Di antara pegangan
sesat lagi bahaya yang telah dibawa oleh golongan Wahabi ini adalah seperti:
1. Memfatwakan bahawa
orang-orang di Mekah ramai yang kafir dan melakukan maksiat kerana mereka
membolehkan berdoa dan bertawassul di hadapan makam Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, para anbiya’ yang lain, malaikat dan para wali Allah,
mengharamkan perbuatan menziarahi makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam, menegah umat Islam daripada berselawat ke atas Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, membakar kitab Dala’il al-Khairat iaitu sebuah kitab yang
banyak mengandungi ucapan selawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam, menganggap Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak lebih
seperti utusan manusia biasa yang di utuskan oleh seorang pemerintah bagi
menyampaikan sesuatu perkhabaran kepada rakyat dibawah jajahannya, menganggap
sesat umat Islam yang tidak mengikut aliran mereka, serta banyak lagi.
Dari riwayat ini dapat difahami bahawa Muhammad bin Abdul Wahab pada
permulaan fatwa-fatwanya banyak mengkafirkan orang yang tidak mahu mengikut
fatwanya. Ahli Sunnah wal Jamaah berpendapat bahawa menziarahi makam Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah satu perbuatan yang digalakkan dalam Islam
sebagai tanda penghormatan kita kepada seorang pemimpin teragong, pembawa
rahmat, pembawa obor Tuhan dan penyelamat manusia ke arah kebahagiaan hidup di
dunia dan akhirat. Kita sendiri berselawat ke atas Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam setiap kali menunaikan sembahyang dan selawat kita akan sampai
kepada baginda dan dijawab oleh baginda. Ini dapat dilihat dalam sebuah hadits
riwayat Imam ad-Daruquthni dari Hathib katanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
مَنْ زَارَنِى بَعْدَ مَوْتِى فَكَأَنَّمَا زَارَنِى فِى
حَيَاتِى
Maksudnya:
Siapa yang menziarahiku selepas wafatku maka itu seolah-olah dia
menziarahiku semasa hidupku.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah al-Ahzab ayat 56 tafsirnya:
Sesungguhya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai
orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan
penuh penghormatan.
2. Mengharamkan pergi ziarah ke kubur. Perjalanan ke kubur itu di anggap
maksiat yang wajib dilarang. Mereka juga mengatakan bahawa tidak boleh
mengqasarkan atau menjama’ sembahyang dalam perjalanan yang bertujuan untuk
ziarah ke kubur kerana perjalanan itu maksiat. Ahli Sunnah wa Jamaah
berpendapat ziarah ke kubur itu adalah suatu yang digalakkan apa lagi ziarah ke
makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Memang pada suatu ketika
Rasulullah pernah menegah umat Islam dari menziarahi kubur, tetapi setelah iman
umat Islam mantap, baginda kemudian mengalakkannya sebagai suatu cara untuk
menimbulkan keinsafan dalam diri. Galakan ini terbukti dalam sebuah hadits
riwayat Imam Ahmad dari Sulaiman bin Buraidah dari bapanya berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
كُنْتُ
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا
Maksudnya:
Aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, tetapi sekarang
pergilah menziarahnya.
Dan dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim dari Sulaiman bin Buraidah dari
bapanya berkata:
كَانَ رَسُولُ
الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوا إِلَى
الْمَقَابِرِ فَكَانَ قَائِلُهُمْ يَقُولُ فِي رِوَايَةِ أَبِي بَكْرٍ: السَّلاَمُ
عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ، وَفِي رِوَايَةِ زُهَيْرٍ : السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
أَهْلَ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ
اللهُ لَلاَحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.
Maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada mereka apa yang
mesti mereka kerjakan apabila mereka hendak ziarah kubur. maka salah seorang
dari mereka membaca doa sebagaimana riwayat Abu Bakar: “Selamat sejahtera ke
atas kamu wahai ahli-ahli kubur". Dan dalam riwayat Zuhair: "selamat
sejahtera ke atas kamu wahai ahli-ahli kubur dari kalangan muslimin dan mu’minin
dan kami Insya Allah akan menyusul kamu semua. saya memohon kepada Allah bagi
kami dan bagi kamu al-'Afiyah (keselamatan).
3. Kubah di atas perkuburan sahabat-sahabat Rasulullah yang berada di Ma’la
(Mekah) di Baqi' dan Uhud (Madinah) semuanya diruntuhkan oleh golongan wahabi.
Hanya kubah di atas makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak
diruntuhkan kerana khuatirkan protes dari dunia Islam.
Sedangkan Ahli Sunnah wal Jama’ah bahkan umat Islam diseluruh dunia tidak
berfahaman begitu. Mereka berpendapat bahawa makam para nabi, para aulia, para
ulama, orang yang mati syahid boleh dibuatkan kubahnya sehingga mudah diketahui
oleh orang yang datang berziarah.
4. Golongan Wahabi juga melarang orang-orang dari mempelajari sifat-sifat dua
puluh bagi Allah. Golongan Wahabi menciptakan satu pengajian Tauhid secara
baharu yang belum pernah ada sebelumnya baik pada zaman Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam atau pada zaman para sahabat baginda. Pengajian Tauhid itu
dinamakannya Tauhid Rububiyah, dan Tauhid Uluhiyah. Tauhid Rububiyah ialah
tauhid orang kafir atau “Tauhid orang syirik”. Sementara Tauhid Uluhiyah ialah
tauhid orang mu’min, tauhid orang Islam seperti kaum Wahabi. Yang hairannya
bagaimana pula orang syirik mempunyai ilmu Tauhid. Adakah para sahabat dahulu
pernah menamakan orang syirik sebagai umat tauhid? Bukanlah syirik dan tauhid
itu dua hal yang berlawanan.
5. Dilarang melagukan azan. Sebelum golongan Wahabi masuk ke Mekah, Mu’azzin
(bilal) melagukan azan di menara Masjidil Haram dengan suara dan lagu yang
indah. Tidak boleh mengadakan perayaan Maulidur Rasul seperti yang diadakan di
lain-lain negara Islam pada bulan Rabiulawal setiap tahun Hijrah kerana
menganggap itu adalah bid’ah, juga dianggap bid’ah ialah mengadakan sambutan
Isra’ Mi’raj pada malam 27 Rejab setiap tahun. Tidak boleh melakukan zikir لا إله إلا الله , sesudah sembahyang. Tidak boleh membaca Qunut
dalam sembahyang Subuh, dan banyak lagi perkara-perkara yang berlawanan dengan
amalan-amalan Ahli Sunnah wal Jama’ah.
(Dipetik dari majalah al-Huda, 2015M/1436H, terbitan Pusat Da’wah Islamiah)