Jihad
Dalam Konteks Dunia Moden
Jika
kita lihat dalam konteks era globalisasi pada masa kini, istilah Jihad ini
sering disalaherti dan disempitkan dengan kekerasan, kekejaman dan teror.
Persepsi negatif ini timbul berikutan sikap segelintir Muslim yang terlibat
melakukan pengeboman dan serangan berani mati di tempat-tempat awam atas nama
jihad dan Islam. Gelaran seperti teroris,fundamentalis dan pelbagai dakwaan
yang lainnya jelas memberi kesan buruk kepada umat Islam seluruh dunia. Hanya
kerana tindakan tidak berperikemanusiaan segelintir pihak-pihak ekstremis
tersebut, kesemua umat Islam dan agama Islam itu tersendiri terpalit dengan
fitnah dan persepsi yang negatif. Sikap segelintir ektremis dan teroris yang
melakukan kekerasan atas nama agama Islam ini sebenarnya hanyalah kerana ingin
mencapai agenda politik (political agenda) semata-mata dan langsung tidak
mewakili atau melambangkan Islam sepertimana yang didakwa. Yang salah disini,
bukanlah ajaran Islam akan tetapi individu itu sendiri yang secara jelas tidak
mengamalkan ajaran agama Islam yang betul dan sebaliknya mengaku bertindak atas
nama agama.
Dakwaan-dakwaan
bahawa Islam tersebar melalui ancaman keganasan dan peperangan adalah satu
persepsi yang tidak adil terutama daripada masyarakat dan media Barat. Mereka
berpendapat bahawa agama Islam telah mempromosikan keganasan melalui ayat-ayat
al-Qur’an dan sorotan sejarah-sejarah peperangan Islam terdahulu. Ini terlahir
daripada kesalahan intepretasi (misinterpretation), kesalahfahaman
(misconception) mengenai ayat-ayat jihad dan tuduhan ini sama sekali tidak
berasas. Sebaliknya, ayat-ayat jihad di dalam al-Qur’an memerlukan pemahaman
yang teliti dan lebih terbuka. Intepretasi-intepretasi mengenai jihad
yang telah dicemari oleh segelintir pihak dan media-media Barat mestilah
diperbetulkan.
Bukankah
Islam itu rahmat seluruh alam? Sepertimana dalam ayat ini, bukankah Allah Subhanahu
wa Ta’ala juga membenci orang-orang yang melampaui batas? Perkataan Islam
itu sendiri berasal dari perkataan salam yang bererti damai. Islam adalah agama
kedamaian.
Oleh
yang demikian, jihad yang diperintahkan oleh al-Qur’an tidak selari langsung
dengan tindakan keganasan dan perkara tersebut adalah termasuk dalam perkara
yang melampaui batas. Malah, dalam Islam sendiri melarang perbuatan membenci,
berbunuh-bunuhan dan memerangi orang bukan Islam yang hidup di tengah-tengah masyarakat
Islam sepertimana tafsir dalam ayat ini dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala
dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 9, tafsirnya: “Allah tidak melarang kamu untuk
berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
kerana agama (kamu) dan tidak mengusir
kamu dari kampong halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
adil.”
Bahkan
orang bukan Islam yang hidup di tengah-tengah masyarakat Islam (ahli dzimmi) memiliki
kehormatan dan hak yang perlu dipenuhi sepertimana hadits yang diriwayatkan
oleh Imam at-Thabarani, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: Siapa yang menyakiti orang dzimmi, dia juga menyakitiku, dan siapa
yang menyakitiku, dia juga menyakiti Allah”
Perkembangan
agama Islam itu bukanlah melalui pembunuhan dan kekerasan terhadap orang-orang
kafir yang tidak memerangi. Ini telah dijelaskan dalam ayat 190 dalam Surah
al-Baqarah diatas. Bahkan didalam al-Qur’an juga meletakkan garis panduan yang
jelas sepertimana dalam Surah al-Baqarah, ayat 256, tafsirnya: Tidak ada
paksaan dalam (memeluk) agama (Islam).
Pihak-pihak
yang membuat dakwaan ini ‘terlupa’ untuk melihat ayat-ayat al-Qur’an dan
sejarah Islam lain yang bersifat mahabbah dan bertoleransi terhadap ahli
dzimmi.
Oleh
yang demikian, sebagai umat Islam kita juga berperanan untuk lebih memahami
konteks jihad yang sebenar di dalam al-Qur’an agar kita dapat menangkis segala
fitnah dan kesalah-fahaman yang negatif ini. Segala konflik-konflik keganasan
dan kekerasan yang berlaku pada masa kini sebenarnya bukanlah isu agama tetapi ia
lebih cenderung kepada isu global yang diunsuri hal-hal politik yang semakin
rumit.
(Dipetik
dari majalah al-Huda: bil 133 April 2016M/1437H, terbitan Pusat Da’wah
Islamiah)
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan