Monday, June 08, 2020

PERNIAGAAN SUATU IBADAH




Perniagaan adalah suatu kegiatan yang sangat dianjurkan Islam kepada umatnya. Ini kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan yang berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga, perniagaan dan perdagangan adalah salah satu pekerjaan yang terbaik selepas pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana ahli perniagaan adalah pemilik dan penguasa masanya sendiri.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

أَفْضَلُ الْكَسْبِ بَيْعٌ مَبْرُور وَعَمَلُ الرَّجُل بِيَدِهِ
(رواية إمام أحمد)

Maksudnya:
“Mata Pencarian yang afdhal adalah berniaga dengan penuh kebajikan dan hasil daya usaha tangannya.”

(HR Imam Ahmad)

Bagaimanakah perniagaan  itu dinilai sebagai ibadah?

Untuk menjadikan perniagaan itu sebagai ibadah hendaklah memenuhi lima syarat:

1.     Berniaga itu disertai dengan niat yang betul iaitu semata-mata kerana Allah Subahanahu wa Ta’ala  dan  mengaplikasikan konsep fardhu ain dan fardhu kifayah dalam perniagaan:

a)     Fardhu ain untuk mendapatkan sumber rezeki yang halal bagi memenuhi keperluan seseorang secara sederhana dan ;
b)     Fardhu kifayah dengan memberi khidmat bantuan kepada masyarakat dan fi sabilillah contohnya dengan menyediakan sebuah kedai yang menjual barangan makanan yang halal.

2.     Perniagaan itu hendaklah tidak dilarang dalam Islam. Umumnya perniagaan itu hendaklah:

a.      Terhindar dari larangan atau perkhidmatan yang haram
b.     Menjauhi perkara-perkara yang syubhah
c.      Menjauhi riba
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Baqarah 275 :

ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِي يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡبَيۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰاْۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ….
Tafsirnya:

“Orang-orang yang memakan riba tidak akan dapat bangkit (dari kubur pada hari Kiamat) melainkan seperti berdirinya  orang-orang yang dirasuk syaitan (dengan keadaan terhuyung haying) kerana rasukan (syaitan) itu. Yang dengan demikian itu ialah disebabkan mereka mengatakan : “ Adapun berjual beli itu sama seperti riba.” (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”

d.     Bersifat jujur dalam berjual beli

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam daripada Abu Saed:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ
 .

(رواية الترمذي )
Maksudnya:

“Seorang peniaga yang amanah dan jujur akan dimasukkan  dalam kumpulan para nabi-nabi, orang-orang jujur, para syuhada yang salih”
(HR Tarmizi)

e.      Menjauhi penipuan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
(رواه مسلم)

“Barang siapa yang menipu maka dia bukan dari golongan kami.”
(HR Muslim)

f.      Mengelakkan diri dari unsur-unsur perjudian.

3.     Pelaksanaan perniagaan itu hendaklah dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam, daripada Mu’az bin Jabal :

إنَّ أَطْيَبَ الكَسْبِ كَسْبُ التجارِ : الذين إذا حَدَّثوا لم يَكْذِبوا ، وإذا ائْتُمِنوا لم يَخُونُوا ، و إذاوَعَدُوا لم يُخْلِفوا ، وإذا اشْتَرَوْا لم يَذُمُّوا ، وإذا باعُوا لم يُطْرُوا ، وإذا كان عليهم لم يَمْطُلُوا وإذا كان لهم لم يُعَسِّرُوا

Maksudnya:
"Sesungguhnya sebaik-baik pekerjaan untuk memperolehi pendapatan adalah pendapatan para peniaga di mana apabila bercakap mereka akan bercakap benar dan tidak berdusta. Apabila mereka diberi amanah, mereka tidak akan mengkhianatinya, apabila mereka berjanji  mereka tidak memungkirinya, apabila mereka membeli, mereka tidak mencela apa yang dibeli oleh mereka itu. Apabila mereka menjual, mereka tidak akan memuji-muji berlebih-lebihan barang-barang yang mereka jual tersebut. Jika mereka disuruh untuk membayar (hutang) mereka, tidak akan berdalih-dalih dan apabila orang yang berhutamg belum membayar, mereka tidak akan menyusahkan pula."

(HR Imam al-Baihaqi)

4.     Hasil perniagaan itu hendaklah digunakan untuk tujuan yang bermanfaat dan berkebajikan. Dimulakan untuk keluarga, jika ada lebih, hendaklah diberikan  sedekah dan dikeluarkan zakat perniagaan. Di samping itu, jika ada lagi lebih elok untuk simpanan ataupun tujuan membesarkan lagi perniagaan.

Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ
Tafsirnya:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah ni’matKu kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu mengingkarinya (kufur ni’mat), maka sesungguhnya azabKu amat keras.”

5.     Tidak meninggalkan tuntutan kewajipan agama seperti, tidak meninggalkan sembahyang, tidak meninggalkan keperluan keluarga sama ada dari segi nafkah atau pergaulan (kasih saying) dan lain-lain tuntutan agama serta kebajikan masyarakat sekitar walaupun sibuk dengan perniagaan.

Demikianlah nilai perniagaan orang Islam itu adalah untuk mendapat keuntungan iaitu di dunia dan akhirat. Islam bukan sahaja mementingkan hasil kemajuan, pembangunan dan teknologi canggih tetapi juga mementingkan aspek-aspek adab dan moral. 

Kesimpulannya, jika kita mengikuti lunas-lunas yang diaturkan oleh Islam dalam menjalankan perniagaan, maka tergolonglah mereka itu dalam konsep Ibadah.
Wallahu a’lam


Sumber rujukan: Mualamat, Perniagaan Suatu Ibadah.



No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan