Translate

Monday, February 09, 2026

JUDI UNTUNG ATAU RUGI

 


Pendahuluan

Kenaikan mata wang dunia dan gaya taraf kehidupan masyarakat yang semakin meningkat menjadikan masyarakat dunia masa kini salingberlumba-lumba mengejar kesenangan dan kemewahan harta benda tanpamengira apa jua cara sekalipun. Selagi adanya peluang untuk mendapatkankeuntungan, pasti ramai yang akan cuba menceburinya. Cuma yangmembezakannya ialah bagaimana dan apakah cara yang digunakan olehseseorang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan.

Dalam hal ini, untuk memperolehikehidupan yang selesa, baik dan kukuh, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dengan hasil usahanya sendiri. Selain itu juga, Islam telah menggariskan tentang panduan pendapatan dan rezeki yang halal di sisi agama serta mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab musnadnya daripada Amir daripada bapa saudaranya sebelah ibunya berkata: ِ

 

Maksudnya:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah ditanya mengenai pekerjaan yang paling utama. Baginda menjawab, “Berjual beli yang diberkati dan usaha seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri.” Namun begitu, masih terdapatsegelintir umat Islam yang cuba untuk mencari rezeki tanpa memikirkan halal haram perbuatan yang mereka lakukan asalkan ianya membawa keuntungan kepada mereka dengan cepat dan sekelip mata walaupun perbuatan itu salah dan dilarang di sisi agama Islam seperti menipu, mencuri, memeras ugut, rasuah, riba dan pecah amanah serta menganggap perbuatan tersebut sebagai salah satu cara yang elok untuk mereka mendapatkan keuntungan. Di antara perbuatan haram dan dilarang oleh syara’ yang masih dilakukan oleh segelintir umat Islam ialah bermain judi. Secara amnya, judi adalah satu permainan yang menggunakan wang atau harta benda sebagai pertaruhan untuk menarik minat seseorang dengan kadar yang cepat dan mudah untuk diperolehi tanpa perlu bekerja dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Permainan judi ini menjadi satu penyakit yang susah diubati apatah lagi sifat tabi‘e manusia yang suka akan kesenangan dan kemewahan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Aali-‘Imraan ayat 14:

 

Mafhumnya:

Dihiaskan (dijadikan indah) bagi manusia kecintaan kepada keinginan-keinginan nafsu iaitu menyukai perempuan, anak pinak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan lagi terlatih serta binatang-binatang ternakan dan tanam-tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Padahal di sisi Allah ada sebaik-baik tempat kembali (iaitu syurga).

Dari itu, umat Islam perlu berhati- hati dalam giat mencari harta benda kerana ditakuti akan terjebak dengan perkara-perkara maksiat dan mungkar yang ditegah dalam Islam yang membawa kepada haram. Pengertian Judi Perkataan Arab untuk judi adalah maisir (ميسر) yang berasal dari perkataan yasara (يسر ) atau yusr bermaksud mudah atau yasar bermaksud kekayaan. Maisir juga ditakrifkan oleh para ulama Islam sebagai qimar (قمار) yang bermaksud pertaruhan dan menang. Menurut Ensiklopedia Hukum Islam, maisir adalah suatu bentuk permainan yang mengandungi unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapatkan taruhan tersebut.

Secara amnya, dalam judi terdapat tiga unsur utama iaitu:

1. Adanya pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang berjudi.

2. Ada suatu permainan untuk menentukan pihak yang menang dan yang kalah.

3. Pihak yang menang mengambil harta yang menjadi taruhan (murahanah) manakala pihak yang kalah akan kehilangan hartanya.

Jenis-jenis Judi Judi Zaman Jahiliyah:

Al-Mukhatarah iaitu permainan yang melibatkan dua orang atau lebih yang mempertaruhkan harta dan isteri mereka dalam sesuatu permainan. Orang yang menang berhak mengambil harta dan isteri pihak yang kalah dan dapat diperlakukan sesuka hati sama ada mengahwininya atau dijadikan hamba atau gundik.

At-Tajzi’ah iaitu 10 orang bermain kad daripada potongan kayu. Ada 10 keping kad, tujuh kad diberi angka satu hingga tujuh dan tiga kad kosong sehingga semua angkanya berjumlah 28. Kemudian seekor unta dipotong menjadi 28 bahagian. Setiap peserta diundi untuk mengambil potongan daging sesuai angka pada kad yang diperolehi. Tiga peserta yang mendapat kad kosong dianggap kalah dan perlu membayar harga unta.

Judi Zaman Moden:

• Pelbagai bentuk permainan dan perlumbaan pada masa ini termasuk dalam kategori judi mengandungi unsur taruhan atau mengadu nasib dan salah satu pihak akan menerima kerugian.

• Contoh: Daun terup, loteri, main ketam, nombor ekor pertaruhan lumba kuda, perlawanan sukan, lumba kereta, peraduan kuiz, teka-teki, jualan lelong dan permainan yang terdapat di pusat-pusat permainan yang mengandungi unsur-unsur judi.

• Aktiviti perjudian dijalankan dengan mudah dan dijalankan di mana-mana sahaja menggunakan bantuan alat-alat kemudahan yang berteknologi tinggi seperti internet, telefon bimbit dan mesin slot.

 

Perbezaan Antara Permainan judi dan Permainan tanpa judi

Tidak semua permainan termasuk dalam kategori judi. Perbezaan judi dan permainan tanpa judi ialah jika permainan yang pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.

 

Permainan Berunsur Judi

Permainan berunsur judi ialah setiap permainan yang di dalamnya mengandungi unsur pertaruhan (harta atau material). Pihak yang menang atau beruntung berhak mengambil (merampas) harta atau material yang dipertaruhkan dari pihak yang kalah.

 

Punca judi

Judi adalah seperti parasit yang terus membiak dan menjadi barah jika tiada usaha untuk membendungnya. Kesannya bukan sahaja memberi impak yang buruk kepada diri sendiri bahkan juga kepada sekelilingnya.

 

Antara punca berlakunya kegiatan judi ialah:

a) Lemahnya iman.

Iman yang lemah akan mengundang gejala kesesatan dan kemaksiatan terutama dari segi akidah. Ia juga memudahkan musuh Islam mengambil peluang untuk mempengaruhi akal fikiran mereka sehinggakan perbuatan yang salah dan haram tidak diendahkan lagi.

b) Kurang pengetahuan dan penghayatan agama Islam.

Kelemahan umat Islam masa kini berpunca daripada kurangnya kesedaran dan penghayatan terhadap didikan agama. Kesibukan mengejar kemewahan dan keseronokan duniawi menjadikan sesetengah mereka lupa pada mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama bagi membentuk iman yang kukuh yang boleh menjadi benteng pertahanan diri daripada sebarang pengaruh yang negatif. Kurang penghayatan dan gagal mengaplikasikan ilmu pengetahuan agama Islam dalam kehidupan seharian juga sering terjadi hingga terjebak dalam perbuatan yang tidak bermoral dan hati mereka dikuasai oleh nikmat dunia.

c) Mengikut hawa nafsu

Mereka yang terjerumus dalam kegiatan judi ini adalah mereka yang terlalu mengikut hawa nafsu dan bisikan hasutan syaitan. Mereka tidak mampu menahan hawa nafsu dan menjadi tamak serta cenderung berbuat salah sehingga mengetepikan agama dan membuat perkara haram dan maksiat.

d) Sosio ekonomi yang rendah

Pendapatan yang rendah dan mempunyai tanggungan yang ramai adalah antara penyebab mencari jalan pintas untuk mencari sumber pendapatan tambahan tanpa berfikir panjang. Tidak ada jaminan kesenangan bagi mereka yang bermain judi meskipun ada yang beranggapan judi boleh membantu golongan miskin dan menggembirakan orang yang untung dengan menjadikan orang miskin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.

 

Kesan Judi

Pelbagai akibat atau kesan buruk yang boleh terjadi kepada individu

yang hanyut dengan kancah perjudian. Antaranya ialah:

1. Terlalu obses berjudi boleh membawa kepada kerosakan dan keruntuhan akhlak dan moral bukan sahaja kepada individu terbabit malah kepada kaum keluarga dan masyarakat.

2. Amalan judi menjadikan individu cenderung kepada sifat dendam, permusuhan, pergaduhan atau pertelingkahan dan tamak haloba berpunca daripada keinginan untuk memperolehi kesenangan serta kekayaan dengan cara bathil iaitu jalan mudah tanpa usaha yang dibenarkan oleh syara’.

3. Judi dapat menjerumuskan mereka yang terlibat di dalamnya ke dalam lembah maksiat dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab terutama kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

4. Aktiviti judi juga menyebabkan penjudi dibebani dan dibelenggui dengan hutang piutang sehinggakan terpaksa berhutang melalui ceti haram.

 

Akibat taksub akan berjudi juga menyebabkan akidah penjudi terpesong kerana mempercayai perkara-perkara khurafat seperti berjumpa bomoh, mengunjungi kubur bagi mendapatkan nombor ekor, mendapatkan nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, mendapatkan nombor dari mimpi yang dipercayai membawa tuah dan keuntungan kepada si penjudi tersebut.

 

Cara Mengatasi Masalah Judi

• Teguh dan Tingkatkan keimanan

Iman adalah kekuatan yang dapat menjaga manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Thaahaa ayat 75:

 

Mafhumnya:

Dan siapa yang datang kepada-Nya dalam keadaan beriman lagi telah mengerjakan amalan-amalan shalih maka mereka itulah yang beroleh darjat-darjat yang tinggi (di sisi

Allah).

 

·   Meningkatkan pengetahuan dan penghayatan agama Islam

Setiap individu muslim hendaklah menghayati dan mengukuhkan pengetahuan tentang agama Islam agar tidak tergelincir daripada ajaran dan aqidah Islam serta memastikan tahap kefahaman dan penghayatan terhadap agama Islam terus meningkat, dititikberatkan dan diberi keutamaan.

 

• Melaksanakan amar ma‘ruf nahi mungkar

Sesungguhnya tidak camah mata dan menegakkan amar ma‘ruf nahi mungkar merupakan tanggungjawab setiap muslim untuk menjamin keadilan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Sebagai seorang mu’min, kita adalah bersaudara dengan mukmin yang lain. Jika melihat kemungkaran dan perbuatan melampaui batas, ianya perlu ditahan segera dan diperbetulkan. Imam al-Bukhari dalam kitab shahihnya meriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam bersabda: َ

Maksudnya:

“Bantulah saudaramu baik dia zalim mahupun dizalimi,” para sahabat bertanya: “Apabila dizalimi kami membantunya tetapi bagaimana membantunya jika dia zalim?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan: “Engkau perlu menahannya dari membuat zalim, itulah cara membantunya.”

 

Penutup

Perbuatan judi sememangnya ditegah dan diharamkan dalam syariat Islam tidak kira sama ada ianya dijadikan sebagai alat permainan untuk hiburan ataupun sebagai sumber untuk mencari pendapatan. Perbuatan judi tidak membawa keuntungan malah ianya menjadikan seseorang itu dalam kerugian kerana boleh merosakkan aqidah dan meruntuhkan akhlak serta jati diri individu tersebut sebagai seorang muslim. Berpaksikan iman yang teguh dan pengetahuan agama yang luas boleh dijadikan benteng pertahanan diri seorang muslim dari terikut dan terjebak pada kancah perjudian lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang banyak mengelirukan minda yang menjadikan judi dalam pelbagai bentuk seperti peraduan dan pertandingan yang mengaburkan mata umat Islam.


No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan