Thursday, September 22, 2016

WAHABI (Bahagian 1)



Perkataan ‘Wahabi’ adalah satu kata nama yang dinisbahkan kepada satu aliran yang diasaskan oleh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab bin Sulaiman bin Ali  iaitu pada kurun ke-18 Masihi di Najd (sebelah timur kota Madinah). Beliau berasal dari Bani Tamim. Mula-mula ia belajar agama di Mekah dan Madinah. Di antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Abdul Wahab (bapanya sendiri) dan abangnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahab. Kesemua mereka ini tergolong dari ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah.
Dikatakan bahawa Muhammad bin Abdul Wahab ketika mudanya banyak membaca karangan ibnu Taimiyyah. Oleh kerana itu beliau banyak dipengaruhi oleh fahaman Ibnu Taimiyyah. Jarak Masa keduanya lebih kurang 478 tahun. Setelah mencapai usia dewasa, Muhammad bin Abdul Wahab telah pergi ke Mekah menunaikan ibadah Haji. Ini berbeza dengan  Muhammad Abduh di Mesir iaitu seorang penganut fahaman Ibnu Taimiyyah juga, sama dengan Ibnu Taimiyyah sendiri tidak pernah menunaikan haji.  Muhammad bin Abdul Wahab kemudian datang lagi ke Mekah dan Madinah bagi kali keduanya untuk menuntut ilmu di sana dalam tempoh yang agak lama. Pada masa inilah beliau memerhatikan amal  ibadah orang Islam yang pada fahamannya berlainan dari syari’at Islam. Kemudian beliau berpindah ke Basrah, dan mengeluarkan fatwanya yang ganjil-ganjil. Tetapi ia segera di usir oleh penguasa Basrah. Ia kemudian mengeluarkan pula fatwanya yang ganjil itu di negerinya sendiri, Ainiyah. Raja negeri itu yang bernama Utsman bin Ahmad bin Makmur mulanya ingin menolongnya, tetapi setelah  mendengar fatwa-fatwanya lalu mengusirnya bahkan berusaha membunuhnya.
Apabila gagal di Ainiyah, beliau pergi ke Dariyyah. Raja di Dariyyah bernama Muhammad bin Sa’ud adalah orang yang bertanggungjawab menolong Muhammad bin Abdul Wahab menyiarkan fatwa-fatwanya. Ini kerana dua orang “Muhammad” ini mempunyai kepentingan yang berlainan. Muhammad bin Abdul Wahab memerlukan seorang penguasa yang dapat membantu menyiarkan fahamannya yang baru itu, sementara Muhammad bin Sa’ud pula memerlukan seorang ulama yang dapat mengisi fikiran dan jiwa rakyatnya dengan ideologi yang keras demi untuk mengukuhkan pemerintahan dan kekuasaannya.
Kemunculan da’yah Muhammad bin Abdul Wahab bermula pada tahun 1153H manakala da’yahnya pula telah mula tersebar pada tahun 1160H. Gerakkan ini telah bermula di Nadj, iaitu di antara persetujuan dan kerjasama antara Muhammad bin Abdul Wahab dan Muhammad bin Sa’ud.
Muhammad bin Abdul Wahab telah berusaha menyebarkan da’yahnya dengan mengirim surat kepada para ulama dan umara (penguasa) beberapa buah negeri di Tanah Arab termasuklah Riyadh, al-Ihsa, al-Haramain, Mesir, Syria, Iraq, India, Yaman dan lain-lain. Dalam surat yang dikirimkan tersebut, beliau menjelaskan tentang bahaya syirik (pada pandangan beliau) yang mengancam negara Islam di seluruh dunia. Dalam surat itu juga turut dinyatakan tentang bahaya bid’ah dan khurafat (menurut beliau). Diantara perkara-perkara bid’ah tersebut ialah seperti; berdoa dengan tawasul kepada nabi, para anbiya’ dan auliya, memohon syafaat nabi, membuat binaan di atas kubur dan banyak lagi.
Muhammad bin Abdul Wahab telah mendakwa bahawa matlamat yang ingin dicapai melalui aliran yang diasaskannya adalah untuk mensucikan konsep tauhid dan membebaskannya dari perkara khurafat dan kesyirikan. Namun hakikatnya Muhammad bin Abdul Wahab bukanlah seorang yang layak digelar mujaddid (pembaharu dalam ugama), bahkan beliau tidak lain hanyalah seorang penerus kepada wacana pemikiran ketauhidan yang telah diwacanakan oleh Syaikh Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim dalam kitab karangannya. Dan ternyata mengikut ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di zamannya bahawa wacana ini jelas terkeluar dari rangkaian ijma’ para ulama salaf salih sebelumnya. Wacana inilah yang cuba mahu didaur ulang oleh beliau. Bahkan dalam banyak perkara yang berhubung dengan soal aqidah,  Muhammad bin Abdul Wahab  telah bertindak lebih keras berbanding apa yang dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah sendiri.
Ini terbukti dengan wujudnya fahaman dalam kalangan para pengikut Muhammad bin Abd wahab yang menganggap bahawa setiap negara Islam (dakwah Islamiyah)  yang tidak menerima da’wah (ajaran) mereka adalah negara yang syirik dan kufur, manakala para ulama di dalam negara tersebut pada pandangan mereka adalah jahil dalam urusan ugama dan ilmu-ilmu Islam. Fahaman yang dibawa oleh mereka ini sebenarnya bukan sekadar berkisar pada gerakkan da’wah semata-mata bahkan mereka turut menghunus pedang untuk memerangi golongan muslimin yang menentang mereka dan menganggap golong yang menentang mereka tersebut sebagai golongan mungkar yang wajib diperangi.
Pemikiran seperti di atas sangat bertentangan dengan pendekatan para ulama lain yang hidup sezaman dengan Muhammad bin Abd Wahab seperti Syaikh Syah Waliyyuh ad-Dehlawi, Syaikh Muhammad Hayat as-Sindi, Syaikh at-Tahanawi, al-Hindi dan al-‘Allamah Muhammad bin Ismail al-Sa’ani yang telah melaksanakan da’wah kepada msyarakat Islam di wilayah masing-masing dengan begitu lunak dan bijaksana tanpa sekali-kali mengkafirkan mana-mana umat Islam yang tidak mengikut da’wah mereka.
(Dipetik dari majalah al-Huda, 2015M/1436H, terbitan Pusat Da’wah Islamiah)

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan