Tuesday, May 05, 2015

Undang-Undang Islam Menjamin Keharmonian Masyarakat



وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (179)

 (Al-Baqarah: 179)
Tafsirnya:
 Dan bagi kamu dalam hukuman qishash itu ada jaminan hidup wahai orang-orang yang mempunyai akal (yang dapat memikir dan memahaminya) supaya kamu bertaqwa.

Qishash bermaksud melakukan tindakan yang sama yang berbentuk serangan fizikal terhadap seseorang sepertimana yang dilakukannya terhadap orang lain. Tindakan tersebut merangkumi perbuatan yang melibatkan pembunuhan atau kecedraan pada fizikal seseorang.[1]
 
Dalam hukum syara’, Allah Subhanahu wa Ta’ala menetapkan hukum qishash bagi orang yang membunuh jiwa. Qishash adalah bagi jenayah yang membabitkan nyawa dan anggota dikenakan bagi jenayah yang dilakukan dengan niat. Bagi jenayah tanpa niat atau hampir sengaja, tiada hukuman qishash dibenarkan sebaliknya dikenakan membayar diyat. Begitu juga, jika si pesalah itu, mendapat keampunan daripada keluarga mangsa.[2]

Secara jelasnya, ayat ini menerangkan bahawasanya hukuman qishash itu menjamin hidup yang mana pada hakikatnya qishash itu sendiri adalah kelangsungan hidup bagi jiwa manusia. Ini merupakan satu ungkapan yang indah yang mempunyai makna yang sangat mendalam. 

Hal ini dilihat daripada akibat hukuman qishash itu.  Apabila hukuman qishash telah ditsabitkan, maka  manusia yang lain akan menjadikan hukuman tersebut sebagai satu iktibar untuk menahan diri daripada melakukan kezaliman yang sama terhadap manusia yang lain.  Dengan demikian, kelangsungan hidup manusia akan sentiasa terjaga. Ayat ini sama sekali menjamin dan memberikan kehidupan jiwa manusia sekaligus menegakkan keadilan untuk menuntut bela keatas orang yang teraniaya. [3]
 
Bukan sahaja hukuman qishash, malahan hukuman Allah Subhanahu wa Ta’ala secara jelasnya sama ada hudud, qishash dan ta’zir itu merupakan  hukuman yang adil dan lurus. Ini dibuktikan dengan kadar jenayah dan pembunuhan di negara-negara yang mengimplementasikan hukum-hukum Allah. Masyarakatnya hidup dalam keadaan aman dan selesa. Hal ini kerana hukuman hudud atau qishash itu menjadi sebab penghalang terjadinya jenayah dan pembunuhan. 

Tujuan di sebalik hukuman yang dikenakan oleh Islam bukanlah semata-mata hukuman yang kejam bagi menyeksa penjenayah tetapi sebenarnya adalah untuk menjamin keharmonian masyarakat dan ianya hendaklah dijalankan untuk mencapai matlamat tersebut. Sejarah silam dan moden telah membuktikan hukum Islam itu sebagai penawar yang mujarab dan berkesan. 

Adapun pernyataan yang diucapkan oleh musuh-musuh Islam mengenai hukum jenayah syar’iah ini merupakan satu kritikan yang dangkal. Disebabkan mereka adalah musuh Islam, maka mereka setentunya dengan sebulat suara menafikan rasional di sebalik hukuman ini, begitu juga dengan sebab, tujuan, kesan, faktor dan garis panduannya. Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah mendalami kefahaman mengenai hukuman jenayah syar’iah ini agar tidak timbulnya sebarang syak wasangka dan prejudis terhadap keberkesanan hukuman ini. Sekaligus dapat membidas pernyataan musuh-musuh Islam dan mempertahankan Islam sebagai agama yang menegakkan keadilan dan bukannya satu agama yang ekstrim dan kejam.

Dengan hukuman Allah ini, ia akan menjadi sebab bagi kita untuk menambahkan ketaqwaan sebagai umat Islam dan menghindari daripada melakukan jenayah serta kemaksiatan. 

Antara tujuan perlaksanaan hukuman undang-undang Islam dilaksanakan secara zahir dan terang-terangan seperti di khalayak ramai seperti berikut:-
  • Menimbulkan perasaan gerun melakukan kejahatan kepada masyarakat dan orang ramai.
  • menggalakkan ibubapa dan setiap orang menjaga keluarga dan maruah masing-masing agar tidak tercemar.
  • Pesalah sudah pasti menyesal dan berazam tidak mahu mengulangi perbuatan tersebut.
  • Bagi mereka yang "bercita-cita"  melakukan kejahatan, sudah pasti niat mereka akan terbantut. Hal ini disebabkan ketegasan undang-undang Islam dalam pelaksanaan sesuatu hukuman. (Zulkifli Mohamad al-Bakri. Solusi Isu No.52, Halaman 109).


[1] Al-Khin, al-Bugha, Asy-Syarbaji ,Fiqh manhaji , Jilid 8, Hlmn 1802
[2] Ibid, Hlmn 1807
[3] Tafsir Fathul Qadir, Jilid 1, Hlmn 683


No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan