Judi Dalam Pertandingan
Allah Subhanahu
Wata’ala menciptakan manusia untuk beribadat kepada-Nya dan mengurniakan nikmat
untuk kita gunakan di jalan yang diredai-Nya. Manusia diberikan
akal fikiran supaya tidak tunduk kepada hawa nafsu. Manusia juga dianugerahkan panca indera untuk mencari rezeki
serta menikmati kehidupan di muka bumi ini. Islam memerintahkan kita berusaha
mengikut landasan yang benar, menjauhi perkara-perkara haram seperti kekerasan,
penindasan, penipuan, rasuah, riba, judi dan bermacam-macam lagi kemungkaran.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat
90 tafsirnya:
“Wahai
orang-orang yang beriman, bahawasanya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi
nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor keji dari perbuatan
syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.”
Adapun yang
dimaksudkan dengan judi itu ialah tiap-tiap perkara yang ada di dalamnya beradu
nasib atau pertaruhan baik sedikit atau banyak, kecil atau besar, sama ada melalui
permainan, hiburan dan sebagainya.
Di antara
permainan berunsur judi yang dapat dilihat secara terang-terangan ialah
permainan daun terup, loteri, main katam, nombor ekor dan apa sahaja pertaruhan
seperti pertaruhan di dalam pertandingan sukan, perlumbaan dan yang
seumpamanya.
Selain itu
juga, pada zaman sekarang ini, judi menjadi semakin mudah untuk dilakukan
umpamanya melalui internet dan melalui telefon bimbit seperti permainan judi online termasuklah aplikasi telefon bimbit yang ada unsur-unsur judi di
dalamnya. Kadang-kadang tanpa kita sedari, terdapat perbuatan yang kita lakukan
terkandung di dalamnya unsur judi.
Apapun jua
jenis pertandingan atau peraduan yang berbentuk pertaruhan wang atau harta dari
pihak-pihak yang menyertai pertandingan atau peraduan itu dan mereka semuanya
sama-sama mempunyai peluang untuk mendapat habuan atau keuntungan dan sama-sama
juga mempunyai risiko menanggung kerugian, sementara pihak yang menang akan
mengambil habuan daripada pihak yang kalah, maka pertandingan atau peraduan
seperti itu adalah dikategorikan sebagai judi.
Tanpa kita
sedari terdapat pertandingan atau peraduan masa kini yang berunsur judi. Dalam
pertandingan atau peraduan masa kini kebanyakannya ada mensyaratkan bayaran
penyertaan. Contohnya dalam pertandingan sukan dan sebagainya. Jika hadiah
pertandingan tersebut diperolehi dari bayaran penyertaan para peserta, maka
pertandingan itu adalah judi.
Oleh itu,
hendaklah kita berhati-hati dan peka dengan pertandingan atau peraduan yang ada
mensyaratkan bayaran kerana ia boleh jatuh kepada perjudian tanpa kita sedari.
Semua pihak lebih-lebih lagi para penganjur terutama sekali mereka yang terdiri
daripada orang Islam hendaklah sentiasa peka terhadap hukum syarak.
Perlu difahami
bahawa permainan berunsur judi ialah setiap permainan yang di dalamnya
mengandungi unsur taruhan (harta atau material) di mana pihak yang menang atau untung berhak
mengambil (merampas) harta atau material dari pihak yang kalah. Secara amnya dapatlah
dijelasksan bahawa dalam judi ada tiga unsur utama, iaitu:
Pertama: Adanya
pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang sedang berjudi.
Kedua: Ada
suatu permainan untuk menentukan pihak yang menang dan kalah.
Ketiga: Pihak
yang menang akan mengambil harta yang menjadi taruhan dan pihak yang kalah akan
kehilangan hartanya.
Sesungguhnya
judi sangat berbahaya dan boleh mengancam negara dan seterusnya menjadikan kita
tidak lagi berada di landasan yang betul. Oleh itu, ada beberapa langkah yang
boleh diambil dalam menghindarkan diri dari terjerumus dengan kegiatan judi,
antaranya ialah:
Pertama: Meneguhkan keimanan.
Iman adalah
salah satu kekuatan yang dapat menjaga manusia daripada melakukan
perkara-perkara mungkar. Iman juga mengangkat manusia ke jalan kemuliaan.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Thaha ayat 75, tafsirnya:
“Dan
sesiapa yang datang kepada-Nya dalam keadaan beriman lagi telah mengerjakan
amalan-amalan soleh maka mereka itulah yang beroleh darjatdarjat yang tinggi di
sisi Allah.”
Jika iman
seseorang itu teguh, maka dia akan dapat menahan diri dari tunduk kepada
pujukan dan hasutan syaitan dan dapat menjaga hawa nafsu.
Kedua: Meningkatkan pengetahuan dan penghayatan
agama Islam bagi memastikan tahap kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap
agama terus meningkat khususnya tentang haramnya dan bahayanya judi. Pendidikan
agama hendaklah dititikberatkan dan diberi keutamaan oleh semua pihak terutama
ibu bapa, penjaga, pendidik dan pemimpin masyarakat.
Ketiga: Melaksanakan ‘Amar Ma’aruf Nahi Mungkar’.
Berlakunya
kemungkaran dan pelbagai gejala sosial hari ini adalah disebabkan oleh pudarnya
semangat umat Islam untuk menegakkan dan melaksanakan ‘Amar Ma’aruf’ di antara
sesama mereka. Sikap camah mata dan tidak ambil peduli serta takut untuk
menegur kemungkaran segelintir daripada kita boleh menjejaskan keamanan,
keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Sebagai seorang Mukmin, kita adalah bersaudara dengan Mukmin yang
lain. Jika seorang Mukmin melihat kemungkaran yang dilakukan oleh saudaranya
yang lain, mereka hendaklah sama-sama membetulkan kesilapan tersebut. Jika
saudaranya bertindak melampaui batasan, hendaklah dia segera menahannya. Mereka
hendaklah saling tolong-menolong agar tidak menganiaya diri sendiri dan juga
saudaranya yang lain.
Ingatlah wahai
kaum Muslimin, bahawa berjudi itu perbuatan maksiat. Wang yang diperolehi
daripada judi adalah haram. Tidak boleh digunakan, apatah lagi jika digunakan
untuk makan minum anak dan isteri.
Oleh itu,
berhati-hatilah dalam mencari rezeki. Jauhkan diri dari perkaraperkara yang
haram dan syubhah. Bersyukurlah walaupun rezeki hanya sedikit, asalkan halal
dan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sesungguhnya
kita hidup di dunia ini hanya sementara dan penuh dengan ujian, cubaan dan
godaan. Maka kita sebagai umat Islam janganlah sampai terjerumus ke lembah judi
kerana inginkan kemewahan.
Akhirnya,
sama-samalah kita berdoa semoga kita semua terhindar dari mengikut kehendak dan
hasutan syaitan yang sentiasa mengajak kita melakukan dosa dan maksiat.
Mudah-mudahan kita semua tergolong ke dalam golongan orang-orang yang sentiasa
melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan meninggalkan
segala larangannya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah
Al-Maidah ayat 91, tafsirnya:
“Sesungguhnya
syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan
sebab meminum arak dan bermain judi dan menghalangi kamu daripada mengingati
Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti daripada
melakukan perbuatan keji itu?”

No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan