Wednesday, December 27, 2023

Shalawat Tafrijiyah



Salah satu bentuk sighah bacaan atau amalan bershalawat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang disusun oleh para ulama’ yang bersumber ijtihad atau ilham dari Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah Shalawat Tafirijiyah.

Tafrijiyah (تفريجية) bermaksud “terbuka sehingga menjadi lapang” atau “penyelesai masalah”. Shalawat Tafrijiyah juga dikenali sebagai Shalawat al-Kamilah (الكاملة) yang bermakna “sempurna, penuh dan lengkap”, dan juga disebut Shalawat an-Nariyah (النارية) bermakna “terkupas”.

Shalawat Tafrijiyah merupakan salah satu daripada shalawat yang dibaca sebagai doa serta tawassul dalam beribadah. Shalawat Tafrijiyah ini sering dibaca dan diamalkan bagi memohon agar dipermudahkan segala urusan, dihindari dari segala kesempitan, memohon agar diberikan husnul khatimah dan dimakbulkan hajat.

Tawassul Dalam Shalawat Tafrijiyah

Menurut majoriti ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah, tawassul adalah sebahagian daripada ajaran agama yang disyariatkan berdasarkan dalil-dalil dari al-Qur’an, hadits-hadits dan amalan yang diwarisi dari para ulama’.  Tawassul berasal dari perkataan ‘wasilah’ bermaksud ‘perantara’. Maka tawassul bererti memohon terhasilnya manfaat atau terhindar mudharat dengan permohonan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui perantara atau wasilah dengan menyebut nama Nabi atau wali.

Telah disebutkan dalam sebuah hadits khusus mengenai tawassul, iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitabnya Jami’at-Tirmidzi dari ‘Uthman bin Hanif Radhiallahu ‘anhu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajarkan doa ini:

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ

Maksudnya:

Ya Allah, sungguh aku memohon padaMu dan menghadap kepadaMu dengan (bertawassul pada) NabiMu Muhammad, Nabi yang membawa rahmat.

Melalui Shalawat Tafirjiyah ini, kita memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui berkat kemuliaan Baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam, seluruh ahli keluarga  dan para sahabatnya pada setiap detik, dan hembusan nafas bilangan setiap makhluk yang dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan disimpulkan dalam enam perkara:

        1.    Menghuraikan segala masalah yang terikat dan tersimpul.

        2.    Menyelesaikan segala kesukaran yang dihadapi.

        3.    Menunaikan segala hajat yang dipohon.

        4.    Menyampaikan segala impian dan cita-cita.

        5.    Memohon husnul khatimah pada akhir hayat.

    6.   Memohon rezeki yang melimpah ruah dari langit dengan turunnya hujan yang     

              menyuburkan tanah dan tanaman.

Faedah dan Kelebihan

Menurut Imam Jalaluddin as-Suyuthi Rahimahullah, terdapat 40 faedah shalawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di antara kebaikan pengamal Shalawat Tafrijiyah ini adalah:

    1.    Allah akan melenyapkan kesedihan, kesulitan serta bahaya yang menimpa dirinya.

   2.   Allah akan memudahkan segala urusan hidupnya.

 3.   Dipancarkan nur (cahaya) dalam hatinya dan juga ditinggikan martabatnya.

 4.   Suaranya didengari serta pandangan dan pendapatnya diterima ramai.

   5.   Dia dilindungi daripada segala bencana dan malapetaka.

   6.   Dia sentiasa dicintai oleh semua orang.

   7.   Segala yang dihajati akan dimakbulkan Allah.

   8.  Dimurahkan rezekinya, dijauhkan daripada kelaparan dan kemiskinan.

Berdasarkan penghuraian di atas, beberapa fadhilat dapat diperolehi bagi sesiapa yang membaca dan mengamalkan Shalawat Tafirjiyah ini, antaranya:

1.   Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 11 kali setiap hari, maka akan dilimpahkan rezeki yang luas, yang tidak putus-putus dan mencapai martabat yang tinggi.

2.  Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 41 kali, 100 kali atau lebih , maka dia akan terhindar dari segala kesulitan, kesusahan dan kesedihan, dipermudahkan urusannya duniawi dan ukhrawi, hatinya akan disinari cahaya, darjatnya akan ditinggikan, keadaannya akan diperbaiki, rezekinya akan diluaskan, pintu-pintu kebaikan akan dibukakan, kata-katanya akan terlaksana, akan terjaga dari segala hal yang tidak dikehendaki, terhindar dari kefakiran, akan dicintai manusia dan sebagainya.

3.  Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 313 kali, maka akan tersingkap segala rahsia, dan dia dapat melihat apa yang diingininya dan tercapai permintaannya.

4.   Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 1,000 kali, maka ia akan mendapatkan anugerah yang tidak dapat disifatkan dengan suatu sifat apapun, yang tidak pernah dilihat oleh pandangan mata, tidak pernah terdengar oleh telinga, yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia.

5. Sesiapa yang mengamalkannya sebanyak 4,444 kali, maka keinginannya akan tercapai dan permintaannya akan dikabulkan dengan segera sesuai dengan apa yang dimintanya.

6.  Shalawat Tafrijiyah yang lebih dikenali sebagai Shalawat an-Nariah di kalangan orang-orang Maghribi adalah merupakan shalawat yang terbukti mujarab untuk memohon hujan (istisqa’), atau menyembuhkan orang yang sakit, atau menghasilkan sesuatu yang diingini, atau menolak sesuatu yang menakutkan dengan cara berhimpun dalam satu majlis bagi membaca shalawat ini sebanyak 4,444 kali.

 Lafaz Shalawat Tafrijiyah



 Maksudnya:

Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu yang sempurna dan kesejahteraanMu yang penuh kepada  penghulu kami Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam. Semoga dengan berkat baginda semua kesulitan dapat dihilangkan, semua kesusahan dapat dilenyapkan, semua keperluan dapat dipenuhi, semua keinginan dan husnul khatimah dapat dicapai serta dicurahkan air hujan (rahmat) dengan berkat wajah (keperibadian) baginda yang mulia. Semoga rahmatMu dan kesejahteraanMu itu juga dilimpahkan kepada para keluarga dan sahabat baginda dalam setiap kerdipan mata (detik) dan hembusan nafas bahkan dengan sebanyak bilangan semua yang diketahui olehMu.

Petikan dari Majalah al-Huda, 2022

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan