Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menciptakan manusia dengan sebaik kejadian dan menciptakannya dengan jenis yang berlainan iaitu lelaki dan perempuan serta hidup secara berpasang-pasangan dan seling perlu memerlukan. Begitulah halnya dalam kehidupan, manusia pertama yang diciptakan oleh Allah di muka bumi ini iaitu Nabi Adam ‘alaihissalam yang mana dalam kehidupan baginda diciptakan seorang perempuan iaitu Sayidatina Hawa sebagai pasangannya. Kemudian berterusan dan berkembanglah keturunan daripada keduanya dari jenis lelaki dan perempuan.
Walau bagaimanapun fitnah
kehidupan ini telah tercemar kerana terdapat umat Islam mengamalkan
sifat-sifat tercela atau keji dengan penyakit moral yang berlaku di zaman moden
ini iaitu kegemaran lelaki meniru kelakuan dan gerak-geri perempuan, dan
perempuan meniru kelakuan dan gerak-geri lelaki. Golongan ini diistilahkan
dengan panggilan ‘pondan’ dan ‘tomboy’.
Adapun isu ‘pondan’ dan ‘tomboy’
ini semakin menjadi-jadi dan amat menyedihkan serta memalukan. Apatah
lagi terdapat golongan belia kita iaitu belia muslim turut sama terjebak dalam
senario ini. Walaupun isu ini tidaklah begitu membimbangkan di negara kita
tetapi apa yang dikhuatiri ia akan menular menjadi ‘virus’ dan merebak
bagai kanser yang meresapi jiwa dan keseluruhan anggota badannya. Lebih-lebih
lagi secara sedar atau tidak, pertumbuhan golongan ini turut disertai oleh para
intelektual. Bahkan bagaikan satu kebanggaan pula bila mereka berada dalam
kelompok ‘eksklusif’.
Gambaran di atas tidak ubah
seperti zaman jahiliyah yang sedang berulang di mana semua orang bebas
melakukan dan melahirkan apa saja dengan sesuka hati. Tidak ada sekatan dan
larangan. Maka diturunkan al-Qur’an dan diutus junjungan agung kita Nabi
Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam .
Begitulah keadaannya dulu tapi
sekarang telah diturunkan al-Qur’an sebagai pedoman, masih ada lagi umat Islam
yang ‘sesat’ dari landasan agama Islam.
Golongan ‘pondan’ dan ‘tomboy’
tidak dapat disamakan atau dilabelkan sebagai khunsa. Walau bagaimanapun dengan
kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala, adakalanya didapati seseorang itu
dilahirkan denagn mempunyai dua alat kelamin iaitu kelamin lelaki dan perempuan
yang di dalam istilah fiqh dikenali
dengan nama ‘khunsa’.Dalam ajaran Islam telah menjelaskan, jantina khunsa
ini perlu ditentukan mengikut kecenderungannya dan alat mana yang lebih
berfungsi. Oleh itu, kekuatan minda biasanya menjadikan mereka boleh memilih ke
arah jantina yang lebih dominan.
Namun ta’rifan ‘pondan’ dan ‘tomboy’
ini berbeza dengan khunsa. Ini kerana golongan ini senghaja merubah
ciptaan tuhan yang esa iaitu dari lelaki kemudian ditransformasikan menjadi
perempuan atau dari perempuan kemudian ditransformasikan menjadi lelaki iaitu
melalui keadah pembedahan atau suntikan hormone. Apabila ditanya mengapa mereka
menjadi ‘pondan’ atau ‘tomboy’ di antara jawapan yang sering diberikan ialah
takdir, “dari kecil tidak dididik oleh ibu bapa dan tiada bantahan dengan
perubahan yang dilakukan.”
Antara faktor dalaman yang paling
banyak menyebabkan mereka menjadi begini ialah:
1. Kurangnya iman dan sedikitnya rasa takut kepada Allah.
2. Taqlid buta iaitu meniru-meniru perbuatan tanpa
memahami dan mengetahui apa yang dilakukannya serta tidak memikirkan manfaat
dan kemudharatannya.
3. Hasutan dan pengaruh dari rakan atau keadaan sekeliling
mereka (artis atau selebriti) sekalipun hal ini bertentangan dengan fitrah
peradaban manusia.
4. Kurang percaya kepada diri dan keupayaan mereka untuk
menarik perhatian orang sekililing, lalu menutup kekurangan itu dengan cara
menyertai mereka kepada keburukan iaitu menyerupai laki-laki atau perempuan
dalam perilaku, penampilan, berpakaian dan sebagainya.
Manakala beberapa faktor luaran
sama ada dari aspek persekitaran, masyarakat sekeliling dan sebagainya turut
menyumbangkan kepada berleluasannya golongan ini, antaranya ialah:
1. Kurangnya didikan. Umumnya, pendidikan yang baik akan menjadikan
seseorang itu insan yang berguna, manakala pendidikan yang salah akan
menyeretnya kepada berbagai penyimpangan yang bersifat negatif.
2. Pengaruh media massa dengan berbagai bentuk dan jenisnya, baik
yang dilihat, didengar atau melalui bacaan. Di dalamnya berkembang dan tersebar
pemikiran-pemikiran sesat dan mendorong mereka untuk melanggar norma agama dan
prinsip-prinsip kebenaran.
3. Bergaul dengan golongan yang rosak akhlak seperti mereka yang
digelar samsing. Di antara hal yang tidak diragukan lagi iaitu kawan
sepergaulan yang mempunyai pengaruh besar dalam peribadi seseorang baik positif
ataupun negatif. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam
yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu
yang bermaksud:
“Orang
laki-laki itu menurut agama temannya, maka hendaklah salah seorang kamu
memperhatikan orang yang dijadikannya teman.”
Walaupun ramai di kalangan
masyarakat mengetahui kewujudan golongan ini, tetapi sikap ambil lewa dan
“tidak ingin menjaga tepi kain orang” sering berlaku, memandang dengan sebelah
mata sahaja dan tidak menganggap ia sebagai satu tanggungjawap bersama bagi
membanterasnya. Justeru itu,kita hanya membiarkan saja kemungkaran demi
kemungkaran berlaku di depan mata kerana kita sendiri lemah untuk menghalang
dan tidak ambil peduli. Lebih-lebih lagi golongan ini tidak mendapat tantangan
dari mana-mana pihak sama ada dari keluarga sendiri mahupun kawan-kawan. Ada
segelintir ibu bapa yang membiarkan sahaja atas dasar sayangkan anak dan
kawan-kawan pula atas dasar tidak sampai hati untuk menegur dan melarang.
Maka tidak secara langsung
perkara seumpama ini disokong oleh ibu bapa dan kawan-kawan tetapi “sokong
bawa rebah” dan menjadikan golongan ini semakin lupa diri dan asal usul
mereka. Ternyata perbuatan ini merupakan sesuatu penyelewangan fitrah yang amat
buruk dan dahsyat.
Di samping itu ia memberi kesan
kepada individu itu sendiri di antaranya ialah mereka akan mendapat tohmahan
dan hinaan serta dipandang rendah dan sinis oleh orang sekeliling. Selain itu,
mereka tidak akan dihormati malah ada segelintir di kalangan masyarakat yang
tidak bertanggungjawab akan memperlakukan dengan sesuka hati.
Oleh itu, jika sikap masyarakat
kita mengambil ringan dan mudah sahaja terhadap kejadian maksiat dan
kemungkaran yang berleluasa di sekeliling mereka, maka bangsa dan negara akan
menghadapi krisis identiti dan belia kita akan terus hanyut di alam fantasi
kehidupan mereka. Ini sangat menakutkan apatah lagi belia muslim kita merupakan
tonggak harapan dan pucuk pimpinan di masa hadapan. Kecenderungan belia pada
perkara-perkara negatif akan memberi kesan buruk kepada masyarakat, bangsa dan
negara.
Perkara seperti ini tidak boleh
dipandang remeh kerana masalah kecelaruan jantina menghampiri ke lembah bahaya
dan semakin meruncing yang boleh mengancam pembangunan modal insan yang
sempurna. Akhirnya panggilan “Awang”pun tidak “Dayang”pun tidak dan kita akan
menghadapi masalah dari segi pergaulan dan batasan hukum yang telah
disyariatkan.
Dalam kontek Islam sebagai agama
yang suci dan luhur, golongan ini dianggap sebagai orang yang tidak amanah
dengan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika
seseorang itu dilahirkan sebagai lelaki, maka itu adalah satu amanah yang cukup
besar untuk diteruskan sebagai seorang lelaki yang normal yang bakal menjadi
khalifah (pemimpin). Khalifah bukan sahaja untuk memimpin keluarga atau
masyarakat, tetapi dalam skop yang lebih kecil iaitu khalifah kepada diri
sendiri. Tanggungjawab untuk memastikan
hala tuju dan perwatakan yang sempurna sebagai lelaki adalah satu amanah yang
cukup besar.
Oleh yang demikian, syari’at
Islam melarang keras, malah perbuatan ini dikutuk oleh Allah dan RasulNya.
Hadits riwayat Imam al-Bukhari, dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam
bersabda:
Telah melaknat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.
Dalam hadits riwayat Imam Ahmad juga menjelaskan
mengenai golongan ini iaitu daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
لَعَنَ
رَسُولُ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنِّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجَّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam mengutuk lelaki-lelaki yang menyerupai seperti wanita (pondan), dan
wanita-wanita yang berlagak seperti lelaki (tomboy).
Perbuatan seumpamanya berlaku di
zaman Nabi Luth seperti yang disebut di dalam al-Qur’an. Hampir keseluruhan
kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang iaitu melakukan hubungan kelamin
sesama jenis iaitu lelaki dengan lelaki yakni meningglkan perempuan.
Sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Naml ayat
54-55 yang terjemahannya:
“Dan (Kami juga telah mengutus) Nabi Luth, (ingatlah)
ketika dia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu melakukan perbuatan yang keji
sedangkan kamu mengetahui keburukannya?”
“Mengapa kamu mendatangi
laki-laki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan
perempuan? Sebenarnya kamu ialah kaum
yang bodoh.”
Nabi Luth telah menyeru mereka
untuk menghentikan perbuatan tersebut di samping menyampaikan seruan-seruan
Allah, tetapi mereka mengabaikannya malah mereka mengingkari kenabiannya.
Akhirnya, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan
dahsyat.
Allah Subhanahu wa Ta’ala
berfirman dalam Surah Hud ayat 82-83 yang terjemahannya:
“Maka apabila datang perintah Kami (untuk membinasakan
mereka), Kami menjadikan negeri kaum Nabi Luth itu yang di atas ke bawah
(diterbalikkan) dan Kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang
terbakar dengan bertubi-tubi.”
“(Batu-batu itu) diberi tanda
di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka) dan ia pula tidaklah jauh daripada
orang-orang yang zalim.”
Di dalam hadits riwayat Imam
Muslim, dari Abu Said, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang
bermaksud:
“Barangsiapa di antara kamu
yang melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya.
Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lisan. Dan jika tidak mampu, maka
hendaklah dengan hatinya, dan yang terakhir itu adalah selemah-lemah iman.”
Tips Dan Saranan kepada
mereka yang mahu kembali ke pangkal jalan dan mengubah diri kembali kepada fitrah
kejadian yang telah ditetapkan. Antaranya ialah:
1. Mengamalkan sifat-sifat terpuji adalah sebagai usaha bagi
mengukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana kebaikan yang
Allah beri kepada kita amat banyak. Hubungan baik manusia dengan Allah
Subhanahu wa Ta’ala bermula apabila kita memiliki I’tikad dan
kepercayaan yang benar terhadapnya. Keyakinan dan I’tikad terhadap Allah
hendaklah benar-benar ditanamkan di hati dan jiwa kita serta dibesarkan
daripada fahaman dan pengaruh negatif.
2. Melaksanakan konsep ‘al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu anil Munkar.’
Memberi Pendidikan dan penjelasan mengenai agama iaitu dengan menyuruh mereka
mentaati perintah Allah dan RasulNya dan mencegah mereka daripada berbuat dosa
dan maksiat.
3. Memilih teman yang baik dan wara’.
Selain itu, kerjasama dari
masyarakat untuk mengambil langkah-langkah agar dapat menjauhkan para belia
terutamanya golongan muda kita supaya menjauhkan diri dari tersasar ke lembah
keruntuhan moral. Antaranya ialah seperti berikut:
1. Memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak.
Peranan ibu bapa dalam mencorakkan si anak amat penting kerana didapati ada
sesetengah daripada ibu bapa memakaikan pakaian perempuan kepada anak lelaki
mereka, membeli aksesori perempuan untuk anak lelaki mereka, melayan anak
mereka seolah-olah anak mereka seorang anak perempuan.
Sepertimana
sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam hadits yang
diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu,
maksudnya; “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah
yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
2. Mengadakan aktiviti-aktiviti sihat dengan menyelitkan program
motivasi diri dan kaunseling. Peka pada pergolakan isu semasa dan menjauhkan
diri dari pengaruh-pengaruh negatif.
Secara amnya setiap perkara yang
kita lakukan mempunyai batasan tertentu. Sebagai manusia juga mempunyai batasan-batasan
dalam melakukan setiap perkara termasuklah batasan kita sebagai makhluk yang
telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Tidak dinafikan, sesungguhnya
manusia tidak dapt lari daripada melakukan dosa dan kesalahan. Oleh itu adalah menjadi
tanggungjawab kita sesama manusia untuk mencegah kemungkaran dan membantu
mereka yang terlibat dalam masalah ini supaya kembali semula ke pangkal
jalan agar mereka mengikut fitrah semulajadi yang telah diciptakan oleh Allah
Subhanahu wa Ta’ala dan bukan pula mereka disisihkan.
Selain itu, persekitaran yang
baik dapat membantu golongan ini berhijrah dari perkara yang negatif kepada
positif. Walau bagaimanapun keazaman diri yang untuk ingin berubah dan
berhijrah kepada kebaikan adalah lebih afdhal dan elok bagi diri individu itu sendiri. Sepertimana firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah ar-Ra’d ayat 11 yang terjemahannya:
“Sesungguhnya Allah tidak
mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada
pada diri mereka sendiri.”
Apa yang pasti fenomena ini tidak
akan ada sudahnya jika mereka tidak mahu kembali ke pangkal jalan. Keinsafan
individu itu sendiri amat perlu di samping mengharapkan limpah keampunan,
taufiq dan hidayah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui cara mendekati
diri dan mengenali kekuasaan dan kebesaranNya. Di samping itu, hendaklah
memperdalamkan lagi dan menitikberatkan soal-soal aqidah dan Syariah
serta diterapkannya dengan berdasarkan kepada sumber-sumber asal seperti
al-Qur’an, hadits, ijma’ dan qiyas.
Petikan daripada Majalah al-Huda
(Disember 2011M/1433H), Terbitan Pusat Da’wah Islamiah.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan