Tuesday, May 19, 2015

KEDUDUKAN SEMBAHYANG DAN HUKUM BAGI YANG MENINGGALKANNYA


Kedudukan ibadah sembahyang itu diletakkan dalam ibadah yang lebih utama berbanding dengan ibadah-ibadah lain, kerana ia adalah ibadah yang mula-mula difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas para hambaNya iaitu selepas ucapan dua kalimah syahadah. Ini disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

بُنِيَ  الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Islam dibina di atas lima asas: pengakuan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.
Ibadah sembahyang juga merupakan ibadah yang pertama sekali yang akan dihisab pada hari kiamat kelak. Maka beruntunglah bagi setiap hamba Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sentiasa menjaga ibadah sembahyangnya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, sesungguhnya baginda bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: Sesungguhya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba pada hari kiamat ialah sembahyang, sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya rosak, maka kecewa dan rugilah dia.
Kedudukan ibadah sembahyang itu diumpamakan sebagai letaknya kepala bagi manusia, sekiranya kepala itu hilang atau tiada, maka pincang dan matilah manusia itu. Begitu juga kedudukan ibadah sembahyang, tanpa mengerjakannya sekalipun ia mengaku beragama Islam dan berpegang teguh dengan ajaran-ajaran agama Islam itu, namun semuanya tetap tidak dapat dianggap sebagai seorang yang beriman dan sempurna agamanya disisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sehubungan dengan ini, Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam pernah bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabarani, daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لا إِيمَانَ لِمَنْ لا أَمَانَةَ لَهُ ، وَلا صَلاةَ لِمَنْ لا طُهُورَ لَهُ ، وَلا دِينَ لِمَنْ لا صَلاةَ لَهُ ، إِنَّمَا مَوْضِعُ الصَّلاةِ مِنَ الدِّينِ كَمَوْضِعِ الرَّأْسِ مِنَ الْجَسَدِ

Maksudnya: Tidak ada iman bagi sesiapa yang tidak beramanah, tidak dianggap bersembahyang bagi sesiapa yang tidak berwudhu’,tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak mengerjakan sembahyang. Sesunggguhnya sembahyang dalam agama seumpama kepala pada tubuh badan.
Adalah mejadi dosa besar apabila ibadah sembahyang itu ditinggalkan apalagi dengan senghaja dan sudah pasti balasannya adalah neraka Saqar. Ini telah dinyatakan melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Muddatstsir ayat 41 hingga 43:
عَنِ الْمُجْرِمِينَ (41) مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (42) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (43)

Tafsirnya: Tentang (keadaan) orang-orang yang berdosa, (mereka berkata:) “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar?”Orang-orang berdosa itu berkata: “Kami tidak termasuk dalam golongan yang mendirikan sembahyang.”
Apabila neraka menjadi balasan kepada sesiapa yang meninggalkan ibadah sembahyang, maka sudah pasti ia juga termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mengingkari perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan akan mengakibatkannya terlepas daripada perlindungan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan rasulNya, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadits riwayat Imam Ahmad, daripada Mu’adz, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ تَرَكَ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُ ذِمَّةُ اللَّهِ

Maksudnya: Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan senghaja, maka dia terlepas dari perlindungan Allah.
Adapun bukti balasan bagi orang-orang yang meninggalkan ibadah sembahyang ini telah diperlihatkan kepada baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Dalam peristiwa tersebut bahawa ada suatu kaum yang dihempap kepalanya dengan batu besar. Setiap kali kepala itu bercerai, maka setiap kali itu pula ia kembali semula seperti sediakala. Hal ini berlaku terus menerus tidak henti-hentinya. Menurut Jibril ‘alaihissalam, apabila ditanya oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam akan hal orang itu, ia menjelaskan bahawa itulah perihal orang-orang yang sentiasa malas untuk menunaikan sembahyang fardhu.[1]

والله أعلم بالصواب








[1] Bersama Mufti, kumpulan siri irsyad yang disampaikan di Radio dan Televisyen Brunei oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam sepanjang tahun 1995-1997, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, Cetakan Pertama 1998, m.s. 152.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan