Dalam
sesebuah institusi keluarga, ibu bapa merupakan orang yang pertama memberikan
didikan terawal kepada anak-anak mereka. Ibubapa hendaklah mempunyai sifat atau
keperibadian yang mulia untuk dijadikan sebagai role model atau contoh ikutan
yang baik bagi anak-anak mereka. Setiap ibu bapa memang mengimpikan anak-anak
mereka kelak akan menjadi anak-anak yang salih dan salihah. Merekalah pewaris
yang bakal memanjangkan amal kedua ibubapanya walaupun kedua-duanya sudah
tiada. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam
at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ
إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٌ صَالِحٌ
يَدْعُو لَهُ
Maksudnya
Apabila
seseorang meninggal dunia,maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga
pekara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak salih yang
selalu mendoakan kedua ibubapanya.
Dalam hal
ini anak-anak yang salih dan salihah adalah aset yang bakal membuahkan
kebahagiaan ibu bapa di dunia dan di akhirat, justeru itu, ibubapa perlu ingat
bahawa anak-anak adalah amanah daripada Allah Subhanahu Wata’ala yang mana
menuntut tanggungjawab mereka untuk melaksanakan tugas dalam mendidik dan
membentuk mereka dengan sesempurnanya terutama dalam memberikan didikan agama.
Di antara
didikan yang perlu diberikan ialah dengan mengajarkan al-Quran. Ibu bapa
hendaklah mengajarkan al-Quran kepada anak-anak mereka agar kelak menjadi
generasi yang benar-benar beriman dan bertaqwa, membesar sebagai seorang muslim
dan muslimah yang sentiasa terdidik dengan panduan al-Quran.
Oleh yang
demikian ibu bapa perlu terlebih dahulu menjadi seorang yang celik al-Quran dan
turut melengkapkan diri mempelajari serta mendalami al-Quran supaya dapat
mendidik anak-anak dengan kaedah yang betul. Oleh itu ibu bapa hendaklah
sentiasa mencari kaedah atau cara yang mudah untuk mereka mendekatkan
diri dengan al-Quran demi kepentingan misi untuk sama-sama melahirkan generasi
yang mengamalkan al-Quran. Antara kaedah-kaedah tersebut ialah:
- Ibu bapa hendaklah membiasakan diri untuk sentiasa membaca al-Quran. Dengan cara ini anak-anak juga akan dapat mengikut rentak mereka. Alunkanlah selalu bacaan ayat-ayat suci al-Quran di dalam rumah, bilik-bilik tidur,kereta dan sebagainya
- Seandainya ibu bapa tidak mahir dalam membaca al-Quran maka dapatkanlah atau cari guru yang mampu membantu mereka untuk lancar dan mahir dalam membaca al-Quran dengan betul dan tepat.
- Ibu bapa hendaklah mengkhususkan atau meluangkan masa untuk berkumpul bersama keluarga bagi bertedarus al-Quran. Dengan cara ini juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan.
- Biasakan anak-anak untuk berinteraksi dengan al-Quran.
- Semarakkan kehidupan berkeluarga dengan bercerita kisah-kisah tauladan para nabi yang disebutkan dalam al-Quran sebagai motivasi bagi anak-anak dalam membina akhlak dan keperibadian mereka.
- Ibu bapa hendaklah membiasakan diri untuk mendengar dan menonton bacaan ayat-ayat suci al-Quran bersama anak-anak sama ada di radio atau televisyen.
- Membacakan ayat-ayat suci al-Quran ditelinga anak-anak sebelum mereka tidur dan mengajarkan mereka untuk membaca potongan ayat-ayat al-Quran sebelum tidur.
- Ibu bapa hendaklah mempunyai sikap sabar, ikhlas, tekun dan tabah dalam membentuk anak-anak berjiwa al-Quran. Walaupun rasanya berat untuk dilaksanakan, akan tetapi ianya adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Allah subhanahu wata’ala akan memberikan ganjaran pahala bagi sesiapa yang melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Baihaqi iaitu daripada Abu Hurairah radhialllahu’anhu baginda bersabda:
مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ فِي شَبِيْبَتِهِ اِخْتَلَطَ الْقُرْآنُ بِلَحْمِهِ وَدَمِهِ ،
وَمَنْ تَعَلَّمَهُ فِي كِبَرِهِ فَهُوَ يَنْفَلِتُ مِنْهُ وَلاَ يَتْرُكُهُ ،
فَلَهُ أَجْرُهُ مَرَّتَيْن ِ
Maksudnya:
Barangsiapa
yang mempelajari al-Quran ketika masih muda, maka al-Quran itu akan menyatu
dengan daging dan darahnya. Dan barangsiapa yang mempelajari al-Quran ketika
dewasa, sedangkan ilmu itu akan lepas darinya dan tidak melekat pada dirinya
(akan diajarkannya kepada orang lain), maka ia mendapatkan ganjaran pahala dua
kali.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan