Bilakah Berlakunya
Lailatul Qadar Itu?
Sebahagian besar ulama mengatakan bahawa Lailatul Qadar itu terbatas
pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Di antara sepuluh malam terakhir
inilah diandaikan berlakunya Lailatul Qadar, dan besar kemungkinan ianya
berlaku pada malam berangka ganjil di antara malam-malam yang sepuluh itu iaitu
sama ada pada malam ke 21atau 23 atau 25 atau 27 atau 29. Fakta ini berdasarkan kepada sabda Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam:
الْتَمِسُوهَا
فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ فِي كُلِّ وِتْرٍ
Maksudnya: “Carilh Lailatul Qadar pada malam-malam yang
ganjil pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan.”
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada pendapat Imam Syafi’e, di antara malam-malam berangka
ganjil itu, pada malam kedua puluh satu atau malam kedua puluh tigalah
dijangkakan berlakunya Lailatul Qadar, jika tidak berlaku pada salah satu
daripada keduanya, dia mengandaikan pula pada malam kedua puluh tujuh.
Sebahagian besar para sahabat menjangkakan berlakunya Lailatul
Qadar itu pada malam kedua puluh tiga.
Sekumpulan para ulama pula berpendapat bahawa berlakunya
Lailatul Qadar itu secara berpindah-pindah; jika pada tahun ini berlaku pada
malam kedua puluh satu, maka pada tahun yang lain akan berlaku pada malam yang
lain pula iaitu pada malam ganjil di antara sepuluh malam terakhir bulan
Ramadhan selain dari malam kedua puluh satu tadi.
Jelas dari sini bahawa Lailatul Qadar itu tidaklah dapat
ditentukan secara pasti bila berlakunya, namun disebalik ketidakpastian itu,
terdapat hikmat atau faedah-faedah yang terkandung di dalamnya, di antaranya:
(i)
Jika kita mengetahui tarikh yang sebenar malam yang
diberkati itu, maka mungkin ramai yang tidak melakukan ibadat pada malam-malam
yang lain. Oleh kerana itulah, seorang itu terpaksalah beribadat tiap-tiap
malam sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan sambil mengharapkan mungkin pada
setiap malam tersebut adalah Lailatul Qadar ini bermakna bahawa seseorang itu
kenalah menghabiskan beberapa malam untuk beribadat, insya Allah dia akan
memperolehi ganjaran untuk itu.
(ii) Jika terdapat dikalangan kita yang melakukan maksiat
pada malam itu, betapa bahaya dan malangnya mereka, jika bertepatan malam
tersebut ialah Lailatul Qadar.
Meskipun kita tidak dapat mengetahui secara pasti bilakah
Lailatul Qadar itu, namun terdapat banyak tanda-tanda yang dapat membantu kita
untuk menentukannya sebagai Lailatul Qadar.
Sifat, rupa atau tanda-tanda Lailatul Qadar, bahawa ia
merupakan satu malam yang berkeadaan sunyi sepi penuh ketenangan serta bercahaya.
Suasananya segar tidak panas dan tidak pula sejuk, tetapi sederhana. Keadaan
ini berterusan sehingga terbit fajar. Tanda-tanda yang lain ialah pada waktu pagi,
matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya atau sinar yang
terik.
Orang yang dapat melakukan apa jua jenis ibadat, sama ada
sembahyang, membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain pada Lailatul Qadar dengan
penuh rasa keimanan, nescaya dia akan mendapat kedudukan yang amat tinggi di sisi
Allah Subhanahu wata’ala, dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda
yang tiada terhitung oleh sesiapapun jua.
Oleh yang demikian rebutlah peluang keemasan di malam-malam
kesepuluh yang terakhir di bulan Ramadhan, tanpa terpengaruh dengan ketiadaan
tanda-tanda atau alamat-alamat seperti yang diramalkan. Penghayatan setiap
malam mempunyai harapan yang besar bahawa salah satu daripada malam-malam itu
adalah Lailatul Qadar. Biar apapun amalan yang kita buat, namun kita jangan
lupa untuk berdoa memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wata’ala daripada
segala dosa yang telah dilakukan. Ini jelas sebagaimana yang telah dianjurkan
oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits:
عَنْ عَائِشَةَ رضى
الله عنهَا قَالَتْ : قُلْتُ يَا رَسُولَ
اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَىَّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ
فِيهَا قَالَ :قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ
عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Aisyah Radhialllahu ‘anha meriwayatkan: “Aku
berkata: Wahai Rasulullah, apakah pandangan Tuan hamba sekiranya aku mengetahui
suatu malam itu ialah Lailatul Qadar, apakah yang aku katakan (doa) pada malam
itu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “katakanlah
(berdoalah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan
terhadap dosa-dosaku. Engkau Maha Pengampun, maka ampunilah aku.”
(Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Sesungguhnya inilah doa yang mencakup segala-galanya, di mana
seorang itu memohon kepada Allah agar menerusi rahmatNya yang abadi
mengampunkan dosa-dosanya. Jika ini sudah diperolehi, sudah tentu jalan ke akhirat
pasti selamat.
(Dipetik dari Irsyad Hukum 1997)