Mata merupakan jendela hati yang
mengirimkan kesan terus ke otak kemudian mengirimkannya kepada anggota tubuh kita. Nabi
Musa ‘alaihissalam ketika melihat Allah Subhanahu waTa’ala di atas
gunung, baginda terus pengsan, iaitu ketika sampai ke dalam hatinya (melalui
penglihatan mata baginda) iaitu cahaya yang agung, indah dan berwibawa.
Demikian pula ketika Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi Wasallam ketika melihat Malaikat Jibril di Gua Hira’ dalam
bentuk yang asli, penglihatan baginda yang menembus hatinya itu berupa
rahsia-rahsia yang tidak dapat diungkapkan. Begitu juga Nabi Sulaiman ‘alaihissalam
ketika melihat singgahsana Ratu Balqis yang terpampang di hadapannya, hatinya terus
gembira dengan keimanan pemilik singgahsana tersebut beserta rakyatnya. Inilah yang
menyebabkan secara spontan beliau mengucapkan puji kepada Allah Subhanahu waTa’ala
sebagaimana dikisahkan dalam surah an-Naml ayat 40:
فَلَمَّا
رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي
أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
Tafsirnya: “…Maka apabila Nabi
Sulaiman melihat singgahsana itu ada di sisinya, dia berkata: “Ini adalah
limpah kurnia Tuhanku untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau aku kufur
(kepada nikmatNya)..”
Kesan pandangan mata yang terus
bereaksi terhadap hati inilah yang menyebabkan penglihatan itu dapat menerangi
hati ataupun menggelapkannya. Kerana itulah Allah Subhanahu waTa’ala
memerintahkan hamba-hambaNya untuk memelihara pandangan mata dan memanfaatkanya
untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.
Diriwayatkan oleh al-Imam
ath-Thabarani, dari Mu’awiyah bin Hidah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu
‘alaihi Wasallam bersabda:
ثَلَاثَةٌ
لَا تَرَى أَعْيُنُهُمُ النَّارَ: عَيْنٌ حَرَسَتْ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَعَيْنٌ
بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ، وَعَيْنٌ غَضَّتْ عَنْ مَحَارِمِ اللهِ
Maksudnya: “Tiga golongan yang
mata mereka tidak disentuh oleh api neraka; mata yang berjaga di jalan Allah,
mata yang menangis kerana takut kepada Allah, dan mata yang ditahan dari yang
diharamkan Allah.”
Ada tiga jenis mata yang bertuah,
beruntung dan tidak akan menangis pada hari kiamat:
i. Mata yang berjaga-jaga dan bertempur dalam jihad di
jalan Allah Subhanahu waTa’ala.
ii. Mata yang selalu berpaling dari apa yang diharamkan
Allah Subhanahu waTa’ala.
iii. Mata yang menangis (di dunia) kerana
takut kepada Allah Subhanahu waTa’ala dan mengharapkan rahmat pengampunan dan
redhaNya.[1]
Pandangan ataupun penglihatan seseorang dapat mendorong kepada
keimanan dan ia boleh juga mengakibatkan terjerumus ke dalam lubang api yang
sangat dalam. Oleh kerana eratnya hubungan antara mata dan nafsu dan besarnya
akibat buruk daripadanya, Allah Subhanahu waTa’ala telah memerintahkan
para lelaki dan perempuan untuk memelihara dan menjaganya dan menundukkan
pandangan daripada yang sia-sia. Allah Subahanhu waTa’ala telah menjanjikan keuntungan
bagi setiap orang yang mensucikan jiwanya dan juga membebaskan dirinya dari
sifat-sifat buruk. Allah Subhanahu waTa’ala juga menjanjikan kerugian
dan kehampaan bagi yang menjahanamkan dirinya ke lembah maksiat. Ini adalah
janji Allah Subhanahu waTa’ala dan setentunya kita wajib yakin akan
kebenarannya.
والله اعلم
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan