Thursday, May 30, 2024

BERMEGAH YANG MELALAIKAN



Surah at-Takaatsur yang mengandungi lapan ayat ini diturunkan di Kota Makah (Makiyyah) dan merupakan surah ke-102. At-Takaatsur bermaksud memperbanyak. Surah ini dinamakan sebagai at-Takaatsur kerana pada permulaan surah ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menegur orang yang berlumba-lumba mendapatkan pangkat, kuasa, harta benda dan anak pinak sebanyak-banyaknya sehingga lalai dan lupa kepada amalan hari Akhirat.

Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Ibnu Buraidah mengatakan ayat ini turun berkenaan dengan dua kabilah Ansar iaitu Bani Haritsah dan Bani Harits yang saling membangga-banggakan diri dan bermegah-megahan tentang segala yang mereka miliki.

Salah satu daripada mereka berkata, “Adakah orang seperti si fulan dan si fulan dalam golongan kamu?” Begitu juga golongan yang lain menambah dengan kata-kata yang sama. Mereka bermegah antara orang-orang yang hidup daripada kalangan mereka.

“Sekarang marilah kita berangkat ke perkuburan!” Salah seorang daripada mereka berkata, “Adakah orang sehebat seperti si fulan dan si fulan di kuburan ini dalam golongan kamu?”

Mereka mengatakan perkara tersebut sambil menunjuk ke arah kuburan. Kata-kata megah dan bangga diri terus diungkapkan antara dua golongan ini. Maka pada saat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan ayat ini.

Surah ini mengecam sikap manusia yang lalai dan bermegah-megah dengan kelebihan harta, kuasa dan anak-pinak sehingga lupa kepada amalan akhirat. Mereka disibukkan dengan sifat  buruk mereka itu sehingga di akhir hayat pun mereka masih bersifat demikian.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan berulangkali bahawa manusia akan mengetahui dan menyaksikan balasan terhadap perbuatan mereka pada hari akhirat kelak.Ini merupakan satu peringatan bahawa manusia sepatutnya tidak memberi perhatian yang lebih kepada dunia dan mengabaikan kepentingan  agamanya kerana hukuman azab di akhirat kelak adalah amat dahsyat. Surah ini juga mengingatkan manusia bahawa mereka kelak akan ditanya dan dipertanggungjawabkan tentang bagaimana mereka menggunakan ni’mat kurniaan Allah yang mereka megahkan itu.

KEMEWAHAN JUGA ADALAH UJIAN

Agama Islam memandang harta itu sebagai kurnia, ni’mat sekaligus amanah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kemewahan harta  memang seringkali mendapat tempat yang terlalu tinggi dalam hati manusia sehinggakan terdapat segelintir manusia yang terlalu kabur dalam menghalalkan apa saja cara untuk mendapatkan harta kekayaan. Namun tidak kurang juga, orang yang terlalu boros dalam membelanjakan hartanya untuk kepentingan dirinya sendiri dan bakhil saat menggunakan harta tersebut di jalan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kemewahan harta, ketinggian pangkat sememangnya adalah ni’mat dan tanpa kita sedari juga ia adalah ujian yang melalaikan sehingga menjadikan kita hambaNya yang suka bermegah-megah. Sememangnya sifat bermegah-megah ini adalah sesuatu yang merosakkan hati dan perasaan, dan ia sesuatu yang melumpuhkan manusia daripada matlamat yang hakiki di dunia yang sementara ini.

Godaan harta itu memang kadangnya menyilaukan mata dan membutakan hati terutama bagi mereka yang lemah imannya dan kurang pengetahuan agamanya. Sehinggakan kerana melimpah ruahnya harta, ramai yang terjerumus dalam kehancuran di dunia dan kecelakaan di akhirat. Tanpa keteguhan iman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, harta akan membawa kesengsaraan bagi yang memilikinya.

Di dalam al-Qur’an ataupun hadits, tidak ada satu pun nas yang melarang orang Islam untuk mengumpul harta dan menjadi kaya. Akan tetapi, apa yang dilarang adalah bermewah-mewah dengan harta benda dan membiarkan jiwa dan hati menjadi hamba olehnya.

Kita perlu mencontohi salah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam iaitu ‘Abdurrahman bin ‘Auf Radhiallahu ‘anhu. Beliau adalah antara sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan terkenal dengan harta kekayaannya. Walaupun beliau seorang yang hartawa namun kemewahan ‘Abdurrahman bin ‘Auf sebagai seorang pedagang tidak menjadikannya lalai daripada menjadi hamba Allah yang beriman.

Namun sebaliknya beliau menangisi kekayaannya sehinggakan pada suatu hari, Abdurrahman bin ‘Auf menangis tersedu-sedu lalu ia ditanya orang apakah yang menyebabkan beliau menangis itu, lalu dijawabnya, “ Sesungguhnya Mas’ab adalah lebih baik daripadaku kerana ia meninggal dunia di zaman Rasulullah dan di waktu meninggal dunia ia tidak memiliki sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkusnya. Sesungguhnya Hamzah bin Mutallib adalah manusia lebih utama daripada saya padahal ia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Aku khuatir aku ini termasuk di antara orang-orang yang dipercepat untuk meni’mati kebahagiaan dunia fana inidan aku khuatir bahawa aku akan tersisih daripada para sahabat Nabi di akhirat kelak disebabkan aku mempunyai banyak harta.” Kekayaannya yang melimpah-limpah itu, tidak menghalangnya menjadi orang yang paling dermawan dalam mengorbankan harta kekayaannya di jalan Allah dan yang paling pemurah dalam berbuat kebajikan terhadap kaum fakir miskin.

HAK ORANG LAIN

Harta yang kita miliki bukanlah untuk bermegah-megah. Sama ada banyak atau sedikit jumlahnya bukanlah hak milik mutlak kita sepenuhnya kerana di dalamnya juga terdapat hak orang lain. Sebaiknya gunakanlah harta tersebut untuk menyumbang ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti bersedekah, berwakaf, membantu orang-orang yang lebih memerlukan seperti fakir miskin dan menyumbang ke tabung-tabung masjid atau kebajikan dan seumpamanya. Harta itu memang pada zahirnya mungkin berkurang tetapi pada hakikatnya, ianya banyak memberikan kebaikan kepada orang yang menghulurkan sedekah.

Kebaikan daripada berinfaq  di jalan Allah itu setentunya bakal diganti dengan  ganjaran dan kemurahan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana sedekah dan infaq itu adalah antara sebab utama datangnya keberkahan dan pembuka sumber rezeki. Sedangkan di akhirat, Allah akan memberi ganti dengan syurga bagi siapa berinfaq di jalanNya sepertimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Saba’ ayat 39 yang terjemahannya:

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku meluaskan kurnia rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya antara hamba-hambaNya dan menyempitkannya (kepada sesiapa yang dikehendakiNya), dan apa sahaja yang kamu belanjakan (untuk kebaikan) maka Allah akan menggantikannya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki.”

Ayat ini mengandungi perintah untuk bersedekah dalam kebaikan dan berinfaq di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika usia dan ilmu hanya ditanya ke mana dihabiskan, maka harta pula ditanya dari mana hasilnya dan untuk apa dibelanjakan.

Oleh itu, seorang mu’min tidak perlu takut untuk membelanjakan harta ke jalan Allah. Bahkan yang sepatutnya kita tidak perlu menunggu kaya untuk bersedekah kerana kadang-kadang harta yang banyak sebaliknya akan menjadikan hati kita menjadi terlalu sayang untuk menghulurkan.

WUJUDKAN SIFAT SYUKUR DAN QANA’AH

Untuk menghindari sifat bermegah-megah ini, kita patut mewujudkan dalam diri kita sifat syukur dan qana’ah. Qana’ah adalah buah kesyukuran yang membuat hati dan jiwa kita tenang. Ia membuatkan kita merasa cukup dengan semua rezeki yang telah dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta’ala sama ada banyak atau sedikit dan qana’ah ini juga sangat ditekankan oleh agama Islam. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alahi wa sallam sentiasa menganjurkan agar kita sentiasa bersifat qana’ah dalam kehidupan sepetimana sabdanya dalam hadits Imam at-Tirmidzi, yang bermaksud: “Sungguh beruntung orang yang Islam, memperoleh kecukupan rezeki dan dianugerahi sifat qana’ah atas segala pemberian.”

Imam al-Bukhari dan Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa sallam pernah bersabda:

“Bergembiralah dan carilah sesuatu yang dapat mengghairahkan kamu, tetapi demi Allah! Bukanlah kemiskinan dan kefakiran yang aku khuatirkan, tapi aku khuatir kalau dunia ini membentangkan segalanya di hadapanmu, kemudian kamu berlumba-lumba mengumpulkan kekayaan seperti mereka juga mencarinya kemudian kamu binasa kerana hartamu seperti yang pernah menimpa mereka.”

Oleh yang demikian, banyak manfaat yang diperolehi daripada sifat syukur dan qana’ah ini antaranya adalah ia boleh memperkuat iman, memperoleh kehidupan yang baik,menjaga dari perbuatan dosa, memperoleh kekayaan yang hakiki dan memperoleh kemuliaan. Sifat-sifat ini juga secara tidak langsung dapat membendung sifat tamak haloba, cemburu dan iri hari terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain. Dengan itu, seseorang itu akan merasa lapang dengan rezeki yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepadanya dan hilang rasa ternak terhadap apa yang tidak dapt dicapai olehnya.

Bersyukurlah dengan ni’mat yang Allah kurniakan kepada kita dan manfaatkanlah harta tersebut ke jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana ditakuti dengan kemegahan dan kelalaian kita terhadap harta, ni’mat tersebut akan ditarik balik daripada kita.

Justeru itu, apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala meluaskan rezeki hambaNya, janganlah pula kita menaikkan darjat dan taraf kehidupan untuk bermegah-megah, sebaliknya tingkatkanlah taraf amalan dan pemberian sedekah. Alangkah baiknya jika kekayaan harta kita itu juga setaraf dengan kekayaan taqwa dan keimanan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan pada masa yang sama juga memiliki jiwa yang sangat kaya dengan sifat-sifat terpuji serta akhlak mulia.

 

Petikan daripada Majalah al-Huda, Pusat Da’wah Islamiah


No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan