Saturday, May 24, 2014

SUJUD SYUKUR


Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala atau atas terhindarnya daripada malapetaka.

Adapun melakukan sujud syukur itu adalah sunat, ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya:
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَوَجَّهَ نَحْوَ صَدَقَتِهِ فَدَخَلَ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ فَخَرَّ سَاجِدًا فَأَطَالَ السُّجُودَ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ قَبَضَ نَفْسَهُ فِيهَا فَدَنَوْتُ مِنْهُ فَجَلَسْتُ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ مَنْ هَذَا قُلْتُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ قَالَ مَا شَأْنُكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ سَجَدْتَ سَجْدَةً خَشِيتُ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ قَبَضَ نَفْسَكَ فِيهَا فَقَالَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام أَتَانِي فَبَشَّرَنِي فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَسَجَدْتُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ شُكْرًا

Maksudnya: “Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya, Baginda menghadap qiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya  bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatanganiku dan memberi khabar gembira kepadaku lalu Jibril berkata: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau, Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya”. Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah.”
(Hadits riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadits yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud. (Syarh al-Minhaj).

Sujud syukur di dalam mazhab asy-Syafi’e, tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.
Sujud syukur itu dilakukan ketika di luar waktu sembahyang. Cara melakukan sujud syukur ialah:-
Ø  Niat:
نَوَيْتُ سُجُودَ الشُّكُورِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku sujus syukur kerana Allah Ta’ala”
Ø  Takbir
Ø  Sujud
Ø  Salam

Syarat-syarat sah sujud syukur iaitu suci daripada hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap qiblat.

Bacaan atau Zikir ketika Sujud
Di antara zikir yang digalakkan itu ialah :
سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Zikir lain sebagaimana yang disebut dalam hadist Baginda Shallalahu ‘alaihi wasallam:
اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا وَتَقَبَّلْهَا مِنِّي كَمَا تَقَبَّلْتَهَا مِنْ عَبْدِكَ دَاوُدَ

Menurut Imam al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun dia suci daripada hadas (Dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyyatulmasjid [1]

Walaupun sujud syukur adalah satu ibadah yang tuntutannya adalah sunat dan cara melakukannya mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah. Dari itu, jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun hanya merupakan tuntutan sunat kerana dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tidak mengabaikan ajaran Islam.


[1] (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 1136)


No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan