Sunday, July 19, 2020

PEMERKASAAN DA’WAH DALAM ERA KEPIMPINAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH (BHG I)


Tanggal 05 Oktober 1967 merupakan detik awal pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam kerajaan Negara Brunei Darussalam. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan yang ke-29 yang mewarisi takhta dan yang akan meneruskan serta mempertahankan perlaksanaan pemerintahan Islam sebagai dasar kerajaan.
Sesungguhnya dalam era pemerintahan baginda, pelbagai transformasi telah berjaya dilakarkan satu persatu. Semuanya ke arah menjunjung dan memperkasakan syiar Islam terus berkibar di bumi Brunei Darussalam. Permasyhuran Hari Kemerdekaan adalah detik yang paling berkeramat dalam lipatan sejarah pemerintahan baginda. Detik itu bukan semata-mata tampuk pemerintahan kembali kepada hak Sultan tetapi yang lebih utama ialah syiar Islam semakin terselah dan bersinar. Bahkan baginda dengan penuh optimis akan mengekalkan syiar Islam terus hidup di Negara Brunei Darussalam.

PEMERKASAAN DA’WAH DALAM ERA KEPIMPINAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH

Islam merupakan agama yang membawa ummahnya kepada kesenangan dan kesejahteraan di dunia mahupun di akhirat. Dasarnya sesuai dengan keperluan manusia sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru baginda telah mengambil langkah yang bijak dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam perlaksanaan pemerintahan, di segenap bidang sama ada yang berkaitan dengan pentadbiran, pertahanan, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan lain-lain lagi. Perlaksanaannya digerakkan melalui pemerkasaan da’wah agar syariat Islam menjadi keutamaan dalam sistem pemerintahan baginda.

Pemerkasaan da’wah melalui pendekatan da’wah lisan, tulisan dan amalan menjadi saluran untuk menyeru ummah agar berpegang teguh dengan agama Islam yang meliputi soal-soal mengenai ketetapan aqidah, syari’at dan akhlak.
Dalam era pemerintahan baginda, pemerkasaan da’wah dipusatkan kepada penerapan nilai-nilai Islam melalui sistem pentadbiran negara.

1.       PEMERKASAAN DA’WAH KEPADA MEMANTAPKAN AQIDAH

Aqidah Islam merupakan pegangan masyarakat Brunei serta merupakan corak pemerintahan Negara Brunei Darussalam sejak abad ke-15 masihi lagi dan kedudukan aqidah Islam diperkukuhkan lagi dengan termaterainya Perlembagaan Negeri Brunei 1959 yang secara rasminya telah memartabatkan Islam sebagai agama rasmi yang berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Keutuhan aqidah Islam yang menjadi dasar pemerintahan di Negara Brunei Darussalam diperkasakan menerusi pengsiytiharan Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 01 Januari 1984 sebagai satu detik yang bersejarah lagi penuh keramat.

“…Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta’ala akan selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah wal Jama’ah dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan..”

(Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Permasyhuran Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, pada 01 Januari 1984, bertempat di Taman Sir Muda Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien).

Peri pentingnya aqidah sebagai asas kehidupan beragama, maka beberapa pendekatan yang signifikan telah dilaksanakan bagi memenuhi hasrat menjadikan Brunei Darussalam sebagai negara yang menerapkan dan melaksanakan ajaran Islam.

i.                     Melayu Islam Beraja sebagai Ideologi Negara

Baginda bertitah:

“MIB jiwa raga Brunei. Ia tidak boleh dilihat dengan kaca mata biasa, tetapi perlu ditanggapi dengan kefahaman dan kesedaran. Setiap orang perlu faham dan sedar, bahawa MIB bukan ‘jalan sempit’, tetapi sebuah lebuh raya yang panjang dan luas. Ia menjanjikan keselesaan dan kebajikan untuk semua..”

(Petikan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Perasmian Majlis Ilmu Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-64 Tahun pada hari Isnin, 14 Syaaban 1431/26 Julai 2010, bertempat Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Brunei Darussalam).

Ideologi atau falsafah Melayu Islam Brunei menjadi sukat-sukat mengenai dasar dalam beragama di Negara Brunei Darussalam. Islam sebagai agama rasmi dengan berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah secara langsung menolak mana-mana aqidah atau ajaran yang bercanggah dengan al-Qur’an dan as-Sunnah. Justeru ideologi Melayu Islam Beraja adalah secara tidak langsung menjadi sandaran dalam memantapkan aqidah, agar sentiasa berjalan di atas landasan yang betul lagi benar.

ii.                   Berkuatkuasanya Pengharaman Fahaman Dan Ajaran Sesat

Baginda telah bertitah:

“…umat Islam, terutama kita di Brunei ini mestilah berjaga-jaga daripada sebarang ajaran yang boleh memesongkan aqidah kita, iaitu aqidah yang telah kita pegang sekian lamanya daripada aliran Ahlul Sunnah wal Jama’ah. Hanya ini sahaja yang akan dipegang dengan menolak segala bentuk khurafat atau bidaah yang bertentangan dengan ajaran-ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah.”

(Petikan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wassalam, pada 30 Ogos 1993, bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam).

Justeru Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Penguatkuasa Ugama telah bertindak dalam memelihara aqidah dan akhlak umat Islam di Negara Brunei Darussalam daripada terlibat dan terjerumus kepada penyelewangan aqidah dan Bahagian ini juga mengambil langkah yang cepat untuk menghindari masyarakat daripada terpedaya  dengan fahaman mahupun  ajaran yang menyesatkan dengan menghebahkan tentang berkuatkuasanya pengharaman terhadap fahaman, ajaran-ajaran atau kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan ajaran Islam atau perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.

iii.                 Menjulang kedudukan Al-Qur’an Al-Karim

Hakikatnya setiap umat Islam wajib mengimani al-Qur’an al-Karim, yang setentunya memantapkan aqidah dan keimanan bagi mereka yang mengamalkannya. Justeru Baginda menyeru agar martabat al-Qur’an al-Karim di Negara Brunei Darussalam dijulang pada yang selayaknya.

·       Bacaan al-Qur’an sebagai Amalan Harian

Baginda telah bertitah:

“…Munasabah sempena kita memperingati Nuzul al-Qur’an ini, serta demi untuk mendapatkan keberkatan dan cahaya daripada al-Qur’an itu, maka adalah seelok-elok pekerjaan untuk dijadikan tabiat khasnya oleh pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, melazimkan diri masing-masing untuk membuka dan membaca Kitab suci al-Qur’an, walaupun setakat beberapa ayat sahaja pada tiap-tiap hari, sebelum memulakan tugas dan pekerjaan masing-masing. Tujuannya ialah agar dengan berkat al-Qur’an itu, apa jua tugas dan khidmat kita untuk negara ini, dan hidayat Allah, sesuai dengan sifat al-Qur’an itu sendiri sebagai “Hudan Lilmuttaqen” yakni petunjuk bagi orang-orang yang suka bertaqwa.”

(Petikan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Menyambut Nuzul al-Quran, pada 22 Mac 1992, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Brunei Darussalam).

·       Penerbitan Mushaf Brunei Darussalam

Dalam era kepimpinan baginda, hasrat dan usaha Negara Brunei Darussalam untuk memiliki dan menerbitkan Mushaf al-Qur’an sendiri telah terlaksana pada 03 Oktober 1992 yang dinamakan Mushaf Brunei Darussalam. Penerbitan ini bertujuan memasyarakatkan al-Qur’an al-Karim dalam kalangan ummahnya dan memenuhi tuntutan agama untuk menjulang kedudukan al-Qur’an al-Karim sebagai kitab suci umat Islam.

·       Al-Qur’an al-Karim Sebagai Cokmar Universiti

Rasional al-Qur’an al-Karim sebagai cokmar Universiti adalah bertepatan dengan peranan al-Qur’an al-Karim sebagai kitab suci ummah muslimin dan sumber ilmu yang menjadi suluh manusia di dunia mahupun akhirat. Maka dalam Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam yang ke-8 iaitu pada 28 September 1996 bertepatan dengan 10 tahun penubuhannya dipilih  sebagai majlis merealisasikan Kitab al-Qur’an dijunjung sebagai cokmar Universiti.

Baginda bertitah:
“…Dengan pelancaran ini, membayangkan aspirasi Negara ini, sekurang-kurangnya bagi mendapatkan keberkatan al-Qur’an dalam bidang ilmu, dan lebih jauh lagi di dalam bidang-bidang kehidupan menyeluruh”

(Petikan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Merasmikan Penukaran Cokmar Universiti Brunei Darussalam dengan Mushaf Brunei Darussalam tulisan tangan pada 23 Februari 1993).

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai universiti yang kedua di Negara Brunei Darussalam turut mendokong gagasan baginda ini, maka pada 24 Oktober 2011, baginda telah berkenan merasmikan Pelancaran Penulisan Mushaf UNISSA yang dijunjung sebagai cokmar di dalam majlis-majlis penganugerahan ijazah. Uniknya Mushaf UNISSA ini ditulis dan direka oleh anak tempatan Brunei Darussalam yang juga merupakan tenaga akademik universiti itu sendiri. 

2) PEMERKASAAN DA’WAH KEPADA PENYEBARAN AGAMA ISLAM

i.                     Penubuhan Pusat Da’wah Islamiah 

Sesungguhnya usaha menyebarkan da’wah Islam merupakan antara amanat utama yang perlu digalas oleh seseorang yang dinamakan pemimpin. Adapun penyebaran da’wah itu merangkumi orang Islam mahupun bukan Islam. 

Da’wah kepada orang Islam lebih memusatkan kepada islah agar mampu membina sebuah masyarakat Islam yang benar-benar menghayati ajarannya. Sementara da’wah kepada orang bukan Islam pula menyeru dan mengajak mereka kepada kemurnian ajaran agama Islam sehingga terdorong untuk menerima Islam sebagai agama anutan atau setidak-tidaknya menaruh harapan agar kalangan yang bukan Islam menghormati dasar negara yang mengamalkan sistem Islam.

Maka hasrat mewujudkan sebuah institusi yang bertanggungjawab menjaga kepentingan hal ehwal  perkembangan agama Islam di Brunei Darussalam telah terlaksana dengan penubuhan Pusat Da’wah Islamiah pada 16 September 1985. Rasional penubuhan Pusat Da’wah Islamiah adalah berperanan menyebarkan agama Islam dan ajaran-ajarannya bagi memenuhi kewajipan perlaksaan konsep al-Amr bi al-Ma’ruf wa an-Nahyu ‘an al-Munkar di negara ini.

“…Dengan adanya Pusat Da’wah Islamiah ini kita yakin usaha-usaha kita untuk menjadikan Islam sebagai “Ugama Yang Utama” di Negara Brunei Darussalam, akan berjalan lebih licin dan sempurna. Maka untuk mencapai tujuan-tujuam ini sangatlah kena pada tempatnya bagi Pusat Da’wah Islamiah ini menjadi sebuah institusi perkembangan da’wah Islam di Negara ini, dan mempertinggi pengetahuan rakyat berhubung dengan ajaran-ajaran Islam.”

(Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Da’wah Islamiah Negara Brunei Darussalam, pada 16 Spetember 1985).

ii.                   Meraikan Hari-Hari Kebesaran Islam

Peri pentingnya menanamkan keimanan di samping menghayati usaha dan perjuangan para rasul dalam menegakkan agama Islam, maka baginda telah memerintahkan untuk meraikan setiap hari kebesaran Islam seperti Awal Tahun Baru Hijrah, Maulidur Rasul, Isra’ dan Mi’raj dan Nuzul al-Qur’an sebagai aktiviti keagamaan negara. Objektifnya selain meningkatkan penghayatan ummah muslimin kepada mesej Islam juga membantu untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat bukan Islam.

iii.                 Agama Islam Pelajaran Teras Dalam Sistem Pendidikan.

Pada era kepimpinan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, telah melangkah jauh ke hadapan dengan menjadikan Pendidikan agama sebagai mata pelajaran teras. Baginda seringkali menekankan dan menegaskan agar Pendidikan agama diberikan keutamaan dan prioriti dalam sistem Pendidikan negara sesuai dengan kedudukan negara sebagai negara Islam dan majoriti rakyat serta penduduknya yang beragama Islam.

·       Insititut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Insititut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan institusi yang mengutamakan hafazan al-Qur’an sebagai mata pelajaran teras di samping pengajian yang berkait rapat dengan bidang al-Qur’an tanpa mengabaikan pelajaran umum. Sesungguhnya institusi ini ditubuhkan adalah lahir daripada hasrat murni baginda untuk melaksanakan tuntutan fardhu kifayah. Di samping berhasrat menyaksikan lahirnya hufaz al-Qur’an daripada kalangan anak tempatan yang akan menjamin kesejahteraan ummah dan Negara Brunei Darussalam, ia juga sebagai lambang dan mercu tanda kegemilangan syiar Islam di bumi bertuah ini.

·       Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

Pusat ilmu ini merupakan gagasan ayahanda baginda yang berhasrat untuk melahirkan guru-guru ugama bertauliah yang akan memberikan Pendidikan Islam kepada anak bangsa Brunei.
Seiring dengan perkembangan dunia, pada awal tahun 2007, Baginda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menaiktarafkannya kepada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang pada awalnya dikenali sebagai Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan. Kolej ini dihasratkan untuk melahirkan sumber tenaga  yang berwibawa dalam Pendidikan perguruan Islam menjadi masyarakat dan bangsa yang benar-benar berilmu, beramal dan bertaqwa dengan berpaksikan kepada aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah.

·       Universiti Islam Sultan Sharif ‘Ali

Sesungguhnya Universiti ini memikul tanggungjawab yang amat besar untuk keperluan negara iaitu bertujuan melahirkan ulama dan cendiakawan Islam bagi menyuburkan dan memperkembangkan kefahaman ajaran Islam di Negara Brunei Darussalam.

Baginda bertitah:
“… Maka untuk itu, bertepatan dengan tahun baru 2007, Beta dengan amat sukacita mengumumkan penubuhan sebuah Universiti Islam sebagai Universiti kedua di Negara ini, universiti tersebut akan dikenali sebagai Universiti Islam Sultan Sharif ‘Ali. Universiti ini kita hasratkan akan menjadi mercu kegemilangan Islam di negara kita,dan insya Allah, ia akan turut berperanan melahirkan para ulama’ dan cendekiawan yang berwibawa yang diperlukan oleh negara.”

(Petikan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Awal Tahun Masihi 2007, pada 01 Januari 2007).

Bersambung..

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan