Thursday, May 31, 2012

Sambutan ABDB yang ke 51 tahun


31 Mei merupakan tarikh yang bersejarah dan menjadi ristaan bagi negara kitani, Iaitu Negara Brunei Darussalam kerana ia adalah tarikh Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Angkatan bersenjata mempunyai tugas yang sangat murni dan mulia iaitu dalam menjalankan keamanan dan mempertahankan negara tercinta kita daripada segala ancaman dan pencerobohan musuh yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara kita.

Islam adalah agama yang mencintai keamanan, kemakmuran dan kedamaian yang merupakan antara nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang amat berharga. Dengan keimanan, agama dapat dipelihara, kemajuan dapat dijana dan keselamatan dapat dinikmati.  Bagi mengelakkan daripada terkena dari sebarang ancaman dan pencerobohan pihak musuh, maka tertubuhlah pasukan tentera iaitu Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi menjaga dan mengekalkan ancaman, kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Menjaga keamanan itu adalah tugas dan tanggungjawab yang sangat besar yang memerlukan kepada komitmen dan pengorbanan dari setiap anggota tentera yang berkhidmat. Dan kita patut bersyukur dan berbangga kerana ramai anak bangsa kita menyertai Pasukan ABDB untuk berkhidmat kepada raja, agama, bangsa dan negara agar kita dapat terus hidup dalam suasana aman sentosa dan sejahtera. Sebagaimana kita ketahui, bahawa anggota tentera di negara kitani memiliki kemahiran yang tinggi dalam bidang ketenteraan serta dilengkapi dengan peralatan yang canggih dan moden. Namun perlulah diketahui bahawa kesemua itu belumlah mencukupi untuk menjamin kekuatan pertahanan sesebuah negara. Dengan adanya kekuatan iman yang ada dalam diri setiap anggota tentera, maka insya – Allah akan melahirkan tentera yang kuat, berkualiti, berdisplin dan bersatupadu dalam menangani musuh dan ancaman luar.

Maka adalah menjadi tanggungjawab anggota tentera mematuhi arahan dan perintah ketua mereka selama apa yang diperintahkan tidak bercanggah dengan hukum dan peraturan Islam kerana sebarang persengketaan dan perpecahan hanya akan menyebabkan kehancuran dan kemusnahan. Dalam memperjuangkan dan mempertahankan negara bukan hanya pada anggota tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negara memerlukan rakyat yang sanggup berjuangg dan berkorban bagi mempertahankan negara.’

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisa ayat 59:-

يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ أَطِيعُواْ اللهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِى الأَمْرِ مِنكُمْ..... (59)
Tafsirnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri iaitu orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu”

Dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan mempertahankan negara, ada di kalangan anggota tentera yang terkorban semasa menjalankan tugas. Bagi mengenang jasa-jasa mereka, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala menerima segala pengorbanan yang dicurahkan serta tergolong di kalangan insan yang beroleh keampunan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Oleh itu, bersempena memperingati Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata ini. Para anggota tentera perlulah mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan bertawakkal kepada Allah Ta’ala. Berwaspada dan sentiasa mengharap keredhaan daripadaNya. Dan menjalankan tugas dengan niat yang suci, ikhlas dan bekerja dengan jujur dan amanah mengikut ajaran agama Islam, dengan yang demikian, agama, raja, bangsa dan negara akan terpelihara dan selamat serta mendapat perlindungan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Insya-Allah

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Anfaal ayat 45:-
 
يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُواْ وَاذْكُرُوا ْ اللهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman!  Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatlah Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan berdoa banyak-banyak, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan"

*MB-2*

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan