Thursday, June 18, 2020

AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR






Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 104: 

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Tafsirnya:

“ Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh (berbuat) yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
Amar Ma’ruf Nahi Mungkar merupakan satu amanah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia sebagai khalifah di bumiNya semata-mata untuk pengajaran dan kemaslahatan manusia sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 110:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ
Tafsirnya:
“Kamu (wahai umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat yang ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.”
Inilah antara peranan orang mu’min untuk sentiasa membawa sesiapa sahaja kepada kebaikan dan membimbing mereka ke jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tugas yang sungguh mencabar ini perlu dilakukan dengan penuh hikmah bijaksana, tidak kasar dan tidak mengucapkan kata-kata yang buruk sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat 159 surah Ali Imran :

فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ
Tafsirnya:
“Maka dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau (wahai Nabi Muhammad) telah berlemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutmu). Dan kalaulah engkau bersikap kasar serta keras hati (terhadap mereka), tentulah mereka menjauhkan diri dari sekililingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan pohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk berbuat sesuatu sesudah bermesyuarat) maka bertawakallah kepada Allah (melaksanakannya). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal.” 
Dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Nabi Musa dan Harun saat diperintahkan untuk menemui Firaun dalam surah Thaha ayat 44:

فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ
Tafsirnya :
“Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan).”

Apabila berdepan dengan perkara mungkar, sesiapa pun mestilah mencegahnya dengan apa cara sekalipun sehinggakan apabila tidak mampu, ia mesti membenci perbuatan mungkar tersebut. Kebencian seumpama itulah yang disifatkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam sebagai tahap iman yang paling lemah.
Sepertimana dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam:

«مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ»
(رواية مسلم)

Maksudnya:
“Barangsiapa  dari kalian melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu, ingkarilah dengan hatinya, dan itu merupakan selemah-lemahnya iman.
(HR Muslim)

Apabila kita sentiasa mengamalkan amar ma’ruf Nahi Mungkar, in sha Allah perkara-perkara yang baik akan sentiasa menandingi perkara-perkara yang buruk. Pastinya kesejahteraan umat akan terjamin dan bumi kita akan menjadi ma’mur dengan rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan seandainya Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar diabaikan maka akan berleluasalah kemungkaran di sana sini. 

Jadi, sama-samalah kita mengamalkan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar, saling nasihat menasihati sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala ayat 2 surah al-Maidah :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab siksa-Nya bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya".

Dan dalam menerima teguran, hendaklah kita menerima teguran tersebut dengan sikap terbuka.

والله أعلم بالصواب

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan