Saturday, August 15, 2020

SEMBAHYANG SUNAT RAWATIB

 

Imam Ibnu Majah telah meriwayatkan dalam sebuah hadits dari ‘Amr bin ‘Auf bin Zaid al-Muzani Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ، كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئاً

Maksudnya:

“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun.”

Telah tertulis di dalam al-Qur’an bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala menyukai semua perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menamakannya sebagai teladan yang baik sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 21:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا

Tafsirnya:

“Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah.”

Ini menunjukkan bahawa orang yang meneladani sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bererti dia telah menempuh ash-Shirathal Mustaqim (jalan yang lurus) yang akan membawanya mendapatkan kemuliaan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hadits ini telah menunjukkan keutamaan besar bagi orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, terlebih lagi sunnah yang telah ditinggalkan kebanyakan orang.

Di antara sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diikuti bagi mengejar ganjaran pahala ialah seperti melaksanakan sembahyang-sembahyang sunat. Sembahyang- sembahyang sunat ini juga terdapat berbagai jenis dan salah satunya adalah sembahyang sunat Rawatib. Terlalu jarang sembahyang sunat Rawatib ini disebut mahupun dilaksanakan.

Sebagai pengenalan, sembahyang sunat Rawatib ini adalah berasal dari perkataan ‘Raatib’ yang bermaksud berterusan. Sembahyang ini dikerjakan secara individu untuk mengiringi sebelum dan sesudah sembahyang fardhu lima waktu. Nama lain bagi sembahyang sunat Rawatib ini ialah sembahyang sunat qabliah yang dikerjakan sebelum sembahyang fardhu dan sembahyang sunat ba’diah yang didirikan selepas sembahyang fardhu iaitu sesudah bacaan wirid dan doa.

Fungsi sembahyang sunat qabliah adalah untuk menenangkan jiwa seseorang setelah melalui aktiviti kehidupan seharian yang adakalanya terlalu sibuk sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk khusyu’ ketika mendirikan sembahyang fardhu. Oleh itu sembahyang sunat qabliah berfungsi untuk mententeramkan jiwa serta memastikan kita berada dalam keadaan yang cukup bersedia bagi menyempurnakan sembahyang fardhu.

Sembahyang sunat ba’diah pula bertindak bagi menyempurnakan apa-apa kekurangan yang mungkin wujud ketika melaksanakan sembahyang fardhu seperti kesilapan dalam bacaan, tidak khusyu’, tersilap dalam pergerakan dan lain-lain.

Hukum melaksanakannya semestinya sunat dan terbahagi kepada dua, iaitu sunat mu’akkad yang bermaksud dituntut dan digalakkan dan ghairu mu’akkad yang tidak dituntut dan kurang digalakkan.

WAKTU SEMBAHYANG RAWATIB DAN HUKUMNYA

SEMBAHYANG FARDHU

RAKA’AT SEMBAHYANG SUNAT QABLIAH (SEBELUM) DAN HUKUMNYA

RAKA’AT SEMBAHYANG SUNAT BA’DIAH (SELEPAS) DAN HUKUMNYA

MU’AKKAD

GHAIRU MU’AKKAD

MU’AKKAD

GHAIRU MU’AKKAD

SUBUH

2

 

 

 

ZUHOR / JUMA’AT

2

2

2

2

ASAR

 

4

 

 

MAGHRIB

 

2

2

 

ISYA’

 

2

2

 

 

PERINGATAN:

• Selepas sembahyang fardhu Subuh adalah waktu syuruk, iaitu waktu yang diharamkan mendirikan  

   sembahyang.

• Selepas sembahyang fardhu Asar adalah waktu yang diharamkan untuk mendirikan sembahyang  

   sehingga terbenamnya matahari, iaitu sehingga masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib.

• Empat raka’at sembahyang sunat qabliah Zohor dan sunat qabliah Asar hendaklah didirikan dengan

   dua salam, iaitu setiap dua raka’at dan boleh juga dikerjakan hanya dua raka’at.

• Dua raka’at pertama sembahyang sunat qabliah dan sembahyang sunat ba’diah Zohor adalah

   mu’akkad dan dua raka’at terakhir adalah ghairu mu’akkad.

   NIAT SEMBAHYANG SUNAT QABLIAH/BA’DIAH

 

أُصَلِّي سُنَّةَ ( الصُّبْحِ /الظّهْرِ/ الْعَصْرِ/ الْمَغْرِبِ/ الْعِشَاءِ ) رَكْعَتَيْن ( قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً) لِلَّهِ تَعَالَى

 

Maksudnya:

 "Sahaja aku menunaikan sembahyang sunat (Subuh/ Zohor/Asar/Maghrib/Isya’) dua raka’at (sebelum/selepas) kerana Allah Ta’ala."

 

NIAT SEMBAHYANG SUNAT QABLIAH (SEBELUM) JUMA’AT

أُصَلِّي سُنَّةَ الْجُمُعَةِ  قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya:

"Sahaja aku sembahyang sunat sebelum Juma’at, dua raka’at kerana Allah Ta’ala."

NIAT SEMBAHYANG SUNAT BA’DIAH (SELEPAS) JUMA’AT

أُصَلِّي سُنَّةَ الْجُمُعَةِ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

:Maksudnyaَ

"Sahaja aku sembahyang sunat selepas Juma’at, dua raka’at kerana Allah Ta’ala."

FADHILAT SEMBAHYANG RAWATIB

Imam Muslim meriwayatkan daripada an-Nu’man bin Salim Radhiallahu ‘anhu , bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :

«مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ سَجْدَةً تَطَوُّعًا، بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ»

رواه مسلم

Maksudnya:

“Sesiapa bersembahyang dua belas rakaat dalam sehari secara tathawwu’ (sembahyang sunat rawatib), dibuatkan untuknya sebuah rumah dalam syurga."

(Hadits riwayat Muslim)

 

والله أعلم بالصواب

 

Petikan dari Majalah al-Huda, Pusat Da’wah Islamiah.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan