Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini
kita masih lagi diberikan kesempatan untuk berpuasa di dalam bulan yang mulia.
Bulan suci Ramadhan atau kita sebut juga sebagai bulan puasa yang sangat
dinanti-nantikan kedatangannya kerana ia dikatakan sebagai 'penghulu segala bulan'. Dalam bulan inilah,
semua orang Islam diwajibkan berpuasa, iaitu suatu ibadah yang amat tinggi
nilainya di sisi Allah Subhanahu waTa’ala.
Kenapa Ramadhan disebut sebagai 'penghulu
segala bulan'? Ini adalah kerana dalam bulan ini Allah Subhanahu waTa’ala telah
menurunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi
wasallam. Di samping itu juga, di dalam bulan Ramadhan ini ada satu malam yang digelar
'Lailatul-Qadr'. Malam ini mempunyai kelebihan yang menyamai amalan 1000 bulan
(83 tahun) malahan lebih. Ini bermakna hanya beramal satu ibadat diberikan
pahala seolah-olah mengerjakan ibadat itu selama 83 tahun. SubhanaAllah!
Ramadhan
menyimpan seribu satu rahmat dan hikmah buat kita semua. Namun, terdapat suatu
hikmah yang jarang sekali disedari oleh kaum muslimin, iaitu tuntutan untuk kembalinya kita
sebagai kaum muslim untuk menjadi ummat yang satu (ummatan wahidah), yang
berpegang teguh kepada Al-Quran sebagai tali Allah Rabbul ‘Alamin, penerapan
seluruh hukum Allah Subhanahu waTa’ala, serta mengembangkan risalah Islam untuk
mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kuno mahupun moden untuk menuju
cahaya Islam.
Allah Subhanahu waTa’ala mengaitkan puasa bulan
Ramadhan dengan jalan menuju ketaqwaan seperti firmanNya dalam surah Al
Baqarah, ayat 183 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ
عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ
تَتَّقُونَ
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang
beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas
orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi
syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga
dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan
tujuan menyempitkan perjalanan syaitan melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan
darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram,
mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan
berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau
diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat
peluang memerangkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan
bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.
Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh
Allah Subhanahu waTa’ala, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan
amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu ugama,
memperbanyakkan zikir, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa
dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.
Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan
tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan
banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadailah dengan makanan yang
sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka.
Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan
godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai
juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu.
Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan
positif.
Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir
dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih
yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya
sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.
Bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri
memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika
kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insya
Allah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan
yang mubarak ini.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran kerana kita masih diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini, semoga kita diberi ruang dan peluang untuk sentiasa memperbaiki diri dan bermuhasabah dalam meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu waTa'ala... Amin Ya Rabb
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan