Tuesday, June 28, 2016

LAILATUL QADAR



Bilakah Berlakunya Lailatul Qadar Itu?

Sebahagian besar ulama mengatakan bahawa Lailatul Qadar itu terbatas pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Di antara sepuluh malam terakhir inilah diandaikan berlakunya Lailatul Qadar, dan besar kemungkinan ianya berlaku pada malam berangka ganjil di antara malam-malam yang sepuluh itu iaitu sama ada pada malam ke 21atau 23 atau 25 atau 27 atau 29. Fakta ini  berdasarkan kepada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ فِي كُلِّ وِتْرٍ
Maksudnya: “Carilh Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan.”
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada pendapat Imam Syafi’e, di antara malam-malam berangka ganjil itu, pada malam kedua puluh satu atau malam kedua puluh tigalah dijangkakan berlakunya Lailatul Qadar, jika tidak berlaku pada salah satu daripada keduanya, dia mengandaikan pula pada malam kedua puluh tujuh.

Sebahagian besar para sahabat menjangkakan berlakunya Lailatul Qadar itu pada malam kedua puluh tiga.

Sekumpulan para ulama pula berpendapat bahawa berlakunya Lailatul Qadar itu secara berpindah-pindah; jika pada tahun ini berlaku pada malam kedua puluh satu, maka pada tahun yang lain akan berlaku pada malam yang lain pula iaitu pada malam ganjil di antara sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan selain dari malam kedua puluh satu tadi.

Jelas dari sini bahawa Lailatul Qadar itu tidaklah dapat ditentukan secara pasti bila berlakunya, namun disebalik ketidakpastian itu, terdapat hikmat atau faedah-faedah yang terkandung di dalamnya, di antaranya:

(i)       Jika kita mengetahui tarikh yang sebenar malam yang diberkati itu, maka mungkin ramai yang tidak melakukan ibadat pada malam-malam yang lain. Oleh kerana itulah, seorang itu terpaksalah beribadat tiap-tiap malam sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan sambil mengharapkan mungkin pada setiap malam tersebut adalah Lailatul Qadar ini bermakna bahawa seseorang itu kenalah menghabiskan beberapa malam untuk beribadat, insya Allah dia akan memperolehi ganjaran untuk itu.
(ii)   Jika terdapat dikalangan kita yang melakukan maksiat pada malam itu, betapa bahaya dan malangnya mereka, jika bertepatan malam tersebut ialah Lailatul Qadar.

Meskipun kita tidak dapat mengetahui secara pasti bilakah Lailatul Qadar itu, namun terdapat banyak tanda-tanda yang dapat membantu kita untuk menentukannya sebagai Lailatul Qadar.

Sifat, rupa atau tanda-tanda Lailatul Qadar, bahawa ia merupakan satu malam yang berkeadaan sunyi sepi penuh ketenangan serta bercahaya. Suasananya segar tidak panas dan tidak pula sejuk, tetapi sederhana. Keadaan ini berterusan sehingga terbit fajar. Tanda-tanda yang lain ialah pada waktu pagi, matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya atau sinar yang terik.

Orang yang dapat melakukan apa jua jenis ibadat, sama ada sembahyang, membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain pada Lailatul Qadar dengan penuh rasa keimanan, nescaya dia akan mendapat kedudukan yang amat tinggi di sisi Allah Subhanahu wata’ala, dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda yang tiada terhitung oleh sesiapapun jua.

Oleh yang demikian rebutlah peluang keemasan di malam-malam kesepuluh yang terakhir di bulan Ramadhan, tanpa terpengaruh dengan ketiadaan tanda-tanda atau alamat-alamat seperti yang diramalkan. Penghayatan setiap malam mempunyai harapan yang besar bahawa salah satu daripada malam-malam itu adalah Lailatul Qadar. Biar apapun amalan yang kita buat, namun kita jangan lupa untuk berdoa memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wata’ala daripada segala dosa yang telah dilakukan. Ini jelas sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits:
عَنْ عَائِشَةَ رضى الله  عنهَا قَالَتْ : قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَىَّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ  :قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Aisyah Radhialllahu ‘anha meriwayatkan: “Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah pandangan Tuan hamba sekiranya aku mengetahui suatu malam itu ialah Lailatul Qadar, apakah yang aku katakan (doa) pada malam itu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “katakanlah (berdoalah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku. Engkau Maha Pengampun, maka ampunilah aku.”
(Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Sesungguhnya inilah doa yang mencakup segala-galanya, di mana seorang itu memohon kepada Allah agar menerusi rahmatNya yang abadi mengampunkan dosa-dosanya. Jika ini sudah diperolehi, sudah tentu jalan ke akhirat pasti selamat.

(Dipetik dari Irsyad Hukum 1997)

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan