin itu berakhlak tinggi, berwibawa, sabar, tegas, bertanggungjawab, bijak merancang dan bijak melaksanakan tugas serta membuat apa yang dikatakannya.

Seorang pemimipin yang mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai kepimpinan yang dihuraikan di atas sudah setentunya dapat memberi kesan dan contoh teladan yang posiitf kepada orang-orang bawahan atau orang-orang yang dipimpinnya akan mencontohi dan mengamalkan contoh kepimpinan itu dan menjadi penggerak utama dan aspirasi kepada mereka untuk bergerak maju dan menyumbangkan khidmat bakti mereka ke jalan yang diredhai Allah demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 44:

۞أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ

Terjemahan Makna Ayat:

Adakah patut kamu menyuruh orang lain supaya mengerjakan kebajikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu menggunakan akal (untuk berfikir)?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا 

Terjemahan Makna Ayat :

Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari Akhirat serta   banyak berzikir mengingat Allah.

Kepimpinan melalui teladan dengan sifat-sifat baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang mulia seperti amanah, siddiq (benar), tabligh dan fathanah amat mempengaruhi masyarakat. Sifat dan peribadi yang baik seseorang pemimpin itu akan dikenang sampai bila-bila oleh orang-orang yang di bawah pemimpinnya.Perkara makruf akan bertambah dan perkara yang munkar berkurangan dan semakin hilang.

Kejayaan sesebuah organisasi berkait rapat dengan kualiti kepimpinan ketua organisasi. Oleh itu, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam sesebuah organisasi hendaklah membuat perubahan yang hasanah daripada mundur dan ke belakang menuju ke arah kecemerlangan dan maju jaya mengikut landasan yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 

 

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan