3) PEMERKASAAN DA’WAH
KEPADA PERLAKSANAAN PERATURAN ISLAM
Peranan pemimpin negara Islam
adalah sebagai pemacu kepada menegakkan syariat Islam. Justeru dalam kerajaan baginda telah digubal
dan disusun beberapa peraturan yang sejajar dengan lunas-lunas Islam.
Semata-mata menegakkan syariat Islam untuk meraih keredhaan Allah Subhanahu wa
Ta’ala yang membawa kesejahteraan kepada rakyat dan penduduknya.
i.
Pengharaman Minuman
Keras
Islam mengharamkan arak
disebabkan sifatnya yang membawa banyak keburukan dan kemudharatan kepada
manusia. Arak bukan sahaja boleh merosakkan fikiran dan kesihatan manusia.
Malahan ia juga boleh menjadikan seseorang itu hilang pekerti dan rosak akhlak
serta aqidahnya.
Justeru pada 01 Disember 1990, baginda
telah memperkenankan peraturan kepada pengharaman jual beli arak ke Negara
Brunei Darussalam. Peraturan ini melibatkan masyarakat Islam dan bukan Islam,
malah juga melibatkan industry perdagangan, peniaga dan pembekal.
Agensi Penerbangan Di Raja Brunei
lebih awal menyokong dan melaksanakan dasar ini, di mana mulai 30 November 1988
telah bertindak meniadakan sajian dan hidangan minuman arak kepada para
penumpang di setiap destinasi penerbangannya. Sementara itu pengharaman arak
juga berkuatkuasa di Kelab-kelab Angakatan Bersenjata Di Raja Brunei dan Polis
Di Raja Brunei. Peraturan ini dilaksanakan mulai 31 Julai 1990.
ii.
Melaksanakan Sistem
Kewangan Islam
Kewangan Islam adalah sebuah
rangkaian system yang lengkap lagi sempurna kerana bersumberkan wahyu Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Sistem ini menjauhi amalan riba, justeru ianya lebih baik
berbanding sistem kewangan konvensional. Sistem kewangan Islam menyamai prinsip
keadilan dan menjauhi unsur kezaliman kepada semua pihak tidak kira bangsa
mahupun agama. Semuanya mendapat hak yang saksama.
Hari ini, Negara Brunei
Darussalam telah memiliki Institusi Perbankan Islam yang mengamalkan urusan
perdagangan tanpa riba, tanpa penindasan dan penipuan. Kewujudannya telah
memberi banyak manfaat kepada umat Islam bahkan turut dinikmati oleh masyarakat
bukan Islam.
4) PEMERKASAAN DA’WAH
KEPADA MENEGAKKAN KEADILAN
Sesungguhnya baginda seorang
pemimpin yang mempunyai keazaman yang kuat untuk mengislamisasikan
undang-undang negara. Sebagai langkah permulaan ke arah aspirasi ini, baginda
berhasrat untuk menubuhkan sebuah Mahkamah Tertinggi Syari’ah dan
mengemaskinikan perundangan serta
struktur kehakiman syari’ah. Pada 21 Januari 1980, baginda telah
memperkenankan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji dan mensesuaikan
undang-undang Brunei dengan kehendak agama Islam. Jawatankuasa ini dinamakan
“Jawatankuasa Mensesuaikan Undang-Undang Dengan Kehendak Agama Islam.” Pada
tahun 1988, Kerajaan baginda telah mendatangkan seorang Pakar Perundangan Islam
dari Pakistan. Dengan adanya pakar ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah
menubuhkan unit undang-undang yang berperanan sebagai Urusetia kerja khusus
bagi membantu Jawatankuasa Mensesuaikan Undang-undang Dengan Kehendak Islam.
i.
Undang-Undang Islam
Di Brunei
Pada peringkat awal pemerintahan
Kesultanan Brunei, perlaksanaan undang-undang adalah berpegang kepada hukum
syara’. Dalam pemerintahan Sultan Sharif Ali perlaksanaannya sangat menonjol.
Dalam pada itu, Hukum Kanun Brunei yang merupakan undang-undang Islam bertulis
dan dikanunkan telah dipraktikkan secara berperingkat-peringkat dan mula
digunakan secara meluas dalam zaman pemerintahan Sultan Hassan. Hukum Kanun
Brunei telah menjadi asas atau panduan dalam pemerintahan baginda dan
Sultan-Sultan selepas baginda bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai
pemerintah Negara Brunei Darussalam.Di samping itu, Hukum Kanun Brunei juga
digunakan sebagai garispandu bagi menjatuhkan hukuman kepada mereka yang
didapati bersalah.
Apabila Brunei secara rasmi
menerima Residen Inggeris pada tahun 1906, pemerintahan colonial Inggeris mula
campurtangan dengan undang-undang Islam yang telah menjadi sumber dan panduan
utama dalam pembentukan masyarakat Brunei. Undang-Undang Islam mula disempitkan
dan penggunaannya hanya pada isu-isu yang terhad sahaja.
Kemerdekaan yang dicapai Negara
Brunei Darussalam telah membawa rahmat kepada Brunei khususnya aspek undang-undang.
Kerajaan Brunei telah memainkan peranan yang bijak dengan membuat beberapa
Langkah ke arah mengislamisasikan undang-undang di negara ini.
ii.
Penubuhan Jabatan
Mufti.
Perlantikan Jawatan Mufti
berdasarkan undang-undang Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadhi (77).
Jabatan Mufti ditubuhkan pada 01 April 1962 sejajar dengan perlantikan Mufti
Kerajaan Pertama.
Pada asalnya Jabatan Mufti di
bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Ugama, apabila Brunei mencapai kemerdekaan
dan system kementerian diamalkan dalam pentadbiran, maka pada tanggal 21
Oktober 1986, Jabatan Mufti diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Syari’ah
dalam Kementerian Hal Ehwal Ugama. Pada 07 November 1994, Jabatan Mufti
diasingkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Jabatan Mufti adalah
bertanggungjawab kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyembahkan sebarang isu
yang berkaitan dengan tugasan Mufti Kerajaan. Manakala objektif penubuhan Jabatan
Mufti ialah mengeluarkan fatwa berdasarkan sumber hukum syara’ untuk rujukan
ummah Islam dalam menyelesaikan permasalahan. Sebarang fatwa yang telah
ditetapkan dan diputuskan adalah wajib dipatuhi oleh masyarakatnya.
Hakikatnya penubuhan jabatan ini
merupakan hasrat yang tinggi daripada seorang pemimpin terhadap agamanya agar
tegak dan terus bersemarak di bumi Brunei. Di samping memastikan bahawa setiap
tindakan dan kegiatan yang dijalani sebagai umat Islam sentiasa diberikan
perhatian agar mengikut dasar-dasar yang digariskan di dalam al-Qur’an al-Karim
dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam.
5) PEMERKASAAN DA’WAH
KEPADA MEMPERTAHAN BUMI BRUNEI SEBAGAI NEGARA ISLAM
i.
Wawasan Negara Zikir
Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah sempena Hari Raya
Aidiladha Tahun 1428H/ 2007M yang mahukan negara ini sentiasa dalam keamanan
dan di bawah lindunganNya:
“… Brunei adalah negara yang
selalu bersama-sama dengan Ar-Rahman ( Yang Maha Mengasihi) yang sentiasa
berhias dengan zikir dan menjadikannya sebagai rutin kebiasaan. Kerana itu
Allah pun dengan rahmatnya memalingkan kita dari sebarang kesusahan dan bencana
dari pelbagai anasir yang boleh merosakkan keamanan.”
“Beta insya Allah akan terus
berazam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’ yang sentiasa
mengagungkan Allah, supaya kita selalu berada dalam perhatian dan
pemeliharaanNya, sesuai dengan janjiNya di dalam surah al-Baqarah ayat 152,
tafsirnya : “ Kamu ingati Aku, nescaya Aku mengingati kamu pula.”
5) PEMERKASAAN DA’WAH
MENJANA KESEJAHTERAAN UMMAH
i.
Kesejahteraan Dalam
Beragama
Agama Islam menjadi dasar
pentadbiran di Negara Brunei Darussalam sejak sekian lamanya dengan berpaksikan
kepada aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah dengan berpegang kepada mazhab Syafi’e.
Keberkatan dan rahmat ajaran Islam yang dipusakai sejak turun temurun itu telah
mengurniakan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada
pelbagai ugama, budaya, bahasa dan keturunan untuk menjalani kehidupan yang
rukun, aman dan damai. Sungguhpun Islam sebagai agama rasmi dan majoritinya
penduduk berugama Islam tetapi penganut lain bebas mengamalkan kepercayaan
mereka masing-masing tanpa adanya diskriminasi antara penduduk Islam dan bukan
Islam. Masyarakat Brunei yang beragama Islam dan bukan Islam saling
bertoleransi dalam menjalani kehidupan di bumi Brunei Darussalam.
ii.
Kesejahteraan dalam
Pendidikan.
Kerajaan Negara Brunei Darussalam
di bawah pemerintahan baginda sangat mengambil berat soal pendidikan rakyat dan
penduduknya lebih-lebih lagi soal pendidikan agama. Kerajaan Brunei Darussalam
menyediakan pendidikan yang percuma kepada seluruh rakyat baginda. Dalam erti
kata lain tiada alasan dalam kalangan rakyat baginda yang keciciran untuk
mendapatkan pendidikan sempurna sekaligus menjaga kesejahteraan masyarakat
dalam mengharungi kemajuan dunia.
Baginda bertitah:
“… Pendidikan pada khususnya
mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi keperluan ugama.
Dalam makna, pendidikan ugama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di peringkat
asas, pendidikan ugama hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula
hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendiakawan berwibawa. Jangan sama sekali
ia kurang atau dikurangkan kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana
sahaja, jika pendidikan ugama lemah, maka akan lemahlah pula bangsa.”
(Petikan Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena
Hari Kebangsaan yang ke-21, pada 23 Februari 2005).
iii.
Kesejahteraan Dalam
Kemajuan dan Pembangunan
Brunei Darussalam telah
melaksanakan pembangunan demi pembangunan bagi memenuhi kepentingan dan
kesejahteraan kepada ummah seperti pembinaan masjid, sekolah dan hospital.
Bahkan di bawah kepimpinan baginda telah didirikan perumahan dan dikurniakan
kepada penduduk yang memerlukannya sehingga meningkatkan kualiti kehidupan
kekeluargaan. Pembangunan yang holistik dapat dimanfaatkan oleh rakyat boleh
membawa Brunei Darussalam dalam mencapai kemajuan yang seimbang menuju wawasan
2035.
Sesungguhnya dalam melaksanakan
sistem pemerintahan dengan menerapkan syariat Allah Subhanahu wa Ta’ala dan
sunnah RasulNya memberikan impak yang positif ke arah pembentukan negara Islam.
Natijahnya akan dapat dirasai ummah yang hidup pada hari inim esok dan akan
datang.
(Petikan dari Buku “Dalam Era Kepimpinan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah”, Dr Hajah Rasinah binti Haji Ahim, Terbitan
Pusat Da’wah Islamiah)
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan