Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala
dalam surah al-Isra’ ayat 82:
“Dan Kami menurunkan daripada
al-Qur’an suatu penawar (bagi penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi
orang-orang yang beriman, dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada
orang-orang yang zalim (orang-orang kafir) selain kerugian.”
Ayat ini menjelaskan bahawa ayat –ayat
al-Qur’an itu mengandungi ubat dan rahmat bagi orang yag beriman. Syifa’
atau ubat yang terkandung dalam al-Qur’an al-Karim bersifat umum sama ada ia
ubat bagi sakit rohani ataupun jasmani. Inilah penawar yang berkesan untuk umat
Islam kerana al-Qur’an itu adalah kalam Allah Subhanahu wa Ta’ala yang
mengandungi kelebihan dan keagungan serta situasi kehidupan manusia di dunia
mahupun di akhirat malah tidak datang kepadanya apa-apa pun kebatilan.
Al-Qur’an adalah umpama makanan
bagi hati atau jiwa manusia. Penyakit-penyakit di dalam hati seperti kejahilan,
kesombongan, perasaan riya’, hasad dengki dan sebagainya boleh
disembuhkan dengan ayat al-Qur’an. Misalnya jika dihayati dan dibacakan dengan
ayat-ayat yang menjelaskan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa
Ta’ala, kita akan insaf bahawa kita ini hanya hamba yang sangat kerdil di sisi
Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka kita akan tunduk dan sentiasa muhasabah diri
demi memperbaiki lagi nilai-nilai akhlak yang mulia. Al-Qur’an akan menjadi
penyembuh sekaligus menjadi rahmat yang membawa kita kepada keimanan, memberi
hikmah dab melahirkan keinginan untuk mencari kebaikan.
Adapun di antara ayat al-Qur’an yang selalu dijadikan penawar adalah surah al-Fatihah yang mempunyai banyak fadhilat yang sangat besar,
kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengubati orang yang sakit dan gila dengan surah-surah tersebut.Selain itu, surah-surah tersebut juga berperanan sebagai pelindung dan kubu pemelihara. Inilah yang selalu diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam setiap malam sebelum baginda tidur.
Selain berubat dengan bacaan ayat-ayat al-Qur’an, makanan seperti kurma, air zamzam dan madu juga dipercayai mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan tubuh badan.
Sebagai umat Islam, kita hendaklah percaya dan yakin bahawa yang menyembuhkan segala penyakit itu hanyalah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kita hendaklah berdoa dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan tidak bergantung selain daripadaNya.
Tanpa dinafikan lagi, sebilangan orang berikhtiar menjumpai para ulama’ dan orang-orang yang alim untuk berubat, namun ada juga segelintir individu yang menjumpai bomoh
Begitu juga usaha untuk berubat
itu termasuk melalui perubatan moden. Ubat-ubatan dan perjumpaan-perjumpaan doctor
itu adalah sebagai satu medium usaha dan ikhtiar kita kepada Allah Subhanahu wa
Ta’ala.
Menurut ramai sarjana perubatan
dan juga ulama’ Islam, perubatan Islam tidak banyak bezanya dengan perubatan
moden dari segi amalannya. Walau bagaimanapun, perkara besar yang membezakan di
antara kedua-duanya adalah perubatan Islam berasaskan wahyu dan tauhid kepada
Allah. Manakala perbuatan moden hanya berteraskan kepada sains semata-mata.
Oleh itu, dalam kita berusaha
mencari penawar bagi mengubati dan merawat penyakit yang dihidapi, kita
hendaklah juga mementingkan cara kita berubat iaitu hendaklah ubat atau penawar
itu halal dan mengelakkan daripada syirik serta tidak melanggar batas dan syari’at
Islam. Begitu juga dari segi pengkonsumnian ubat, di mana ia akan menjadi tidak
bermanfaat jika dikonsumni dengan melebihi batas bahkan boleh menimbulkan
penyakit lain yang memudharatkan tubuh badan.
Namun kesembuhan itu tergantung
juga kepada izin Allah. Maka kita hendaklah
memperbanyakkan doa-doa dan mengamalkan ayat-ayat dari al-Qur’an atau doa-doa tertentu sebagai
jalan untuk sembuh daripada penyakit. Akan tetapi, sebahagian ulama’
berpendapat penyembuhan itu tidak akan berlaku kecuali bagi orang-orang yang
beriman.
Walau apapun ujian yang melanda
ingatlah bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa bersama kita selagi kita
ingat kepadaNya. Kita tidak pernah keseorangan dalam kehidupan ini kerana Allah itu dekat dengan kita jika kita
sentiasa mengingatiNya. Walau bagaimanapun orang yang membiarkan jiwanya terus
menerus dalam kegelapan adalah orang
yang menganiaya dirinya sendiri kerana mereka tidak mahu mengubat jiwa dengan
al-Qur’an.
Oleh yang demikian, kita
hendaklah mensyukuri ni’mat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu
wa Ta’ala dengan menjaga permakanan dan melakukan olahraga yang seimbang supaya kita boleh terus
meningkatkan amal ibadat kepadaNya.
Dipetik dari Majalah al-Huda, Terbitan Pusat Da'wah Islamiah.
Disediakan oleh: Dyg Qairunnisa binti Haji Jalil
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan