Saturday, August 08, 2020

MENCABUT UBAN ATAU MEWARNAKANNYA

 

Uban ialah rambut yang sudah putih ataupun mulai menjadi putih. Pada kebiasaannya uban akan tumbuh pada usia tua tetapi ada juga sebahagian orang sudah beruban pada usia muda. Oleh kerana itu, ada orang merasa gelisah, risau dan ada juga yang merasa malu dengannya. Maka ada yang mencabutnya dan ada juga yang mewarnakannya dengan warna hitam. Namun adakah perbuatan itu dibenarkan dalam Islam.

Ada beberapa ayat dalam al-Quran yang menyebut mengenai uban diantaranya ialah :

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah ar-Rum, ayat 54:

﴿۞ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن ضَعۡفٖ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعۡدِ ضَعۡفٖ قُوَّةٗ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعۡدِ قُوَّةٖ ضَعۡفٗا وَشَيۡبَةٗۚ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡقَدِيرُ 

Tafsirnya :

“Allah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu berkeadaan kuat (muda), setelah itu Dia menjadikan kamu lemah semula dan tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa”.

KELEBIHAN ORANG YANG BERUBAN

Antara kelebihan uban ialah sebagaimana disebutkan dalam hadits at-Tirmidzi yang diriwayatkan daripada Ka’ab bin Murrah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

" من شاب شيبة في الإسلام كانت له نوراً يوم القيامة "

Maksudnya :

“Sesiapa beruban dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam maka baginya cahaya pada Hari Kiamat.”

Begitu juga dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

" الشيب نور المؤمن، لا يشيب رجل شيبة في الإسلام إلا كانت له بكل شيبة حسنة ورفع بها درجة "

Maksudnya :

“Uban adalah cahaya bagi seorang yang beriman, tidak beruban seseorang itu dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam melainkan bagi setiap helai uban itu suatu kebajikan dan diangkat dengannya satu darjat.”

Hadits ini menerangkan bahawa uban itu adalah sebagai cahaya bagi orang yang beriman kerana ia boleh menghalang daripada perbuatan membangga diri dan kurang berhati-hati dan ia boleh mendorong kepada melakukan ketaatan sehingga mendapat kebajikan dan ditempatkan pada darjat yang tinggi di syurga.

Selain itu, uban juga merupakan satu peringatan khususnya di usia tua dalam menambahkan dan meningkatkan kesedaran untuk lebih beramal dalam persediaan menghadapi ajal yang pasti tiba. Ini kerana uban itu juga adalah sebagai pemberi peringatan sebagaimana disebutkan dalam al- Quran, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah Fathir ayat 37:

﴿أَوَ لَمۡ نُعَمِّرۡكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَآءَكُمُ ٱلنَّذِيرُۖ  فَذُوقُواْ فَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِن نَّصِيرٍ 

Tafsirnya :

 (Dikatakan kepada mereka) : “Bukankah Kami telah memanjangkan umur kamu untuk kamu berfikir bagi orang yang mahu berfikir padahal kamu telah didatangi oelh pemberi peringatan ? Maka rasailah (azab Kami), tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.”

Dalam ayat di atas uban disebut sebagai “sang pemberi peringatan” oleh sebahagian ahli tafsir seperti Ibnu ‘Abbas, ‘Ikrimah dan Qatadah Radhiallahu ‘anhum sebagaimana disebut dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir.

HUKUM MENCABUT UBAN

Hukum mencabut uban dari bahagian badan yang tidak dituntut untuk mencabutnya adalah makruh, sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Majmu’. Tidaklah ada beza sama ada mencabut uban di janggut ataupun di rambut. Hukum makruh ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Syu’aib Radhiallahu ‘anhu daripada bapanya dan datuknya, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ فَإِنَّهُ نُورُ الْمُسْلِم, مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَرَفَعَهُ بِهَا دَرَجَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

(رواه أحمد وأبو داود)

Maksudnya :

“Janganlah kamu mencabut uban kerana ia adalah cahaya bagi orang Islam, tidak ada daripada orang Islam itu yang beruban dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam melainkan Allah menulis baginya dengan sehelai uban itu satu kebajikan dan mengangkatnya dengan sehelai uban itu satu darjat dan menggugurkan daripadanya dengan sehelai uban itu satu kesalahan."

(Hadits Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

HUKUM MEWARNA UBAN

Sunat mewarnai uban dengan inai yang berwarna kekuningan atau kemerahan sebagaimana yang telah disepakati oleh para ashhab berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

إن اليهود والنصارى لا يصبغون فخالفوهم

(رواه البخاري)

Maksudnya:

“Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka) kerana itu buatlah kelainan daripada mereka.

Sementara itu para fuqaha’ telah sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut atau janggut yang beruban dengan warna hitam. Pendapat yang shahih mengatakan bahawa hukum perbuatan tersebut adalah haram melainkan ke atas orang-orang yang berjihad. Dalil pengharaman mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya :

 

أُتيَ بأبي قحافةَ ورأسهُ ولحيتهُ كالثَّغامة: غيِّروا هذا بشيءٍ واجْتَنِبُوا السَّوادَ

(رواه مسلم)

Maksudnya :

“Pada hari penaklukan Makkah dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaghamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya bewarna putih). Maka Baginda bersabda : “Tukarlah ini dengan sesuatu, tetapi jauhilah warna hitam.”

(Hadits riwayat Muslim)

Sementara hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

يكون قوم يخضبون في آخر الزمان بالسواد كحواصل الحمام لا يريحون رائحة الجنة

(رواه أبو داود)

Maksudnya :

“Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati. Mereka tidak dapat meni’mati bau syurga.”

(Hadits riwayat Abu Daud)

Tidak ada perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam larangan mewarnai rambut dengan warna hitam itu melainkan bagi perempuan yang bersuami harus baginya mewarnai rambut yang beruban dengan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suami dengan izin suaminya menurut pendapat al-aujah sebagaimana yang disebutkan oleh Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullah dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj.

PEWARNA RAMBUT YANG DIJUAL DI PASARAN

Ada berbagai jenis pewarna rambut atau lebih dikenali dengan dye rambut dijual di pasaran. Namun perlu diambil perhatian mengenai dye rambut yang berjual di pasaran, bukan sahaja kesucian atau kehalalannya tetapi sifatnya yang meresap ke rambut dan bukannya melekat atau melapis rambut juga perlu diketahui supaya tidak menghalang sampainya air Ketika mengangkat hadats kecil dan hadats besar.

Ini kerana dalam perkara mengangkat hadats besar seperti mandi junub ataupun mengangkat hadats kecil iaitu berwudhu’, rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh. Ini beerti air yang bersih wajib sampai ke seluruh bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi wajib junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu’. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut maka tidak sah mandi hadats dan wudhu’ berkenaan. Maka ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadats atau wudhu’nya itu tidak terangkat.

Sebab itulah bukan sahaja kesucian pewarna rambut malah sifatnya yang meresap juga perlu diambil perhatian demi memastikan ibadat yang kita lakukan tidak akan terjejas setelah menggunakan pewarna rambut tersebut.

Demikianlah huraian mengenai hukum mencabut uban dan mewarnakannya. Janganlah malu dengan tumbuhnya uban kerana uban mempunyai kelebihan sebagaimana disebutkan sebelum ini.

والله أعلم بالصواب

 

 

Petikan dari Buku Irsyad Hukum, 2018

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan