Monday, December 09, 2013

ADAB BERSUKAN



Sambungan dari Part 2…
ADAB BERSUKAN – (PART 3)

·         - Sukan yang tidak melalaikan.

Gaya hidup manusia yang rata-rata sibuk dengan pelbagai urusan dan tertekan oleh keadaan sekeliling membuatkan aktiviti sukan sebagai penghibur dan pelepas kekusutan yang digemari pada masa kini. Oleh itu ianya mestilah dibatasi agar tidak melalaikan dan boleh menyebabkan meninggalkan kewajipan atau tanggungjawab dan ianya hendaklah selaras dengan hokum syara’.
Firman Allah Subhanahau waTa’ala dalam Surah adz-Dzaariyaat ayat 56:

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Tafsirnya:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Ayat diatas menunjukkan bahawa keutamaan kita hidup di dunia ini ialah untuk beramal ibadat kepada Allah dan untuk mendapat keredhaanNya. Manakala mengambil perkara-perkara yang menghiburkan hati hanyalah sebagai sampingan sahaja, maka jika kita terlalu leka dengan hiburan seperti bersukan dengan melampaui batas ianya adalah dihukumkan haram begitu juga sekiranya sukan yang diikuti itu akan menyebabkan seseorang itu lalai hingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga maka dalam situasi mengikuti sukan begini adalah haram kerana setiap tanggungjawab itu akan dipertikaikan di akhirat kelak. Ini dijelaskan dalam hadits riwayat Imam at-Tirmidzi, daripada Anas Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اِنَّ اللهَ سَائِلُ كُلَّ رَاع عَمَّا اسْتَرْعَاهُ احْفَظَ أَمْ ضَيَّعَ

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya atau mensia-siakannya.

      
      
      - Sukan yang mendatangkan manfaat.

Sebaiknya sukan yang dilakukan ada mendatangkan manfaat sama ada kepada individu itu sendiri khasnya dan kepada masyarakat atau pada Negara amnya.

Sebagai seorang insan yang dikurniakan akal fikiran, sudah setentunya setiap perkara yang hendak dilakukan akan dipertikaikan terlebih dahulu sama ada ianya bermanfaat atau tidak. Begitu juga halnya dalam bersukan, seseorang itu haruslah memikirkan apakah manfaat yang bakal diterimanya jika melakukan sukan tersebut, misalnya seseorang mengikuti lumba lari atau bermain bola sepak untuk meningkatkan stamina atau menjaga kesihatan tubuh badannya.

Oleh itu Islam amat menekankan agar adab-adab Islam dipatuhi dalam aktiviti bersukan. Sekiranya kita menghendaki aktiviti sukan sebagai satu ibadah yang diterima Allah Subhanahu waTa’ala hendaklah kita memperbetulkan niat iaitu bersukan dalam suasana yang dibolehkan dalam syariat Islam dan untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

Monday, December 02, 2013

MENGAPA MESTI MAKANAN YANG HALAL?




Makanan bukanlah sekadar untuk mengisi perut, bahkan mempunyai ikatan dengan ibadat serta memberi kesan kepada peribadi manusia. Sebab itulah umat Islam diwajibkan untuk memastikan setiap makanan yang dipilihnya adalah dari sumber yang bersih dan halal. Hanya makanan yang halal sahaja akan menimbulkan rasa syukur dan ketaqwaan dalam diri seorang.

Selain itu, memakan makanan dan minuman yang halal, suci dan tiada najis adalah salah satu syarat agar doa dimakbulkan. Doa yang diterima adalah doa daripada jasad yang beriman, yang mana jasad itu diselimuti daging yang tumbuh daripada makanan yang halal. Dalam sebuah hadits ada menyebutkan bahawa baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

عن ابن عباس قال : تليت هذه الآية عند رسول الله صلى الله عليه وسلم : يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا[1]. فقام سعد بن أبي وقاص ، فقال : يا رسول الله ، ادع الله أن يجعلني مستجاب الدعوة ،
فقال له النبي صلى الله عليه وسلم : «يا سعد أطب مطعمك تكن مستجاب الدعوة...»

Maksudnya:
Dari Ibnu ‘Abbas berkata: Aku telah membaca ayat ini ketika berada di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”. (al-Baqarah 168) Maka berdiri Sa’ad bin Abi Waqqas, maka bertanya: “Ya Rasulullah,
doakan saya kepada Allah agar doa saya terkabul.” Rasulullah menjawab: “Wahai Sa’ad, perbaikilah makananmu, maka doamu akan terkabulkan...”[2] (Riwayat at-Thabrani).

Makanan yang halal lagi berzat amat penting dan mempunyai kesan kepada minda kerana saripati makanan bukan sahaja tunjangan utama pembentukkan otat dan daging, malahan kuasa minda. Minda, rohani dan peribadi manusia akan terbentuk sesuai dengan kesucian atau kekotoran bahan baik, halal dan suci menurut peraturan syara’ akan membentuk keperibadian yang mulia berasaskan kehidupan Islam.

Sebagai contoh ialah Imam Syafié rahimahullah, salah seorang imam besar yang terkenal dengan kepintaran, kekuatan hafalan dan mampu menghafaz al-Qur’an sejak berusia sembilan tahun. Dalam satu riwayat menceritakan bahawa beliau pernah mengalami masalah dalam menghafaz pelajarannya. Apabila beliau menceritakan kepada gurunya Syeikh Waqi’ mengenai masalah ingatannya, Syeikh Waqi’ menasihatkan agar beliau memastikan kehalalan makanannya. Imam Syafi’e kemudian bertanya kepada ibunya, adakah makanan yang diberikan kepadanya berkemungkinan termasuk yang haram. Ibunya dengan yakin mengatakan tidak ada yang haram bahkan semuanya yang baik-baik dan halal belaka. Bagaimanapun setelah disiasat, beliau mendapati susu yang telah diminumnya datang daripada seekor kambing yang makan tanaman orang lain. Perkara ini sedikit sebanyak telah memberikan kesan yang negatif kepada beliau.

Begitulah besarnya kesan makanan kepada kesihatan dan kecerdasan seseorang. Umat Islam seharusnya sedear dan peka dengan setiap rezeki yang mereka nikmati. Baik rezeki itu berupa makanan atau wang, hendaklah dipastikan kehalalannya terlebih dahulu jika mereka menginginkan  kesihatan yang baik, kemuliaan akhlak dan tahap keintelektualan yang tinggi bagi diri sendiri, keleuarga dan anak bangsa mereka.




[1]  البقرة: 168
[2] المعجم الأوسط للطبرانى، الباب:  باب الميم من اسمه: محمد، الجزء: 14، الصفخة: 261

ADAB BERSUKAN



Sambungan dari Part 1…


Adab Bersukan – (PART 2)

Menutup aurat:

Menutup aurat bukan hanya diwajibkan didalam waktu sembahyang shaja tetapi ianya dituntut dimana sahaja selagi berada ditempat terbuka atau berada dihadapan ajnabi, lelaki atau perempuan yang halal dinikahi.
Firman Allah Subhanahu waTa’ala dlm surah al-Ahzaab ayat 59:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Tafsirnya:

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat tersebut menunjukkan akan pentingnya menutup aurat apatah lagi pada zaman sekarang, pengaruh dan gejala negatif semakin berleluasa. Dengan itu, adalah menjadi satu kewajiban untuk menghadkan pakaian kita dalam bersukan. Islam tidak menetapkan fesyen pakaian yang tertentu dalam bersukan tetapi apa yang penting ialah pakaian sukan tersebut hendaklah menepati syarat-syarat yang ditentukan dalam syara’.

Segala jenis sukan yang memaksa seseorang menggunakan pakaian yang bertentangan dengan hukum syara’ adalah wajib untuk dtinggalkan. Tiada alas an untuk terpaksa menggunakan pakaian-pakaian yang nipis, jarang atau ketat hanya kerana ingin mengikut adat kebiasaan atau mengelakkan panas atau inginkan keselesaan semasa bersukan.



Sukan yang tidak memudharatkan:

Firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam surah al-Baqarah ayat 195:

وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Tafsirnya:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan.

Ayat ini jelas menunjukkan akan haramnya melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kemudharatan diri sendiri ataupun orang lain. Malahan ulama telah bersepakat bahawa apa sahaja penyebab bahaya yang menjurus kepada kehancuran adalah wajib untuk dtinggalkan begitu juga sukan-sukan yang memudharatkan dirinya sendiri atau memudharatkan orang lain.


bersambung dikeluaran akan datang.... insya Allah..