Saturday, June 27, 2020

AL-QURAN SUMBER KESELAMATAN DUNIA DAN AKHIRAT


Dalam menjalani kehidupan seharian, naluri manusia pada hakikatnya mestilah berpegang kepada ajaran agama yang boleh membimbingnya daripada terus terjerumus ke lembah kesesatan. Hidup seseorang akan kosong dan terumbang-ambing jika tidak berpandu kepada suatu ajaran yang kukuh dan bimbingan mantap yang dapat membawanya kearah kehidupan yang sempurna. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah kitab suci al-Quran kerana ia tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan manusia. 

Ia adalah sebuah kitab yang lengkap yang mengandungi pelbagai bentuk pendidikan yang mendidik manusia dan merupakan didikan sepanjang hayat. Kesempurnaan hidup manusia terletak kepada amalan kehidupan berlandaskan al-Quran. Kewujudan al-Quran juga sebagai pelengkap kitab-kitab samawi yang terdahulu seperti Zabur, Taurat dan Injil.

Sebagai sebuah kitab yang bersikap lengkap, al-Quran dilabel sebagai penyelamat sama ada kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Itulah janji Allah Subhanahu wa Ta’ala yang pasti akan terlaksana. Di dalamnya mengandungi pelbagai permasalahan yang relevan untuk sepanjang zaman.

Dalam surah al-Maaidah ayat 16 menjelaskan bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk ke jalan-jalan keselamatan iaitu firmanNya:

﴿يَهۡدِي بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضۡوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَٰمِ وَيُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِهِۦ

 وَيَهۡدِيهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ
Tafsirnya:

“Dengan al-Quran itu Allah mengurniakan petunjuk kepada sesiapa yang (amalannya) mengikut keredhaanNya menuju jalan-jalan keselamatan dan Allah mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (keimanan) dengan izinNya serta mengurniakan hidayat ke jalan yang lurus.”

Sesungguhnya al-Quran itu juga adalah penawar yang dapat mengurniakan petunjuk ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala bagi sesiapa yang beriman dengannya dan mengamalkan ajaran-ajarannya. Individu yang hidup berpandukan al-Quran juga pasti akan merasa ketenangan dan tidak tersasar ke arah keruntuhan akhlak.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Israa’ ayat 82 :

﴿وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارٗا
Tafsirnya :

“Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu penawar (bagi penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang- orang zalim (orang-orang kafir) selain kerugian.”

Sebagaimana al-Quran merupakan penyelamat di dunia dalam membimbing manusia ke arah kecemerlangan hidup, di akhirat juga ia merupakan penyelamat kerana bersifat sebagai pemberi syafaat ke atas orang-orang yang membaca al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah al-Bahiliy katanya:
“Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

 اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ، اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا، اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ، فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ، وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ، وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
(رواية مسلم)
Maksudnya :

“ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”

(HR Muslim)

Selain itu Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi orang-orang yang beriman dengan al-Quran dan mengerjakan amalan-amalan salih sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Israa’ ayat 9:

﴿إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَبِيرٗا
Tafsirnya:

“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk (ke jalan) yang lebih lurus dan menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan-amalan salih bahawa sesungguhnya bagi mereka pahala yang  besar.” 

Al- Quran juga diidentifikasikan sebagai panduan kepada seluruh umat yang wajib diikut oleh seluruh umat dalam kehidupan seharian. Penurunannya adalah untuk menjauhkan manusia daripada melakukan sebarang perkara keji. Ayat-ayat al-Quran itu disampaikan dalam pelbagai bentuk antaranya berbentuk ayat perintah, ayat larangan, ayat perumpamaan, ayat hukum, ayat nasihat, ayat peringatan dan sebagainya. Kesemuanya menjurus kepada panduan yang berguna agar manusia selamat dalam melayari bahtera kehidupan sama ada secara individu, berkeluarga, bermasyarakat mahupun bernegara.

(1)    Al-Quran Panduan Memelihara Keselamatan Diri Dan Masyarakat.

Al-Quran kaya dengan panduan yang dapat membatasi diri manusia dan masyarakat daripada ditimpa sebarang kemudharatan. Antara panduan tersebut ialah :

i.                Larangan meminum arak.

Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang meminum arak sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Maaidah ayat 90-91 :

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِي ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab (meminum) arak dan (bermain) judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perkara keji itu)?”

ii.               Larangan Melakukan Zina

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Israa’ ayat 32 :

﴿وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا
Tafsirnya:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.”

Zina merupakan satu perbuatan keji yang semakin berleluasa diperlakukan pada zaman moden ini. Al-Quran bukan hanya mengharamkan zina bahkan melarang sesiapa pun untuk menghampiri perbuatan yang boleh menjurus kepada perlakuan zina. Hikmah Allah mengharamkan zina itu kerana ia boleh merosak keturunan jika lahir anak daripada penzinaan tersebut, merosak keperibadian dan boleh menjurus diri ke lembah kehinaan.

Bahkan dari sudut kesihatan, perbuatan seks secara bebas boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit  yang boleh mengancam nyawa. Di samping itu, zina juga boleh melahirkan gejala sosial yang negatif yang boleh membawa kesan buruk terhadap agama, masyarakat dan negara.

iii.              Larangan Melakukan Rasuah

Allah Subhanahu wa Ta’ala  menegah perbuatan rasuah sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 188 :

﴿وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Tafsirnya:

“Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang bathil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.”

Rasuah haram dalam syariat Islam dan ia merupakan musuh negara. Ia juga merupakan perbuatan mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan serta mendatangkan mudharat kepada masyarakat umumnya, menjejaskan pentadbiran negara, undang-undang dan penguatkuasaan juga akan kurang berfungsi. Ia juga boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu seperti melahirkan rasa tamak. Apabila ini berlaku, masyarakat akan menjadi kucar kacir dan tidak tenteram.

(2)    Al-Quran Panduan Memelihara Keselamatan Keluarga

i.                     Al-Quran memberikan panduan yang tepat bagaimana menjaga hubungan kekeluargaan yang selamat daripada sebarang permusuhan, pertelingkahan dan penganiayaan. Antara aspek yang ditekankan ialah:

Suruhan Menjaga Hubungan Kasih Sayang Antara Suami Isteri.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah ar-Ruum ayat 21:

﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
Tafsirnya:

“Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya bahawa Dia menciptakan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa senang kepadanya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar –benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) berfikir.”

Suruhan Mengeratkan Hubungan Silaturrahim

Al-Quran menyeru agar semua golongan manusia menjaga ikatan silaturrahim sesama keluarga. Perkara ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisaa ayat 1 :

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَارِجَالٗا

كَثِيرٗاوَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا
Tafsirnya:

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang  telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam ‘alaihissalam). Dia (Allah Subhanahu wa Ta’ala) menciptakan daripadanya pasangan (Hawa), Dia (Allah Subhanahu wa Ta’ala) mengembangbiakkan daripada keduanya (zuriat keturunan) laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta serta (peliharalah) hubungan silaturrahim (kaum kerabat). Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengawasi (memerhati) kamu.”

(3)    Al-Quran Panduan Memelihara Keselamatan Negara

Al-Quran memberi panduan yang jelas bagaimana memelihara kestabilan politik dan negara. Antara aspek yang dititikberatkan dalam suruhan al-Quran ialah :

Perintah Mentaati Pemimpin

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisaa ayat 59:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ

فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا
Tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.”

Diwajibkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak pemimpin selama mana ia tidak bertentangan dengan dalil-dalil syara’. Setiap arahan yang datang daripada ketua pemimpin adalah wajib ditunaikan kecuali perkara maksiat atau kemudharatan yang jelas.

Perintah Bersepakat Dan Bersatupadu

Al-Quran mengajak umat Islam kearah kesepakatan dan kedamaian sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah A-li ‘Imraan ayat 103-104:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ

 فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ

 لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ 

وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Tafsirnya:

“Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah ni’mat Allah kepada kami ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (dengan ni’mat agama Islam), maka menjadilah kamu dengan ni’matNya itu (orang-orang Islam yang ) bersaudara. Dan dahulunya kamu berada di tepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya (dengan sebab ni’mat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat hidayat. Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) menyuruh berbuat yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Ayat ini menjelaskan bahawa kesatuan masyarakat membawa ke arah kesejahteraan hidup. Kesepakatan memainkan peranan yang penting dalam mencapai perpaduan. Permusuhan dan pertelingkahan hanya menyumbang kepada kegagalan menyatupadukan masyarakat dalam sesebuah negara.


 والله أعلم بالصواب



Petikan :
Dari buku Al-Quran Sumber Keselamatan Dunia Dan Akhirat, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah.

Thursday, June 18, 2020

AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR






Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 104: 

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Tafsirnya:

“ Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh (berbuat) yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
Amar Ma’ruf Nahi Mungkar merupakan satu amanah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia sebagai khalifah di bumiNya semata-mata untuk pengajaran dan kemaslahatan manusia sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 110:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ
Tafsirnya:
“Kamu (wahai umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat yang ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.”
Inilah antara peranan orang mu’min untuk sentiasa membawa sesiapa sahaja kepada kebaikan dan membimbing mereka ke jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tugas yang sungguh mencabar ini perlu dilakukan dengan penuh hikmah bijaksana, tidak kasar dan tidak mengucapkan kata-kata yang buruk sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat 159 surah Ali Imran :

فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ
Tafsirnya:
“Maka dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau (wahai Nabi Muhammad) telah berlemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutmu). Dan kalaulah engkau bersikap kasar serta keras hati (terhadap mereka), tentulah mereka menjauhkan diri dari sekililingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan pohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk berbuat sesuatu sesudah bermesyuarat) maka bertawakallah kepada Allah (melaksanakannya). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal.” 
Dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Nabi Musa dan Harun saat diperintahkan untuk menemui Firaun dalam surah Thaha ayat 44:

فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ
Tafsirnya :
“Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan).”

Apabila berdepan dengan perkara mungkar, sesiapa pun mestilah mencegahnya dengan apa cara sekalipun sehinggakan apabila tidak mampu, ia mesti membenci perbuatan mungkar tersebut. Kebencian seumpama itulah yang disifatkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam sebagai tahap iman yang paling lemah.
Sepertimana dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam:

«مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ»
(رواية مسلم)

Maksudnya:
“Barangsiapa  dari kalian melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu, ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman.
(HR Muslim)

Apabila kita sentiasa mengamalkan amar ma’ruf Nahi Mungkar, in sha Allah perkara-perkara yang baik akan sentiasa menandingi perkara-perkara yang buruk. Pastinya kesejahteraan umat akan terjamin dan bumi kita akan menjadi ma’mur dengan rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan seandainya Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar diabaikan maka akan berleluasalah kemungkaran di sana sini. 

Jadi, sama-samalah kita mengamalkan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar, saling nasihat menasihati sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala ayat 2 surah al-Maidah :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab siksa-Nya bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya".

Dan dalam menerima teguran, hendaklah kita menerima teguran tersebut dengan sikap terbuka.

والله أعلم بالصواب