Keratan akhbar BB pada 05 Mei, 2012 |
Keratan akhbar BB pada 07 Mei, 2012 |
Assalamu’alaikum…
Dalam menjaga kemaslahatan umat Islam di Negara
ini Pusat Da’wah Islamiah telah memohon fatwa dari Mufti Kerajaan, Negara
Brunei Darussalam; Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri
Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned berkenaan perkara di atas…
Penjelasan dan penerangan yang lengkap
diberikan bagi menerangkan kedudukan yang sebenar mengenai perkara ini. Untuk
kefahaman dan pengetahuan semua lapisan masyarakat di Negara ini, di ambil
beberapa keratan penjelasan yang terkandung di dalam fatwa tersebut agar
perkara ini jelas kepada kitani; khususnya selaku umat Islam di Negara ini dan secara
amnya kepada masyarakat Brunei untuk mengambil tahu serta perhatian mengenainya…
Fatwa Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam
Siri Fatwa (26/2011)
“Penggunaan Nama Allah di Kalangan Orang
Bukan Islam.
Berdasarkan beberapa syarat yang mesti ditaati
oleh orang-orang bukan Islam yang berada di Negara Islam yang telah
diterangkan, maka adalah dilarang orang bukan Islam di Negara-negara yang
bahasanya bukan Bahasa Arab menggunakan kalimah ‘Allah’ yang berasal dari
ungkapan orang-orang Islam, sama ada pada lisan atau tulisan mereka. Ini merupakan
antara langkah sadd adz-dzari’ah iaitu menghalang dari perkara-perkara
yang boleh menimbulkan kemudharatan, kekeliruan atau penghinaan terhadap
orang-orang Islam.
Apatah lagi jika kalimah ‘Allah’ yang mereka
gunakan ialah untuk menyekutukan Allah, maka ia telah digunakan pada
perkara-perkara yang tidak diharuskan dan penyekutuan terhadap Allah itu adalah
dilarang untuk dipamer dan diperdengarkan kepada orang-orang Islam.”
(Kandungan fatwa siri 26/2011, m.s: 11-12)
Manakala berbangkit daripada perkara yang
dimuatkan di dalam kandungan fatwa yang tersebut di atas di mukasurat 13-15:
“KAD JEMPUTAN MEMPAMERKAN PETIKAN DARIPADA
BIBLE YANG MENGANDUNGI NAMA ALLAH.
Kad jemputan perkahwinan orang bukan Islam yang
telah dilampirkan oleh Pusat Da’wah Islamiyyah itu mengandungi petikan daripada
Bible itu Matius 19:6:
“Demikianlah mereka bukan lagi dua, melainkan
satu.
Kerana itu, apa yang telah dipersatukan Allah,
tidak boleh diceraikan manusia.”
Sebagaimana yang telah diterangkan, orang-orang
bukan Islam di Negara Islam adalah dilarang memperdengarkan dan memperlihatkan
bacaan dan tulisan mereka seperti Bible kepada orang-orang Islam. Mereka juga
dilarang menyebarkan perkara-perkara berkaitan agama mereka dan syiarnya.
Oleh itu, sebagaimana yang telah disebutkan
oleh Ulama Fiqh, jika mereka (orang bukan Islam) melakukan perkara-perkara yang
bersalahan dengan syarat-syarat orang bukan Islam di Negara Islam, pemerintah
atau pihak berkuasa Islam wajib menegah perbuatan mereka dan melakukan tindakan
sewajarnya ke atas mereka.
Maka, pemerintah atau pihak berkuasa Islam
wajib memberi teguran, menegah dan menahan penyebaran kad jemputan perkahwinan
yang mempamerkan petikan daripada Bible, apatah lagi ia mengandungi nama ‘Allah’,
iaitu antara perkataan yang dilarang ke atas orang-orang bukan Islam yang bahasanya
bukan Bahasa Arab untuk menggunakannya.
Tindakan ini adalah untuk memelihara aqidah
umat Islam dan menghalang daripada perkara-perkara yang boleh menimbulkan
penghinaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala jua, kerana kita juga
telah maklum bahawa fahaman orang-orang Nashrani tentang Allah adalah salah dan
syirik.”
Itulah di antara petikan kandungan dari fatwa
yang telah diberikan oleh Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam; Yang
Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang
Abdul Aziz bin Juned
Sehubungan dengan perkara yang dijelaskan di
atas, maka kitani sebagai umat Islam perlulah khabar mengkhabarkan dan ingat
mengingatkan, bukan saja kepada saudara sesama muslim akan tetapi, juga kepada orang-orang
yang bukan beragama Islam yang tinggal di Negara ini mengenai hal tersebut…
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan