10 Zulhijjah, seluruh umat Islam di seluruh pelusuk dunia tidak kira bangsa dan di mana pun mereka berada melaungkan takbir, tahlil dan tahmid memuji kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan yang menciptakan sekalian alam, kerana pada hari ini merupakan hari kebesaran umat Islam iaitu Hari Raya Adha atau Hari Raya Haji atau lebih dikenali juga sebagai Hari Raya Korban.
Aidiladha ini juga dinamakan Hari Raya Haji kerana pada ketika ini sebahagian besar umat Islam menjadi Dhuyufur Rahman atau tetamu Allah di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat Haji, rukun Islam yang kelima dan pada masa ini, mereka telah pun melaksanakan sebahagian besar daripada perkara-perkara ibadat haji. Aidiladha ini juga di namakan Hari Raya Korban kerana pada hari ini dan tiga hari Tasyrik berikutnya iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah, kaum muslimin disunatkan melakukan ibadat korban iaitu menyembelih binatang-binatang korban. Ibadat korban merupakan di antara amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sebagai melahirkan rasa syukur kepada-Nya di atas limpahan rahmat dan ni’mat yang tidak terhingga dan tidak terhitung banyaknya yang telah diberikan-Nya serta bagi memperingati peristiwa agung pengorbanan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan putera baginda Nabi Ismail ‘alaihissalam.
Melalui ibadat korban juga boleh
membentuk sifat terpuji dalam diri seseorang. Di antaranya ialah:
1. Menanam sifat ikhlas dalam melaksanakan apa jua ibadat
yang telah disyariatkan. Dalam konteks ini dalam membuat pilihan binatang yang
hendak dijadikan korban hendaklah bebas daripada kecacatan atau ‘aib. Pada
kebiasaannya binatang yang baik fizikal dan banyak dagingnya mempunyai nilai
yang lebih mahal. Maka orang yang ingin berkorban memerlukan belanja lebih
untuk mengadakannya. Di sinilah akan menguji sejauh mana keikhlasan seseorang dalam
menjalankan tuntutan agama.
2. Menyemai sikap sentiasa bersyukur. Ni‘mat yang dikumiakan
Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambaNya tidak terkira, antaranya adalah
ni‘mat berupa rezeki iaitu menjadikan binatang-binatang ternak untuk
dimanfaatkan oleh manusia, dan diizinkan kepada mereka untuk menyembelihnya
sebagai makanan.
3. Mengasuh diri dengan bersikap sabar terhadap apa jua
ujian yang ditimpakan dalam kehidupan. Bersabar dalam konteks berkorban adalah
meneladani sikap Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam yang sabar dengan ujian yang
diberikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada baginda.
4. Menyemai sikap belas kasihan dan tolong-menolong terhadap
golongan yang tidak berkemampuan.Pensyariatan ibadat korban boleh memupuk sikap
pemedulian terhadap masyarakat terutama sekali kepada fakir dan miskin. Daging
korban diagih-agihkan sebagai makanan atau melebihkan rezeki mereka pada Hari
Raya Adha dan hari-hari tasyriq.
Oleh itu ambillah peluang yang
datang hanya sekali dalam setahun. Janganlah ia disia-siakan. Lakukanlah ibadat
korban selagi berkemampuan demi untuk mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa
Ta‘ala.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan