Thursday, November 10, 2016

Keganasan Bukan Jihad (Bahagian 1)




وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Tafsirnya:
Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
Ayat 190 dalam Surah al-Baqarah ini adalah ayat mengenai peperangan secara umum yang pertama diturunkan selepas firman Allah Subhanahu wa Ta’ala  tentang diizinkan peperangan dalam Surah al-Hajj ayat 39,tafsirnya: Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang (Islam) yang diperangi disebabkan mereka itu telah dizalimi.
 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, ayat ini diturunkan berkenaan dengan “Perdamaian di Hudaibiyyah”, iaitu ketika Rasulullah Shalllallahu ‘alaihi wasallam dihalang oleh kaum Quraisy untuk memasuki Baitullah. Adapun isi perdamaian tersebut antara lain agar kaum muslimin menunaikan umrah pada tahun berikutnya. Ketika Rasulullah beserta para sahabat mempersiapkan diri untuk melaksanakan umrah tersebut sesuai dengan perjanjian, para sahabat khuatir kalau-kalau orang Quraisy tidak menepati janjinya, bahkan memerangi dan menghalangi mereka masuk ke Masjidilharam, padahal kaum Muslimin enggan berperang pada bulan haram. Maka turunnya ayat ini membenarkan berperang untuk membalas serangan musuh.
Tafsir al-Mishbah menjelaskan perintah perangilah pada jalan Allah pada ayat 190 ini adalah melakukan perang selama peperangan itu di jalan Allah, yakni untuk menegakkan nilai-nilai ketuhanan Yang Maha Esa serta kemerdekaan dan kebebasan yang sejalan dengan tuntutan agama.
Ibnu ‘Abbas, Umar bin Abdul Aziz dan Mujahid berpendapat ayat ini bersifat muhkamah yakni perangilah orang-orang yang keadaannya memerangi kamu tetapi janganlah kamu melampaui batas sehingga membunuh kaum perempuan, anak-anak, para pendeta dan orang-orang yang seperti mereka (kecuali kalau mereka memerangi kaum muslimin). Ini kerana perang tidak dilakukan oleh kaum perempuan, anak-anak dan orang-orang seperti mereka iaitu; para pendeta, zamna (orang-orang sakit), orang-orang tua, kaum buruh dan sebagainya. Inilah yang diwasiatkan oleh Abu Bakar as-Shiddiq kepada Zaid bin Abu Sufyan ketika diutus ke Syam.
 Sebilangan ulama berpendapat, maksud dari firman Allah Subhanahu wa Ta’ala ini adalah untuk tidak melampaui batas dalam berperang dan tidak berperang kerana selain Allah seperti kerana fanatisme atau mencari populariti. Akan tetapi, perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kalian, yakni sesuai dengan agama untuk meninggikan kalimah Allah.

 Definisi Jihad
Dari segi bahasa, istilah perang juga selalunya diertikan dengan perkataan jihad yang berasal daripada bahasa Arab iaitu jahada (جَهَدَ)  dan ia bermaksud kesusahan atau kepayahan, keras, kuat dan bersungguh-sungguh. Jihad mempunyai makna yang luas, maka jihad itu bermaksud mencurahkan segala usaha dan tenaga agar dapat menghancurkan apa jua yang menghalang.
Dalam Mushaf Brunei Darussalam Dan Terjemahannya, jihad diertikan sebagai berperang untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah, memerangi hawa nafsu yang dinamakan oleh ulama Salaf dengan Jihadulakbar iaitu jihad yang terbesar, berjihad dengan harta iaitu menggunakan harta pada jalan kebajikan yang memberikan manfaat kepada agama dan umat seluruhnya serta berjihad untuk memerangi yang bathil dan menegakkan kebenaran. Bahkan konteks ayat-ayat jihad didalam al-Qur’an mengandungi pemahaman yang luas yang mana antaranya merangkumi semua maksud dan inisiatif untuk menegakkan Islam dan melindungi umat Islam, memerangi nafsu, mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan lain-lainnya. Antara bentuk-bentuk jihad adalah jihad menghadap orang kafir, munafiq, zalim, jihad terhadap hawa nafsu dan jihad terhadap syaitan. Bahkan jihad merupakan perjuangan pemikiran untuk melawan kejahilan.
Sememangnya jihad adalah salah satu perintah dan syariat Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an. Bahkan kepentingan jihad terhadap perkembangan agama Islam adalah satu perintah yang tidak dapat dinafikan dan ianya wajib ditaati .

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan