Wednesday, July 08, 2020

HAK DAN KEWAJIPAN ISTERI DAN SUAMI


Islam telah menerangkan kehidupan lelaki dan perempuan sebagai suami isteri adalah bertujuan untuk mengadakan kerjasama antara satu dengan yang lain menurut garis-garis yang telah ditentukan oleh syara’. Ini beerti bahawa perkahwinan bukanlah suatu perkongsian di mana-mana masing-masing pihak lebih mengutamakan keuntungan pihak dirinya seorang sahaja dan dengan tidak menghiraukan kerugian di pihak yang lain. Bahkan perkahwinan adalah suatu upacara akad nikah dan perjanjian yang bersaksi di mana si suami dan isteri hendaklah berusaha dan melakukan sesuatu untuk kepentingan rakannya bagi mencapai kebahagian bersama.

Hak-Hak Isteri dan Kewajipan Suami

a)      Nafkah

Wajib ke atas suami memberikan kepada isterinya yang taat yang telah menyerahkan dirinya dan segala keperluan hidupnya iaitu nafkah makanan/minuman, pakaian dan tempat kediaman). Jika suami itu orang yang berada iaitu mempunyai harta sekira-kira cukup sara hidup umurnya yang baki, wajib ke atasnya menanggung nafkah bagi isterinya seperti berikut:

i.      Pada tiap-tiap sehari semalam dua kati makanan yang biasa dimakan di tempatnya seperti beras
        bagi ahli negeri yang biasa makan nasi.
ii.     Lauk dan rampaian-rampaian sebagaimana biasa dimakan di tempatnya seperti ikan, daging 
        termasuk rempah-rempah dan sebagainya.
iii.   Sayur-sayuran seperti bayam, kangkung dan sebagainya.
iv.    Buah-buahan tempatan seperti pisang, nangka dan sebagainya.
v.      Alatan memasak seperlunya seperti periuk, belanga, pinggan, mangkuk, baldi dan seumpamanya.
vi.    Untuk sarapan (makan minum pagi) dan sebagainya wajib diberikan kepadanya benda-benda
        seperti kopi, the, gula dan sebagainya.
vii.   Bagi keperluan di waktu malam,wajib diberikan kepada isteri lampu, tudung kepala dan 
        sebagainya yang layak bagi si isteri.
viii.   Pada tiap-tiap enam bulan hendaklah diberikan baju, kain, seluar atau sebagainya yang layak bagi si isteri.
ix.   Mengenai tempat tidur, wajib disediakan hamparan, tikar, tilam, bantal, kain selimut dan alat-alat ganti dan upah
        membaikinya apabila barang-barang persiapan itu rosak jika suami tidak membaikinya.
x.     Mengenai dengan alat-alat perabot, wajib peralatan seperti kerusi, meja dan sebagainya.
xi.    Memberikan tempat tinggal yang layak bagi si isteri itu sama ada  dengan jalan sewa atau sebagainya.
xii.  Memberikan orang gaji yang akan berkhidmat iaitu jika memang telah menjadi kebiasaan ada orang gaji untuknya di
       rumah orang tuanya.

Adapun jika suami orang yang sederhana, tidak kaya tetapi tidak pula miskin) wajib atasnya memberi belanja (nafkah) secara pertengahan pula iaitu:

i.           Satu setengah kati makanan yang biasa bagi ahli negeri.
ii.          Membeli peralatan-peralatan yang mustahak untuk masak memasak seperti belangan periuk 
             dan lain-lain.
iii.         Membeli peralatan makan minum seperti dulang pinggan, mangkuk, senduk dan penceduk 
             dan sebagainya.
iv.         Membeli peralatan basuh membasuh dan mandi-manda seperti baldi, gayung, sabun, sikat dan sebagainya.
v.          Memberi rumah tempat kediaman atau disewakan untuknya sebagaimana keterangan yang tercatat di (xi) di atas tadi (iaitu bagi suami yang kaya).

Jika suami seorang yang miskin, wajib ke atasnya memberikan makanan satu kati beras pada tiap-tiap hari dan lain-lain barang mengikut kemampuannya.

Jika suami seorang papa, harus isteri bersabar dan bolehlah ia belanja untuk sara hidupnya dengan tenaga usahanya atau daripada wang harta kepunyaannya sendiri, atau jika tiada ia mempunyai harta bolehlah ia berhutang bagi nafkahnya dan semua hutang-hutang itu tertanggung atas suami untuk membayarnya. Maka jika si isteri tidak dapat bersabar lagi di atas kepapaan suaminya, harus ia membuat pengaduan kepada kadi untuk menfasakhkan nikahnya.

b)      Giliran beberapa orang isteri

Wajib diberikan giliran bermalam bagi beberapa isteri. Jika suami sudah  bermalam dengan seorang isteri maka wajib atas suami memberikan giliran kepada isterinya yang lain yang belum mendapat giliran itu, sekalipun isteri yang belum mendapat giliran itu ada uzur seperti sakit, haidh, ratq atau ihram kerana yang dimaksudkan dengan memberikan giliran itu ialah berjinak-jinak bukannya bersetubuh atau dengan kata-kata lain ialah untuk bermalam jua. Menyamakan giliran bermalam antara isteri-isteri itu adalah wajib atas suami, tetapi tidaklah wajib disamakan dari segi bersetubuh atau sebagainya bahkan sunat sahaja. Tetapi yang berhak mendapat giliran bermalam itu ialah isteri yang taat kepada suaminya, tidak nusyuz seperti ia keluar daripada tempat kediamannya tanpa izin suaminya atau tidak dibuka pintu Ketika suaminya hendak masuk rumah atau enggan menyerahkan dirinya untuk bermesra  dengannya umpamanya tanpa uzur syara’ maka tidalah wajib diberi giliran bermalam.

c)       Mendapat Pergaulan Yang Baik Dari Suami.
Isteri berhak mendapat layanan dan pergaulan yang baik dari suaminya, sebab itu wajib atas suami menggauli isterinya dengan baik serta memberikan layanan yang sewajarnya. Suami sebagai ketua dalam rumahtangga, dia bertanggungjawab  terhadap isteri dan rumahtangganya. Sebab itu Islam menyuruh  supaya suami sentiasa  bersopan santun dan berlemah lembut kepada isterinya serta bertimbang rasa dan bersabar dengan perangai yang kurang menyenangkan dari isterinya. Tujuan Islam menetapkan hukum dan hak isteri supaya dipergauli oleh suaminya dengan baik ialah supaya rumahtangga sentiasa berjalan dengan baik serta aman damai, kerana kalau pergaulan suami terhadap isteri dengan kasar atau balas dendam tentu sahaja tidak akan mendatangkan kebaikan kepada rumahtangga, bahkan kelakuan-kelakuan suami yang demikian tidak akan hilang dari ingatan isteri.
Sebab itulah Allah Subhanahu wa ta’ala telah berfirman di dalam surah an-Nisa ayat 19:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ ﴿
Tafsirnya:
“Dan bergaullah kamu dengan (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

Memelihara Ugama dan Membimbing Isteri

Salah satu dari hak isteri yang wajib ke atas suami ialah menjaga agama isterinya dan membimbing akhlaknya kepada perkara yang berkebajikan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah at-Tahrim ayat 6:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ
Tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia (orang kafir) dan batu-batu berhala.”

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah at-Taubah ayat 71:

﴿وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ 
Tafsirnya:

“Dan orang-orang mu’min, laki-laki dan perempuan, sebahagian daripada mereka itu menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh  berbuat yang ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar, dan mereka mendirikan sembahyang, dan membayar zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan dikurniakan rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
 
Alangkah indahnya sebuah rumahtangga yang sentiasa mematuhi suruhan-suruhan agama dan menjauhi segala larangan-larangannya apalagi telah mendapat jaminan daripada Allah menerusi RasulNya bahawa suami isteri yang sedemikian diberi rahmat. Sebab itulah ditekankan oleh Islam supaya pemilihan isteri dan suami itu hendaklah orang yang kuat beragama dan baik akhlak supaya rumahtangga sentiasa bahagia dan akan mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Hak Suami Dan Kewajipan Isteri

Menurut Islam suami berhak mendapat ketaatan daripada isterinya. Oleh yang demikian, isteri wajib mentaati suaminya selagi bukan pada perkara yang berupa maksiat.

Begitu juga adalah menjadi hak suami supaya  isterinya menjaga diri dan harta benda suami. Dan wajib atas isteri berkekalan sopan santun dan memberikan layanan yang baik terhadap suami dan jangan bercakap atau berperangai yang boleh mendatangkan tidak senang kepada suami, seperti bermasam muka atau apa-apa perangai yang tidak digemari oleh suami dan ini adalah sebesar-besar hak suami.

Al-Hakim telah meriwayatkan satu hadits daripada ‘Aishah katanya “Siapakah manusia yang mendapat sebesar-besar hak yang tertanggung ke atas perempuan? Sabda Nabi yang bermaksud: “Suaminya”. Kata Aishah “Apa pula sebesar-sebesar hak yang tertanggung ke atas lelaki? Jawab Nabi yang bermaksud: “Ibunya.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam telah menekankan tentang hak suami itu dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi daripada Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

 ))عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا ))

Maksudnya: 

“Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” 

Penyempurnaan hak suami tersebut adalah dianggap oleh Islam sebagai jihad di jalan Allah. Dan betapa besarnya hak suami yang demikian itu sehingga Islam menyertakan iaitu tidak memisahkan ketaatan mereka pada berbuat fardhu-fardhu ugama dan taat kepada Allah. Ini dapat dikesan daripada hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abdurrahman bin ‘Auf, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

((إِذَا صَلَّت الْمَرْأَةُ خَمسها، وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَها؛ وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا: ادخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ))

Maksudnya:

“Jika seseorang perempuan itu menunaikan sembahyang lima waktu dan puasa sepanjang bulan Ramadhan dan menjaga farajnya (kemaluan/kehormatannya). Dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya (di hari akhirat) masuklah engkau ke dalam syurga menerusi mana-mana pintu syurga yang engkau suka.”

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi ada menerangkan :

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الجَنَّةَ))

Maksudnya : “ Daripada Ummi Salamah Radhiyallahu ‘anhu (isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam) katanya : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam: Sesiapa sahaja perempuan Islam yang mati, sedangkan suaminya redha terhadapnya, nescaya ia masuk syurga.”


 Petikan daripada : Buku Pembentukan Keluarga Dari Sudut Pandangan Islam

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan