Dalam
menjalani kehidupan seharian, naluri manusia pada hakikatnya mestilah berpegang
kepada ajaran agama yang boleh membimbingnya daripada terus terjerumus ke
lembah kesesatan. Hidup seseorang akan kosong dan terumbang-ambing jika tidak
berpandu kepada suatu ajaran yang kukuh dan bimbingan mantap yang dapat
membawanya kearah kehidupan yang sempurna. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah
kitab suci al-Quran kerana ia tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan manusia.
Ia
adalah sebuah kitab yang lengkap yang mengandungi pelbagai bentuk pendidikan
yang mendidik manusia dan merupakan didikan sepanjang hayat. Kesempurnaan hidup
manusia terletak kepada amalan kehidupan berlandaskan al-Quran. Kewujudan
al-Quran juga sebagai pelengkap kitab-kitab samawi yang terdahulu seperti
Zabur, Taurat dan Injil.
Sebagai
sebuah kitab yang bersikap lengkap, al-Quran dilabel sebagai penyelamat sama
ada kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Itulah janji Allah Subhanahu wa Ta’ala
yang pasti akan terlaksana. Di dalamnya mengandungi pelbagai permasalahan yang
relevan untuk sepanjang zaman.
Dalam
surah al-Maaidah ayat 16 menjelaskan bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk ke
jalan-jalan keselamatan iaitu firmanNya:
﴿يَهۡدِي بِهِ
ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضۡوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَٰمِ وَيُخۡرِجُهُم مِّنَ
ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِهِۦ
وَيَهۡدِيهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطٖ
مُّسۡتَقِيمٖ﴾
Tafsirnya:
“Dengan
al-Quran itu Allah mengurniakan petunjuk kepada sesiapa yang (amalannya)
mengikut keredhaanNya menuju jalan-jalan keselamatan dan Allah mengeluarkan
mereka daripada kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (keimanan) dengan izinNya
serta mengurniakan hidayat ke jalan yang lurus.”
Sesungguhnya
al-Quran itu juga adalah penawar yang dapat mengurniakan petunjuk ke jalan yang
diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala bagi sesiapa yang beriman dengannya dan
mengamalkan ajaran-ajarannya. Individu yang hidup berpandukan al-Quran juga
pasti akan merasa ketenangan dan tidak tersasar ke arah keruntuhan akhlak.
Firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Israa’ ayat 82 :
﴿وَنُنَزِّلُ
مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ
ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارٗا﴾
Tafsirnya
:
“Dan
Kami turunkan daripada al-Quran suatu penawar (bagi penyakit rohani dan
jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Quran itu tidaklah
menambah kepada orang- orang zalim (orang-orang kafir) selain kerugian.”
Sebagaimana
al-Quran merupakan penyelamat di dunia dalam membimbing manusia ke arah
kecemerlangan hidup, di akhirat juga ia merupakan penyelamat kerana bersifat
sebagai pemberi syafaat ke atas orang-orang yang membaca al-Quran sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah al-Bahiliy katanya:
“Aku
mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ
يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ، اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ
الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ
كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا،
اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ، فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ، وَتَرْكَهَا
حَسْرَةٌ، وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
(رواية مسلم)
Maksudnya
:
“
Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi
syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran
kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya
matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi
pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat
dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu
menandinginya.”
(HR
Muslim)
Selain
itu Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi orang-orang
yang beriman dengan al-Quran dan mengerjakan amalan-amalan salih sepertimana
firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Israa’ ayat 9:
﴿إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي
هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ
أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَبِيرٗا﴾
Tafsirnya:
“Sesungguhnya
al-Quran ini memberi petunjuk (ke jalan) yang lebih lurus dan menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amalan-amalan salih bahawa
sesungguhnya bagi mereka pahala yang besar.”
Al-
Quran juga diidentifikasikan sebagai panduan kepada seluruh umat yang wajib diikut
oleh seluruh umat dalam kehidupan seharian. Penurunannya adalah untuk
menjauhkan manusia daripada melakukan sebarang perkara keji. Ayat-ayat al-Quran
itu disampaikan dalam pelbagai bentuk antaranya berbentuk ayat perintah, ayat
larangan, ayat perumpamaan, ayat hukum, ayat nasihat, ayat peringatan dan
sebagainya. Kesemuanya menjurus kepada panduan yang berguna agar manusia
selamat dalam melayari bahtera kehidupan sama ada secara individu, berkeluarga,
bermasyarakat mahupun bernegara.
(1)
Al-Quran Panduan Memelihara Keselamatan Diri Dan Masyarakat.
Al-Quran
kaya dengan panduan yang dapat membatasi diri manusia dan masyarakat daripada
ditimpa sebarang kemudharatan. Antara panduan tersebut ialah :
i.
Larangan meminum arak.
Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang meminum arak sebagaimana dalam
firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Maaidah ayat 90-91 :
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا
ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ
ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ
ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِي ٱلۡخَمۡرِ
وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ
أَنتُم مُّنتَهُونَ﴾
Tafsirnya:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan
mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan
syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan
keberuntungan). Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan
kebencian antara kamu dengan sebab (meminum) arak dan (bermain) judi dan
menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka
tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perkara keji itu)?”
ii.
Larangan Melakukan Zina
Firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Israa’ ayat 32 :
﴿وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ
فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا﴾
Tafsirnya:
“Dan
janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu adalah
suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.”
Zina
merupakan satu perbuatan keji yang semakin berleluasa diperlakukan pada zaman
moden ini. Al-Quran bukan hanya mengharamkan zina bahkan melarang sesiapa pun
untuk menghampiri perbuatan yang boleh menjurus kepada perlakuan zina. Hikmah
Allah mengharamkan zina itu kerana ia boleh merosak keturunan jika lahir anak
daripada penzinaan tersebut, merosak keperibadian dan boleh menjurus diri ke
lembah kehinaan.
Bahkan
dari sudut kesihatan, perbuatan seks secara bebas boleh mendatangkan pelbagai
jenis penyakit yang boleh mengancam
nyawa. Di samping itu, zina juga boleh melahirkan gejala sosial yang negatif
yang boleh membawa kesan buruk terhadap agama, masyarakat dan negara.
iii.
Larangan Melakukan Rasuah
Allah
Subhanahu wa Ta’ala menegah perbuatan
rasuah sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 188 :
﴿وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم
بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ
أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ﴾
Tafsirnya:
“Dan
janganlah kamu makan harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang bathil dan
janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat
dosa padahal kamu mengetahui salahnya.”
Rasuah
haram dalam syariat Islam dan ia merupakan musuh negara. Ia juga merupakan
perbuatan mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan serta mendatangkan
mudharat kepada masyarakat umumnya, menjejaskan pentadbiran negara,
undang-undang dan penguatkuasaan juga akan kurang berfungsi. Ia juga boleh mendatangkan
kesan buruk kepada individu seperti melahirkan rasa tamak. Apabila ini berlaku,
masyarakat akan menjadi kucar kacir dan tidak tenteram.
(2)
Al-Quran Panduan Memelihara Keselamatan Keluarga
i.
Al-Quran
memberikan panduan yang tepat bagaimana menjaga hubungan kekeluargaan yang
selamat daripada sebarang permusuhan, pertelingkahan dan penganiayaan. Antara
aspek yang ditekankan ialah:
Suruhan
Menjaga Hubungan Kasih Sayang Antara Suami Isteri.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala
dalam surah ar-Ruum ayat 21:
﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ
أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ
وَرَحۡمَةًۚ
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ
يَتَفَكَّرُونَ﴾
Tafsirnya:
“Dan antara
tanda-tanda kekuasaanNya bahawa Dia menciptakan bagi kamu isteri-isteri
daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa senang kepadanya
dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat
(belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar –benar terdapat
tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) berfikir.”
Suruhan
Mengeratkan Hubungan Silaturrahim
Al-Quran menyeru agar semua
golongan manusia menjaga ikatan silaturrahim sesama keluarga. Perkara ini ada
disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisaa ayat 1 :
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ
ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ
مِنۡهُمَارِجَالٗا
كَثِيرٗاوَنِسَآءٗۚ
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ
كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا﴾
Tafsirnya:
“Wahai
manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang
telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam ‘alaihissalam). Dia
(Allah Subhanahu wa Ta’ala) menciptakan daripadanya pasangan (Hawa), Dia (Allah
Subhanahu wa Ta’ala) mengembangbiakkan daripada keduanya (zuriat keturunan)
laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan
namaNya kamu saling meminta serta (peliharalah) hubungan silaturrahim (kaum
kerabat). Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengawasi (memerhati) kamu.”
(3)
Al-Quran Panduan Memelihara Keselamatan Negara
Al-Quran memberi panduan yang jelas bagaimana memelihara
kestabilan politik dan negara. Antara aspek yang dititikberatkan dalam suruhan
al-Quran ialah :
Perintah Mentaati Pemimpin
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisaa ayat 59:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ
ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن
تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ
فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن
كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ
تَأۡوِيلًا﴾
Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa)
dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam
sesuatu perkara, maka kembalikanlah kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan Sunnah
RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.”
Diwajibkan
supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak pemimpin selama mana ia tidak bertentangan dengan dalil-dalil
syara’. Setiap arahan yang datang daripada ketua pemimpin adalah wajib
ditunaikan kecuali perkara maksiat atau kemudharatan yang jelas.
Perintah Bersepakat Dan Bersatupadu
Al-Quran mengajak umat Islam kearah kesepakatan dan kedamaian
sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah A-li ‘Imraan ayat
103-104:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا
وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ
أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ
فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا
وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ
يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ
لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ
أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ
عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ
وَأُوْلَٰٓئِكَ
هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ﴾
Tafsirnya:
“Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan
janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah ni’mat Allah kepada kami ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati
kamu (dengan ni’mat agama Islam), maka menjadilah kamu dengan ni’matNya itu
(orang-orang Islam yang ) bersaudara. Dan dahulunya kamu berada di tepi jurang
neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya (dengan sebab ni’mat Islam).
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu
mendapat hidayat. Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru
kepada kebajikan (kebaikan) menyuruh berbuat yang ma’ruf serta melarang
daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Ayat ini menjelaskan bahawa kesatuan masyarakat membawa ke arah
kesejahteraan hidup. Kesepakatan memainkan peranan yang penting dalam mencapai
perpaduan. Permusuhan dan pertelingkahan hanya menyumbang kepada kegagalan
menyatupadukan masyarakat dalam sesebuah negara.
والله أعلم بالصواب
Petikan :
Dari buku Al-Quran Sumber Keselamatan Dunia Dan Akhirat, Terbitan
Pusat Da’wah Islamiah.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan