Alhamdulillah, kita sekarang berada di bulan Rabiulawal, bulan di mana Nabi besar junjungan kita Sayidina Muhammad Shallallahu 'alaihi Wasallam diputerakan. Pada kelazimannya berbagai aktiviti keagamaan diadakan seperti Majlis Berdikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid dan balai-balai ibadat, syarahan-syarahan agama dan bermacam-macam lagi aktiviti keagamaan, semata-mata demi utk memperingati hari kelahiran dan keagungan Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam.
Adalah sememangnya wajar kita umat Islam mengenang jasa yg begitu besar yang telah dicurahkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam iaitu menyelamatkan manusia dari alam jahiliah kepada hidup bertamadun, dari kebatilan kepada kebenaran. Kepimpinan dan akhlak Baginda sepatutnya dicontohi dan diteladani kerana adalah tidak bererti jika kita hanya memperingati kelahiran Baginda sedangkan tunjuk ajar dan kepimpinan Baginda tidak dituruti dan tidak mendatangkan perubahan terhadap kita.
Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Saba' ayat 28:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Tafsirnya: "Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya."
Cuba kita renung, betapa besar pengorbanan Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam dlm berjuang menyebarkan dakwah Islamiah yg penuh dengan peristiwa pahit dan getir, menempuh berbagai ancaman dan halangan, menghadapi bermacam-macam kesengsaraan, penderitaan, penindasan dan sebagainya. Namun Baginda tetap tidak putus asa dalam menjalankan perintah Allah Subhanahu waTa'ala dengan keimanan yang tebal dan keyakinan yang padu kepada Allah Subhanahu waTa'ala, disertai dengan kasih sayang Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam kepada umat Baginda. Akhirnya, Baginda berjaya menegakkan syiar Islam di seluruh alam, sebagaimana yg digambarkan dalam Al-Quran Surah At-Thaubah ayat 128:
لَقَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولٌ۬ مِّنۡ أَنفُسِڪُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡڪُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Tafsirnya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Muhammad Shallallahu 'alaihi Wasallam) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahannya yang ditanggung oleh kamu yang sangat inginkan kebaikan kamu dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."
Dalam Al-Quran banyak menceritakan tentang akhlak dan keperibadian Rasulullah Shallallahu 'alahi Wasallam, sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Tafsirnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yg sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat dan mengingati Allah (dalam susah dan senang)."
Di antara sifat-sifat mahmudah yg ditunjukkan Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam yg patut kita contohi dan teladani ialah:
1- Sifat Sabar, Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam seorang yg amat penyabar. Baginda menahan kemurkaan, kesakitan dan penganiayaan kaum Musyrikin di permulaan dakwah Baginda. Contohnya: Kisah Abu Jahal dan teman-temannya meletakkan perut unta di bahu Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam ketika Baginda sedang sujud menunaikan solat, selepas itu mereka pun ketawa melihat kejadian itu sambil mengejek-ejek Baginda. Walaubagaimanapun, Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam tetap sabar dan tidak bersedih di atas penganiayaan itu. Sifat kesabaran Rasulullah 'alaihi Wasallam itu ada digambarkan dalam firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah An-Nahl ayat 127:
وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ
Tafsirnya: "Dan bersabarlah wahai Muhammad terhadap perbuatan mereka dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan pertolongan Allah, dan janganlah kamu berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan."
2- Sifat Pemaaf, Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam bukanlah seorang pendendam dan tidak suka bertindak balas dalam keadaan sengsara dan dianiaya. Ini terbukti dalam sejarah apabila orang Taif dari Qabilah Shakif menghalau dengan kasar sambil melempar Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam dengan batu, tetapi semua itu dihadapi dengan sabar bahkan Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam memaafkan mereka. Begitu juga kisah Baginda memaafkan perempuan Yahudi yang meletakkan racun pada hidangan (daging kambing) yang dihidangkannya kepada Baginda Shallallahu 'alaihi Wasallam.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 159:
فَبِمَا رَحۡمَةٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ
Tafsirnya: "Maka dengan sebab rahmat yang melimpah-limpah dari Allah kepada- mu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap- mu, dan pohonlah ampun bagi mereka"
3- Sifat Sentiasa Bersyukur, sebagaimana dalam hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam riwayat Al-Iman Muslim:
قام النبي صلى الله عليه وسلم حتى ورمت قدماه قالوا قد غفر الله لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر قال أفلا أكون عبدا شكورا
Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Shallallahu 'alaihi Wasallam mendirikan sembahyang sampai bengkak kedua kakinya, lalu ditanya kepada Baginda: Wahai Rasulullah, mengapa tuan membebani dengan hal yang demikian sedangkan Allah telah pun mengampuni dosa-dosa tuan yang telah lalu dan yang akan datang? Baginda lalu menjawab: Tidak patutkan saya menjadi hamba yang bersyukur?" (Hadits riwayat Imam Muslim).
Begitulah indahnya dan mulianya akhlak Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam, walaupun Baginda seorang Nabi yang terpelihara (ma'shum) tetapi Baginda tetap beribadat dan sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu waTa'ala. Cuba kita tanya diri kita! Sejauh mana kita dapat mengambil iktibar dan merealisasikan pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam dalam kehidupan kita?.
Di samping kita mengambil iktibar dan pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam ini, agama kita juga menuntut umatnya supaya mengingati Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam iaitu dengan berselawat, kerana berselawat adalah merupakan doa dan sanjungan kita terhadap Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam, sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Al-Ahzab ayat 56:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
Tafsirnya: "Sesungguhnya Allah dan Malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alahi Wasallam, wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan menghormatinya yang sepenuhnya."
Oleh itu perbanyakkanlah berselawat keatas Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam kerana amalan berselawat tidaklah terhad pada waktu, bulan atau musim tertentu sahaja. Maka amalkanlah berselawat ini kerana amalan selawat banyak fadilat dan kelebihannya, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam:
من صلى علي صلاة واحدة صلى الله عليه عشر صلوات
Maksudnya: "Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah melimpahkan kepadanya sepuluh rahmat. (Hadits riwayat Imam Muslim).
Adapun berselawat ini banyak fadhilat dan kelebihannya, antaranya:
Boleh menyelamatkan pengamalnya dari segala sesuatu yang tidak diingini dan boleh menyampaikan hajat yang dipohonkan, sebagaimana maksud hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam, daripada Umar bin Al-Khattab Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:
إِنَّ الدُّعَاءَ مَوْقُوفٌ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ ، لا يَصْعَدُ مِنْهُ شَيْءٌ حَتَّى تُصَلِّيَ عَلَى نَبِيِّكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: "Sesungguhnya doa itu tertahan di antara langit dan bumi, tidak dapat naik sedikit pun daripada itu, sampai ia mengucapkan selawat kepada Nabimu (Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi Wasallam)." (Hadits riwayat Al-Imam At-Tirmidzi).
Akhirnya, marilah kita sama-sama sentiasa mengingati Allah Subhanahu waTa'ala dan jasa Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam dengan memperbanyakkan selawat atas Baginda Shallallahu 'alaihi Wasallam dan mengikuti majlis-majlis keagamaan dan menyertai perarakan 'Maulud Nabi', sebagai tanda memperingati hari kelahiran Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam dan tanda kesyukuran serta kasih kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi Wasallam, kekasih Allah dan kesayangan kita. Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat Allah Subhanahu waTa'ala dan syafaat Baginda Shallallahu 'alaihi Wasallam di akhirat.
Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Al-A'raaf ayat 158:
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعاً الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ يُحْيِـي وَيُمِيتُ فَآمِنُواْ بِاللّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Tafsirnya: "Katakanlah wahai Muhammad: Wahai sekalian manusia sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, diutus oleh Allah yang menguasai langit dan bumi. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia supaya kamu beroleh hidayat petunjuk."
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan