Kedua-dua ibadat korban ini mempunyai perbezaan hukum apabila dagingnya hendak dipindahkan ke negeri lain.
As-Sayyid al-Bakri ad-Dumyathi
Rahimahullahu Ta’ala menjelaskan di dalam kitabnya Hasyiah I’anah ath-Thalibin bahawa di dalam kitab an-Nihayah
telah diputuskan mengenai memindahkan daging korban dari negeri tempat korban
itu dibuat hukumnya adalah haram sepertimana juga dalam hal memindah zakat,
sama ada korban itu korban sunat atau korban wajib. Adapun yang dimaksudkan
dengan korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin.
Untuk lebih jelas, berikut
diterangkan hukum memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke
negeri lain mengikut jenis ibadat korban :
· Korban Wajib :
Kesemua daging korban wajib
daripada binatang yang disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir
dan miskin dalam keadaan mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan
daging korban berkenaan daripada negeri tempat binatang korban itu disembelih.
Inilah pendapat jumhur ‘ulama asy-Syafi’iyyah.
Apa yang perlu dibuat dalam hal
ini, daging daripada binatang korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya
kepada golongan fakir dan miskin di negeri (tempat) di mana binatang korban itu
disembelih.
· Korban Sunat :
Dalam korban sunat pula, terdapat
bahagian daripada daging korban itu yang sunat dimakan atau dihadiahkan oleh
orang yang berkorban dan terdapat juga bahagian yang wajib disedekahkan.
Dalam hal ini, bahagian atau
hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain,
sementara bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin pula
wajib disedekahkan di negeri tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke
negeri lain.
Gambaran bahagian daging korban
sunat yang boleh dipindahkan ke negeri lain itu adalah seperti berikut:
Dalam korban sunat adalah
disunatkan membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian:
1. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
Diwajibkan bagi orang yang
berkorban untuk menyedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat dalam
keadaan mentah, iaitu tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki
oleh golongan ini.
Oleh kerana bahagian (1/3) adalah
untuk disedekahkan dan diagihkan kepada fakir dan miskin di negeri (tempat)
binatang korban disembelih, maka haram ia dipindahkan ke negeri lain.
2. Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri.
Sunat hukumnya orang yang
berkorban memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya
sebagai mengambil berkat. Bahagian ini harus dipindahkan ke negeri lain.
3. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Orang yang berkorban sunat, harus
menghadiahkan sebahagian daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli
keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan seumpamanya daripada kalangan orang
Islam. Bahagian ini juga harus dipindahkan ke negeri lain.
Oleh yang demikian, sebagaimana
yang dijelaskan bahawa bahagian yang hanya boleh dipindahkan ke negeri lain itu
ialah bahagian daging untuk dirinya sendiri dan bahagian dihadiahkan kepada
orang kaya. Manakala bahagian yang diperuntukkan kepada fakir dan miskin
wajib diagihkan kepada fakir dan miskin yang berada di tempat orang itu
menyembelih dan haram dipindahkan ke negeri lain.
MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN DI
LUAR NEGERI
Selain daripada memindahkan
daging korban ke negeri lain, tidaklah salah jika ingin melakukan ibadat
korban di negeri yang dirasakan ramai orang yang lebih berhak menerima bahagian
daging korban tersebut. Malah adalah diharuskan memindahkan wang dari
satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.
Perkara berkorban dan aqiqah di
luar negeri ini pernah ditanyakan kepada Syeikh Mohammad bin Sulaiman al-Kurdi Rahimahullah
Ta’ala sepertimana disebutkan dalam kitab Hasyiah I’anah ath-Thalibin.
Pada masa itu telah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu)
berwakil kepada seseorang untuk membeli na’am (seperti lembu dan
kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban dan sedangkan orang yang
hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi (di negerinya).
Beliau menjawab dengan berkata : “
Perbuatan sedemikian itu adalah sah dan harus berwakil membeli binatang korban
dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan
negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (Kitab I’anah
ath’Thalibin: 2/381)
Namun begitu, dalam hal
memindahkan daging korban itu juga adalah dibolehkan sekadar bahagian yang
harus dipindahkan daripada korban sunat sahaja. Inilah yang dikatakan oleh
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala di dalam kitabnya
Sabil Muhtadin ketika menukilkan perkataan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Rahimahullahu
Ta’ala :
“Kata Syeikh saya, Muhammad bin
Sulaiman : “Harus berwakil pada membeli na’am akan korban pada negeri
yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala
miskin negeri itu.”
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari
Rahimahullahu Ta’ala kemudian berkata : “ Maka iaitu zahir sama ada
negeri Makkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya dari negeri
tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram.. dan sayugianya
hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu
a’alam. (Kitab Sabil al-Muhtadin : 228).
Kemudian Syeikh Muhammad Arsyad
al-Banjari Rahimahullahu Ta’ala berkata lagi : “Jikalau berwakil
seseorang akan seseorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan
murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir dan
miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya
daripada negeri itu ke negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia
memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib
maka wajiblah atas wakil menyedekahkan sekaliannya pada fakir di dalam negeri
tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke
negeri yang lain (Kitab Sabil al-Muhtadin : 230)
والله
أعلم بالصواب
Petikan daripada Irsyad Hukum 2014, Jabatan Mufti Kerajaan.