Thursday, May 29, 2014

WIRA PAHLAWAN NEGARA.



Alhamdulillah… 
53 tahun sudah penubuhannya. Keamanan, kemerdekaan, keselamatan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat pada hari ini adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan termasuklah pihak tentera; Wira Pahlawan Negara. Sesungguhnya keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara adalah perkara yang menjadi keutamaan dalam aspek bernegara, terutama dalam sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa tugas menjaga dan memelihara keselamatan dan sebarang ancaman dan pencerobohan anasir-anasir jahat tergalas di atas bahu Wira Pahlawan Negara, namun hakikatnya setiap warganegara tanpa mengira pangkat dan kedudukan wajib sama memastikan tanah air kita Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara daripada sebarang perbuatan zalim yang boleh menjejaskan keselamatan Negara.

Tanggungjawab ini dapat kita tunaikan mengikut kemampuan masing-masing selaras dengan kepakaran dan kebolehan kita. Di sinilah nilai keberanian, pengorbanan, kekuatan rohani  dan ketahanan semangat juang yang tinggi dititikberatkan. Kita ambil kisah hidup Usamah bin Zaid; seorang Pahlawan Islam yang amat disegani. Beliau telah dipilih oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetuai tentara Islam di kala usia beliau masih muda iaitu 18 tahun. Baginda memilih Usamah berdasarkan kredibiliti dan keterampilan beliau yang berani dan tidak gentar berhadapan dengan musuh, bertaqwa dan memiliki sifat-sifat terpuji. Keikhlasan yang terpamer ketika berjuangmenentang musuh membakar semangat para pejuang yang lain. Inilah yang kita mahukan di dalam diri belia dan generasi baru Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
`
Hakikatnya Islam memandang tinggi pada umatnya yang berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara kerana ia merupakan sifat mulia yang disanjung tinggi oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala melebihkan kedudukan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Bersempena 53 tahun ulang tahun penubuhannya, sama-sama kita panjatkan doa  semoga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa mendapat taufik dan hidayah serta sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi negara kita daripada ancaman musuh dan musibah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Marilah kita sama-sama hayati firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Anfaal ayat 60 yang tafsirnya:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآَخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

"Dan bersedialah untuk menghadapi mereka ( musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu pula tidak akan dizalimi".

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan