Translate

Monday, February 09, 2026

JUDI DALAM PERTANDINGAN


 

Judi Dalam Pertandingan

Allah Subhanahu Wata’ala menciptakan manusia untuk beribadat kepada-Nya dan mengurniakan nikmat untuk kita gunakan di jalan yang diredai-Nya. Manusia diberikan akal fikiran supaya tidak tunduk kepada hawa nafsu. Manusia juga dianugerahkan panca indera untuk mencari rezeki serta menikmati kehidupan di muka bumi ini. Islam memerintahkan kita berusaha mengikut landasan yang benar, menjauhi perkara-perkara haram seperti kekerasan, penindasan, penipuan, rasuah, riba, judi dan bermacam-macam lagi kemungkaran. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 90 tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, bahawasanya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.”

Adapun yang dimaksudkan dengan judi itu ialah tiap-tiap perkara yang ada di dalamnya beradu nasib atau pertaruhan baik sedikit atau banyak, kecil atau besar, sama ada melalui permainan, hiburan dan sebagainya.

Di antara permainan berunsur judi yang dapat dilihat secara terang-terangan ialah permainan daun terup, loteri, main katam, nombor ekor dan apa sahaja pertaruhan seperti pertaruhan di dalam pertandingan sukan, perlumbaan dan yang seumpamanya.

Selain itu juga, pada zaman sekarang ini, judi menjadi semakin mudah untuk dilakukan umpamanya melalui internet dan melalui telefon bimbit seperti permainan judi online termasuklah aplikasi telefon bimbit yang ada unsur-unsur judi di dalamnya. Kadang-kadang tanpa kita sedari, terdapat perbuatan yang kita lakukan terkandung di dalamnya unsur judi.

Apapun jua jenis pertandingan atau peraduan yang berbentuk pertaruhan wang atau harta dari pihak-pihak yang menyertai pertandingan atau peraduan itu dan mereka semuanya sama-sama mempunyai peluang untuk mendapat habuan atau keuntungan dan sama-sama juga mempunyai risiko menanggung kerugian, sementara pihak yang menang akan mengambil habuan daripada pihak yang kalah, maka pertandingan atau peraduan seperti itu adalah dikategorikan sebagai judi.

Tanpa kita sedari terdapat pertandingan atau peraduan masa kini yang berunsur judi. Dalam pertandingan atau peraduan masa kini kebanyakannya ada mensyaratkan bayaran penyertaan. Contohnya dalam pertandingan sukan dan sebagainya. Jika hadiah pertandingan tersebut diperolehi dari bayaran penyertaan para peserta, maka pertandingan itu adalah judi.

Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati dan peka dengan pertandingan atau peraduan yang ada mensyaratkan bayaran kerana ia boleh jatuh kepada perjudian tanpa kita sedari. Semua pihak lebih-lebih lagi para penganjur terutama sekali mereka yang terdiri daripada orang Islam hendaklah sentiasa peka terhadap hukum syarak.

Perlu difahami bahawa permainan berunsur judi ialah setiap permainan yang di dalamnya mengandungi unsur taruhan (harta atau material) di mana pihak yang menang atau untung berhak mengambil (merampas) harta atau material dari pihak yang kalah. Secara amnya dapatlah dijelasksan bahawa dalam judi ada tiga unsur utama, iaitu:

Pertama: Adanya pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang sedang berjudi.

Kedua: Ada suatu permainan untuk menentukan pihak yang menang dan kalah.

Ketiga: Pihak yang menang akan mengambil harta yang menjadi taruhan dan pihak yang kalah akan kehilangan hartanya.

Sesungguhnya judi sangat berbahaya dan boleh mengancam negara dan seterusnya menjadikan kita tidak lagi berada di landasan yang betul. Oleh itu, ada beberapa langkah yang boleh diambil dalam menghindarkan diri dari terjerumus dengan kegiatan judi, antaranya ialah:

Pertama: Meneguhkan keimanan.

Iman adalah salah satu kekuatan yang dapat menjaga manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Iman juga mengangkat manusia ke jalan kemuliaan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Thaha ayat 75, tafsirnya:

“Dan sesiapa yang datang kepada-Nya dalam keadaan beriman lagi telah mengerjakan amalan-amalan soleh maka mereka itulah yang beroleh darjatdarjat yang tinggi di sisi Allah.”

Jika iman seseorang itu teguh, maka dia akan dapat menahan diri dari tunduk kepada pujukan dan hasutan syaitan dan dapat menjaga hawa nafsu.

Kedua: Meningkatkan pengetahuan dan penghayatan agama Islam bagi memastikan tahap kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap agama terus meningkat khususnya tentang haramnya dan bahayanya judi. Pendidikan agama hendaklah dititikberatkan dan diberi keutamaan oleh semua pihak terutama ibu bapa, penjaga, pendidik dan pemimpin masyarakat.

Ketiga: Melaksanakan ‘Amar Ma’aruf Nahi Mungkar’.

Berlakunya kemungkaran dan pelbagai gejala sosial hari ini adalah disebabkan oleh pudarnya semangat umat Islam untuk menegakkan dan melaksanakan ‘Amar Ma’aruf’ di antara sesama mereka. Sikap camah mata dan tidak ambil peduli serta takut untuk menegur kemungkaran segelintir daripada kita boleh menjejaskan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagai seorang Mukmin, kita adalah bersaudara dengan Mukmin yang lain. Jika seorang Mukmin melihat kemungkaran yang dilakukan oleh saudaranya yang lain, mereka hendaklah sama-sama membetulkan kesilapan tersebut. Jika saudaranya bertindak melampaui batasan, hendaklah dia segera menahannya. Mereka hendaklah saling tolong-menolong agar tidak menganiaya diri sendiri dan juga saudaranya yang lain.

 

Ingatlah wahai kaum Muslimin, bahawa berjudi itu perbuatan maksiat. Wang yang diperolehi daripada judi adalah haram. Tidak boleh digunakan, apatah lagi jika digunakan untuk makan minum anak dan isteri.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam mencari rezeki. Jauhkan diri dari perkaraperkara yang haram dan syubhah. Bersyukurlah walaupun rezeki hanya sedikit, asalkan halal dan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesungguhnya kita hidup di dunia ini hanya sementara dan penuh dengan ujian, cubaan dan godaan. Maka kita sebagai umat Islam janganlah sampai terjerumus ke lembah judi kerana inginkan kemewahan.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita semua terhindar dari mengikut kehendak dan hasutan syaitan yang sentiasa mengajak kita melakukan dosa dan maksiat. Mudah-mudahan kita semua tergolong ke dalam golongan orang-orang yang sentiasa melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan meninggalkan segala larangannya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Maidah ayat 91, tafsirnya:

“Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab meminum arak dan bermain judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti daripada melakukan perbuatan keji itu?”

JUDI UNTUNG ATAU RUGI

 


Pendahuluan

Kenaikan mata wang dunia dan gaya taraf kehidupan masyarakat yang semakin meningkat menjadikan masyarakat dunia masa kini salingberlumba-lumba mengejar kesenangan dan kemewahan harta benda tanpamengira apa jua cara sekalipun. Selagi adanya peluang untuk mendapatkankeuntungan, pasti ramai yang akan cuba menceburinya. Cuma yangmembezakannya ialah bagaimana dan apakah cara yang digunakan olehseseorang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan.

Dalam hal ini, untuk memperolehikehidupan yang selesa, baik dan kukuh, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dengan hasil usahanya sendiri. Selain itu juga, Islam telah menggariskan tentang panduan pendapatan dan rezeki yang halal di sisi agama serta mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab musnadnya daripada Amir daripada bapa saudaranya sebelah ibunya berkata: ِ

 

Maksudnya:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah ditanya mengenai pekerjaan yang paling utama. Baginda menjawab, “Berjual beli yang diberkati dan usaha seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri.” Namun begitu, masih terdapatsegelintir umat Islam yang cuba untuk mencari rezeki tanpa memikirkan halal haram perbuatan yang mereka lakukan asalkan ianya membawa keuntungan kepada mereka dengan cepat dan sekelip mata walaupun perbuatan itu salah dan dilarang di sisi agama Islam seperti menipu, mencuri, memeras ugut, rasuah, riba dan pecah amanah serta menganggap perbuatan tersebut sebagai salah satu cara yang elok untuk mereka mendapatkan keuntungan. Di antara perbuatan haram dan dilarang oleh syara’ yang masih dilakukan oleh segelintir umat Islam ialah bermain judi. Secara amnya, judi adalah satu permainan yang menggunakan wang atau harta benda sebagai pertaruhan untuk menarik minat seseorang dengan kadar yang cepat dan mudah untuk diperolehi tanpa perlu bekerja dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Permainan judi ini menjadi satu penyakit yang susah diubati apatah lagi sifat tabi‘e manusia yang suka akan kesenangan dan kemewahan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Aali-‘Imraan ayat 14:

 

Mafhumnya:

Dihiaskan (dijadikan indah) bagi manusia kecintaan kepada keinginan-keinginan nafsu iaitu menyukai perempuan, anak pinak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan lagi terlatih serta binatang-binatang ternakan dan tanam-tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Padahal di sisi Allah ada sebaik-baik tempat kembali (iaitu syurga).

Dari itu, umat Islam perlu berhati- hati dalam giat mencari harta benda kerana ditakuti akan terjebak dengan perkara-perkara maksiat dan mungkar yang ditegah dalam Islam yang membawa kepada haram. Pengertian Judi Perkataan Arab untuk judi adalah maisir (ميسر) yang berasal dari perkataan yasara (يسر ) atau yusr bermaksud mudah atau yasar bermaksud kekayaan. Maisir juga ditakrifkan oleh para ulama Islam sebagai qimar (قمار) yang bermaksud pertaruhan dan menang. Menurut Ensiklopedia Hukum Islam, maisir adalah suatu bentuk permainan yang mengandungi unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapatkan taruhan tersebut.

Secara amnya, dalam judi terdapat tiga unsur utama iaitu:

1. Adanya pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang berjudi.

2. Ada suatu permainan untuk menentukan pihak yang menang dan yang kalah.

3. Pihak yang menang mengambil harta yang menjadi taruhan (murahanah) manakala pihak yang kalah akan kehilangan hartanya.

Jenis-jenis Judi Judi Zaman Jahiliyah:

Al-Mukhatarah iaitu permainan yang melibatkan dua orang atau lebih yang mempertaruhkan harta dan isteri mereka dalam sesuatu permainan. Orang yang menang berhak mengambil harta dan isteri pihak yang kalah dan dapat diperlakukan sesuka hati sama ada mengahwininya atau dijadikan hamba atau gundik.

At-Tajzi’ah iaitu 10 orang bermain kad daripada potongan kayu. Ada 10 keping kad, tujuh kad diberi angka satu hingga tujuh dan tiga kad kosong sehingga semua angkanya berjumlah 28. Kemudian seekor unta dipotong menjadi 28 bahagian. Setiap peserta diundi untuk mengambil potongan daging sesuai angka pada kad yang diperolehi. Tiga peserta yang mendapat kad kosong dianggap kalah dan perlu membayar harga unta.

Judi Zaman Moden:

• Pelbagai bentuk permainan dan perlumbaan pada masa ini termasuk dalam kategori judi mengandungi unsur taruhan atau mengadu nasib dan salah satu pihak akan menerima kerugian.

• Contoh: Daun terup, loteri, main ketam, nombor ekor pertaruhan lumba kuda, perlawanan sukan, lumba kereta, peraduan kuiz, teka-teki, jualan lelong dan permainan yang terdapat di pusat-pusat permainan yang mengandungi unsur-unsur judi.

• Aktiviti perjudian dijalankan dengan mudah dan dijalankan di mana-mana sahaja menggunakan bantuan alat-alat kemudahan yang berteknologi tinggi seperti internet, telefon bimbit dan mesin slot.

 

Perbezaan Antara Permainan judi dan Permainan tanpa judi

Tidak semua permainan termasuk dalam kategori judi. Perbezaan judi dan permainan tanpa judi ialah jika permainan yang pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.

 

Permainan Berunsur Judi

Permainan berunsur judi ialah setiap permainan yang di dalamnya mengandungi unsur pertaruhan (harta atau material). Pihak yang menang atau beruntung berhak mengambil (merampas) harta atau material yang dipertaruhkan dari pihak yang kalah.

 

Punca judi

Judi adalah seperti parasit yang terus membiak dan menjadi barah jika tiada usaha untuk membendungnya. Kesannya bukan sahaja memberi impak yang buruk kepada diri sendiri bahkan juga kepada sekelilingnya.

 

Antara punca berlakunya kegiatan judi ialah:

a) Lemahnya iman.

Iman yang lemah akan mengundang gejala kesesatan dan kemaksiatan terutama dari segi akidah. Ia juga memudahkan musuh Islam mengambil peluang untuk mempengaruhi akal fikiran mereka sehinggakan perbuatan yang salah dan haram tidak diendahkan lagi.

b) Kurang pengetahuan dan penghayatan agama Islam.

Kelemahan umat Islam masa kini berpunca daripada kurangnya kesedaran dan penghayatan terhadap didikan agama. Kesibukan mengejar kemewahan dan keseronokan duniawi menjadikan sesetengah mereka lupa pada mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama bagi membentuk iman yang kukuh yang boleh menjadi benteng pertahanan diri daripada sebarang pengaruh yang negatif. Kurang penghayatan dan gagal mengaplikasikan ilmu pengetahuan agama Islam dalam kehidupan seharian juga sering terjadi hingga terjebak dalam perbuatan yang tidak bermoral dan hati mereka dikuasai oleh nikmat dunia.

c) Mengikut hawa nafsu

Mereka yang terjerumus dalam kegiatan judi ini adalah mereka yang terlalu mengikut hawa nafsu dan bisikan hasutan syaitan. Mereka tidak mampu menahan hawa nafsu dan menjadi tamak serta cenderung berbuat salah sehingga mengetepikan agama dan membuat perkara haram dan maksiat.

d) Sosio ekonomi yang rendah

Pendapatan yang rendah dan mempunyai tanggungan yang ramai adalah antara penyebab mencari jalan pintas untuk mencari sumber pendapatan tambahan tanpa berfikir panjang. Tidak ada jaminan kesenangan bagi mereka yang bermain judi meskipun ada yang beranggapan judi boleh membantu golongan miskin dan menggembirakan orang yang untung dengan menjadikan orang miskin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.

 

Kesan Judi

Pelbagai akibat atau kesan buruk yang boleh terjadi kepada individu

yang hanyut dengan kancah perjudian. Antaranya ialah:

1. Terlalu obses berjudi boleh membawa kepada kerosakan dan keruntuhan akhlak dan moral bukan sahaja kepada individu terbabit malah kepada kaum keluarga dan masyarakat.

2. Amalan judi menjadikan individu cenderung kepada sifat dendam, permusuhan, pergaduhan atau pertelingkahan dan tamak haloba berpunca daripada keinginan untuk memperolehi kesenangan serta kekayaan dengan cara bathil iaitu jalan mudah tanpa usaha yang dibenarkan oleh syara’.

3. Judi dapat menjerumuskan mereka yang terlibat di dalamnya ke dalam lembah maksiat dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab terutama kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

4. Aktiviti judi juga menyebabkan penjudi dibebani dan dibelenggui dengan hutang piutang sehinggakan terpaksa berhutang melalui ceti haram.

 

Akibat taksub akan berjudi juga menyebabkan akidah penjudi terpesong kerana mempercayai perkara-perkara khurafat seperti berjumpa bomoh, mengunjungi kubur bagi mendapatkan nombor ekor, mendapatkan nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, mendapatkan nombor dari mimpi yang dipercayai membawa tuah dan keuntungan kepada si penjudi tersebut.

 

Cara Mengatasi Masalah Judi

• Teguh dan Tingkatkan keimanan

Iman adalah kekuatan yang dapat menjaga manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Thaahaa ayat 75:

 

Mafhumnya:

Dan siapa yang datang kepada-Nya dalam keadaan beriman lagi telah mengerjakan amalan-amalan shalih maka mereka itulah yang beroleh darjat-darjat yang tinggi (di sisi

Allah).

 

·   Meningkatkan pengetahuan dan penghayatan agama Islam

Setiap individu muslim hendaklah menghayati dan mengukuhkan pengetahuan tentang agama Islam agar tidak tergelincir daripada ajaran dan aqidah Islam serta memastikan tahap kefahaman dan penghayatan terhadap agama Islam terus meningkat, dititikberatkan dan diberi keutamaan.

 

• Melaksanakan amar ma‘ruf nahi mungkar

Sesungguhnya tidak camah mata dan menegakkan amar ma‘ruf nahi mungkar merupakan tanggungjawab setiap muslim untuk menjamin keadilan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Sebagai seorang mu’min, kita adalah bersaudara dengan mukmin yang lain. Jika melihat kemungkaran dan perbuatan melampaui batas, ianya perlu ditahan segera dan diperbetulkan. Imam al-Bukhari dalam kitab shahihnya meriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam bersabda: َ

Maksudnya:

“Bantulah saudaramu baik dia zalim mahupun dizalimi,” para sahabat bertanya: “Apabila dizalimi kami membantunya tetapi bagaimana membantunya jika dia zalim?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan: “Engkau perlu menahannya dari membuat zalim, itulah cara membantunya.”

 

Penutup

Perbuatan judi sememangnya ditegah dan diharamkan dalam syariat Islam tidak kira sama ada ianya dijadikan sebagai alat permainan untuk hiburan ataupun sebagai sumber untuk mencari pendapatan. Perbuatan judi tidak membawa keuntungan malah ianya menjadikan seseorang itu dalam kerugian kerana boleh merosakkan aqidah dan meruntuhkan akhlak serta jati diri individu tersebut sebagai seorang muslim. Berpaksikan iman yang teguh dan pengetahuan agama yang luas boleh dijadikan benteng pertahanan diri seorang muslim dari terikut dan terjebak pada kancah perjudian lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang banyak mengelirukan minda yang menjadikan judi dalam pelbagai bentuk seperti peraduan dan pertandingan yang mengaburkan mata umat Islam.


PENGHARAMAN CLAW MACHINE


Selaras dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, pelbagai permainan elektronik turut berkembang di premis-premis perniagaan dan seterusnya menarik minat serta menjadi kesukaan orang ramai terutama golongan remaja dan kanak-kanak.

            Antaranya yang menimbulkan perdebatan ulama pada masa kini adalah permainan ‘claw machine’ atau mesin cakar. Mesin tersebut adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi untuk memperolehi barangan-barangan menarik yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Pengguna perlumemasukkan duit terlebih dahulu sebelum menggunakan mesin tersebut, namun tidak terjamin sama ada berjaya atau tidak memperolehi barang berkenaan. Justeru, hukum bermain permainan ini telah disepakati haram dan dilarang kerana permainan ini jelas memiliki unsur-unsur judi dan ia bergantung kepada nasib serta melibatkan pertaruhan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman dalam surah al-Maa’idah ayat 90, mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan, berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan).

            Jabatan Mufti Kerajaan telah mengeluarkan fatwa secara ringkasnya seperti berikut: Berdasarkan cara permainan Claw Machine ia adalah mempunyai usur-unsur judi seperti berikut;

      i.        Pemain disyaratkan untuk membayar sejumlah wang sebagai taruhan bagi mendapatkan hadiah;

    ii.        Permainan ini lebih banyak bergantung kepada nasib sama ada akan dapat hadiah atau tidak; dan

   iii.        Permainan ini mempunyai risiko untung atau rugi.

            Oleh itu, umat Islam dan khasnya ibu bapa perlu memantau anak-anak agar tidak bermain atau melibatkan diri dalam permainan ini dan permainan- permainan yang seumpamanya. Begitu juga haram hukumnya melibatkan diri sama ada sebagai penyedia permainan, pengiklan dan lain-lain mengenainya kerana ia merupakan satu dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Moga-moga dengan kita meninggalkan langsung dan tidak mendekati perkara-perkara yang telah diharamkan itu, dapatlah kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

 

وبالله التوفيق والهداية

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته