Thursday, May 29, 2014

WIRA PAHLAWAN NEGARA.



Alhamdulillah… 
53 tahun sudah penubuhannya. Keamanan, kemerdekaan, keselamatan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat pada hari ini adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan termasuklah pihak tentera; Wira Pahlawan Negara. Sesungguhnya keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara adalah perkara yang menjadi keutamaan dalam aspek bernegara, terutama dalam sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa tugas menjaga dan memelihara keselamatan dan sebarang ancaman dan pencerobohan anasir-anasir jahat tergalas di atas bahu Wira Pahlawan Negara, namun hakikatnya setiap warganegara tanpa mengira pangkat dan kedudukan wajib sama memastikan tanah air kita Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara daripada sebarang perbuatan zalim yang boleh menjejaskan keselamatan Negara.

Tanggungjawab ini dapat kita tunaikan mengikut kemampuan masing-masing selaras dengan kepakaran dan kebolehan kita. Di sinilah nilai keberanian, pengorbanan, kekuatan rohani  dan ketahanan semangat juang yang tinggi dititikberatkan. Kita ambil kisah hidup Usamah bin Zaid; seorang Pahlawan Islam yang amat disegani. Beliau telah dipilih oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetuai tentara Islam di kala usia beliau masih muda iaitu 18 tahun. Baginda memilih Usamah berdasarkan kredibiliti dan keterampilan beliau yang berani dan tidak gentar berhadapan dengan musuh, bertaqwa dan memiliki sifat-sifat terpuji. Keikhlasan yang terpamer ketika berjuangmenentang musuh membakar semangat para pejuang yang lain. Inilah yang kita mahukan di dalam diri belia dan generasi baru Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
`
Hakikatnya Islam memandang tinggi pada umatnya yang berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara kerana ia merupakan sifat mulia yang disanjung tinggi oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala melebihkan kedudukan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Bersempena 53 tahun ulang tahun penubuhannya, sama-sama kita panjatkan doa  semoga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi negara kita daripada ancaman musuh dan musibah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Marilah kita sama-sama hayati firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Anfaal ayat 60 yang tafsirnya:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآَخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

"Dan bersedialah untuk menghadapi mereka ( musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu pula tidak akan dizalimi".

Saturday, May 24, 2014

SUJUD SYUKUR


Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala atau atas terhindarnya daripada malapetaka.

Adapun melakukan sujud syukur itu adalah sunat, ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya:
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَوَجَّهَ نَحْوَ صَدَقَتِهِ فَدَخَلَ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ فَخَرَّ سَاجِدًا فَأَطَالَ السُّجُودَ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ قَبَضَ نَفْسَهُ فِيهَا فَدَنَوْتُ مِنْهُ فَجَلَسْتُ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ مَنْ هَذَا قُلْتُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ قَالَ مَا شَأْنُكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ سَجَدْتَ سَجْدَةً خَشِيتُ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ قَبَضَ نَفْسَكَ فِيهَا فَقَالَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام أَتَانِي فَبَشَّرَنِي فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَسَجَدْتُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ شُكْرًا

Maksudnya: “Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya, Baginda menghadap qiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya  bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatanganiku dan memberi khabar gembira kepadaku lalu Jibril berkata: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau, Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya”. Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah.”
(Hadits riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadits yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud. (Syarh al-Minhaj).

Sujud syukur di dalam mazhab asy-Syafi’e, tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.
Sujud syukur itu dilakukan ketika di luar waktu sembahyang. Cara melakukan sujud syukur ialah:-
Ø  Niat:
نَوَيْتُ سُجُودَ الشُّكُورِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku sujus syukur kerana Allah Ta’ala”
Ø  Takbir
Ø  Sujud
Ø  Salam

Syarat-syarat sah sujud syukur iaitu suci daripada hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap qiblat.

Bacaan atau Zikir ketika Sujud
Di antara zikir yang digalakkan itu ialah :
سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Zikir lain sebagaimana yang disebut dalam hadist Baginda Shallalahu ‘alaihi wasallam:
اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا وَتَقَبَّلْهَا مِنِّي كَمَا تَقَبَّلْتَهَا مِنْ عَبْدِكَ دَاوُدَ

Menurut Imam al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun dia suci daripada hadas (Dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyyatulmasjid [1]

Walaupun sujud syukur adalah satu ibadah yang tuntutannya adalah sunat dan cara melakukannya mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah. Dari itu, jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun hanya merupakan tuntutan sunat kerana dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tidak mengabaikan ajaran Islam.


[1] (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 1136)


Wednesday, May 07, 2014

KERANA MATA....



Mata merupakan jendela hati yang mengirimkan kesan terus ke otak kemudian mengirimkannya kepada anggota tubuh kita. Nabi Musa ‘alaihissalam ketika melihat Allah Subhanahu waTa’ala di atas gunung, baginda terus pengsan, iaitu ketika sampai ke dalam hatinya (melalui penglihatan mata baginda) iaitu cahaya yang agung, indah dan berwibawa.

Demikian pula ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam ketika melihat Malaikat Jibril di Gua Hira’ dalam bentuk yang asli, penglihatan baginda yang menembus hatinya itu berupa rahsia-rahsia yang tidak dapat diungkapkan. Begitu juga Nabi Sulaiman ‘alaihissalam ketika melihat singgahsana Ratu Balqis yang terpampang di hadapannya, hatinya terus gembira dengan keimanan pemilik singgahsana tersebut beserta rakyatnya. Inilah yang menyebabkan secara spontan beliau mengucapkan puji kepada Allah Subhanahu waTa’ala sebagaimana dikisahkan dalam surah an-Naml ayat 40:

فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ

Tafsirnya: “…Maka apabila Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu ada di sisinya, dia berkata: “Ini adalah limpah kurnia Tuhanku untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau aku kufur (kepada nikmatNya)..”

Kesan pandangan mata yang terus bereaksi terhadap hati inilah yang menyebabkan penglihatan itu dapat menerangi hati ataupun menggelapkannya. Kerana itulah Allah Subhanahu waTa’ala memerintahkan hamba-hambaNya untuk memelihara pandangan mata dan memanfaatkanya untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Diriwayatkan oleh al-Imam ath-Thabarani, dari Mu’awiyah bin Hidah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تَرَى أَعْيُنُهُمُ النَّارَ: عَيْنٌ حَرَسَتْ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَعَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ، وَعَيْنٌ غَضَّتْ عَنْ مَحَارِمِ اللهِ

Maksudnya: “Tiga golongan yang mata mereka tidak disentuh oleh api neraka; mata yang berjaga di jalan Allah, mata yang menangis kerana takut kepada Allah, dan mata yang ditahan dari yang diharamkan Allah.”

Ada tiga jenis mata yang bertuah, beruntung dan tidak akan menangis pada hari kiamat:

i.          Mata yang berjaga-jaga dan bertempur dalam jihad di jalan Allah Subhanahu waTa’ala.
ii.         Mata yang selalu berpaling dari apa yang diharamkan Allah Subhanahu waTa’ala.
iii.        Mata yang menangis (di dunia) kerana takut kepada Allah Subhanahu waTa’ala dan mengharapkan rahmat pengampunan dan redhaNya.[1]
 
Pandangan ataupun penglihatan seseorang dapat mendorong kepada keimanan dan ia boleh juga mengakibatkan terjerumus ke dalam lubang api yang sangat dalam. Oleh kerana eratnya hubungan antara mata dan nafsu dan besarnya akibat buruk daripadanya, Allah Subhanahu waTa’ala telah memerintahkan para lelaki dan perempuan untuk memelihara dan menjaganya dan menundukkan pandangan daripada yang sia-sia. Allah Subahanhu waTa’ala telah menjanjikan keuntungan bagi setiap orang yang mensucikan jiwanya dan juga membebaskan dirinya dari sifat-sifat buruk. Allah Subhanahu waTa’ala juga menjanjikan kerugian dan kehampaan bagi yang menjahanamkan dirinya ke lembah maksiat. Ini adalah janji Allah Subhanahu waTa’ala dan setentunya kita wajib yakin akan kebenarannya.

والله اعلم 



[1] Abdul Aziz Salim Basyarhil, Kisah dan Pengajaran Jilid 2, 1998, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru,  halaman 6.