Thursday, September 22, 2016

WAHABI (Bahagian II)



Di antara pegangan sesat lagi bahaya yang telah dibawa oleh golongan Wahabi ini adalah seperti:
1.     Memfatwakan bahawa orang-orang di Mekah ramai yang kafir dan melakukan maksiat kerana mereka membolehkan berdoa dan bertawassul di hadapan makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para anbiya’ yang lain, malaikat dan para wali Allah, mengharamkan perbuatan menziarahi makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, menegah umat Islam daripada berselawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, membakar kitab Dala’il al-Khairat iaitu sebuah kitab yang banyak mengandungi ucapan selawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, menganggap Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak lebih seperti utusan manusia biasa yang di utuskan oleh seorang pemerintah bagi menyampaikan sesuatu perkhabaran kepada rakyat dibawah jajahannya, menganggap sesat umat Islam yang tidak mengikut aliran mereka, serta banyak lagi.

Dari riwayat ini dapat difahami bahawa Muhammad bin Abdul Wahab pada permulaan fatwa-fatwanya banyak mengkafirkan orang yang tidak mahu mengikut fatwanya. Ahli Sunnah wal Jamaah berpendapat bahawa menziarahi makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah satu perbuatan yang digalakkan dalam Islam sebagai tanda penghormatan kita kepada seorang pemimpin teragong, pembawa rahmat, pembawa obor Tuhan dan penyelamat manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita sendiri berselawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam setiap kali menunaikan sembahyang dan selawat kita akan sampai kepada baginda dan dijawab oleh baginda. Ini dapat dilihat dalam sebuah hadits riwayat Imam ad-Daruquthni dari Hathib katanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ زَارَنِى بَعْدَ مَوْتِى فَكَأَنَّمَا زَارَنِى فِى حَيَاتِى
Maksudnya:
Siapa yang menziarahiku selepas wafatku maka itu seolah-olah dia menziarahiku semasa hidupku.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah al-Ahzab ayat 56 tafsirnya:
Sesungguhya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan.

2.   Mengharamkan pergi ziarah ke kubur. Perjalanan ke kubur itu di anggap maksiat yang wajib dilarang. Mereka juga mengatakan bahawa tidak boleh mengqasarkan atau menjama’ sembahyang dalam perjalanan yang bertujuan untuk ziarah ke kubur kerana perjalanan itu maksiat. Ahli Sunnah wa Jamaah berpendapat ziarah ke kubur itu adalah suatu yang digalakkan apa lagi ziarah ke makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Memang pada suatu ketika Rasulullah pernah menegah umat Islam dari menziarahi kubur, tetapi setelah iman umat Islam mantap, baginda kemudian mengalakkannya sebagai suatu cara untuk menimbulkan keinsafan dalam diri. Galakan ini terbukti dalam sebuah hadits riwayat Imam Ahmad dari Sulaiman bin Buraidah dari bapanya berkata,  Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
 كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا
Maksudnya:
Aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, tetapi sekarang pergilah menziarahnya.
Dan dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim dari Sulaiman bin Buraidah dari bapanya berkata:
كَانَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوا إِلَى الْمَقَابِرِ فَكَانَ قَائِلُهُمْ يَقُولُ فِي رِوَايَةِ أَبِي بَكْرٍ: السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ، وَفِي رِوَايَةِ زُهَيْرٍ : السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ لَلاَحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.
Maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada mereka apa yang mesti mereka kerjakan apabila mereka hendak ziarah kubur. maka salah seorang dari mereka membaca doa sebagaimana riwayat Abu Bakar: “Selamat sejahtera ke atas kamu wahai ahli-ahli kubur". Dan dalam riwayat Zuhair: "selamat sejahtera ke atas kamu wahai ahli-ahli kubur dari kalangan muslimin dan mu’minin dan kami Insya Allah akan menyusul kamu semua. saya memohon kepada Allah bagi kami dan bagi kamu al-'Afiyah (keselamatan).

3.    Kubah di atas perkuburan sahabat-sahabat Rasulullah yang berada di Ma’la (Mekah) di Baqi' dan Uhud (Madinah) semuanya diruntuhkan oleh golongan wahabi. Hanya kubah di atas makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak diruntuhkan kerana khuatirkan protes dari dunia Islam.
Sedangkan Ahli Sunnah wal Jama’ah bahkan umat Islam diseluruh dunia tidak berfahaman begitu. Mereka berpendapat bahawa makam para nabi, para aulia, para ulama, orang yang mati syahid boleh dibuatkan kubahnya sehingga mudah diketahui oleh orang yang datang berziarah.

4.   Golongan Wahabi juga melarang orang-orang dari mempelajari sifat-sifat dua puluh bagi Allah. Golongan Wahabi menciptakan satu pengajian Tauhid secara baharu yang belum pernah ada sebelumnya baik pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam atau pada zaman para sahabat baginda. Pengajian Tauhid itu dinamakannya Tauhid Rububiyah, dan Tauhid Uluhiyah. Tauhid Rububiyah ialah tauhid orang kafir atau “Tauhid orang syirik”. Sementara Tauhid Uluhiyah ialah tauhid orang mu’min, tauhid orang Islam seperti kaum Wahabi. Yang hairannya bagaimana pula orang syirik mempunyai ilmu Tauhid. Adakah para sahabat dahulu pernah menamakan orang syirik sebagai umat tauhid? Bukanlah syirik dan tauhid itu dua hal yang berlawanan.

5.  Dilarang melagukan azan. Sebelum golongan Wahabi masuk ke Mekah, Mu’azzin (bilal) melagukan azan di menara Masjidil Haram dengan suara dan lagu yang indah. Tidak boleh mengadakan perayaan Maulidur Rasul seperti yang diadakan di lain-lain negara Islam pada bulan Rabiulawal setiap tahun Hijrah kerana menganggap itu adalah bid’ah, juga dianggap bid’ah ialah mengadakan sambutan Isra’ Mi’raj pada malam 27 Rejab setiap tahun. Tidak boleh melakukan zikir  لا إله إلا الله ,  sesudah sembahyang. Tidak boleh membaca Qunut dalam sembahyang Subuh, dan banyak lagi perkara-perkara yang berlawanan dengan amalan-amalan Ahli Sunnah wal Jama’ah.

(Dipetik dari majalah al-Huda, 2015M/1436H, terbitan Pusat Da’wah Islamiah)

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan