Wednesday, May 05, 2021

AMALAN BERSEDEKAH

  

 


Agama Islam menggalakkan umatnya untuk saling bantu membantu antara satu sama lain dalam perkara kebajikan dan salah satu daripadanya adalah dengan bersedekah. Sedekah bererti suatu pemberian yang diberikan oleh seseorang sebagai kebajikan untuk mencari dan mengharap keredhaan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata. Antara manfaat dan rahsia sedekah antaranya adalah untuk meningkatkan keimanan dan rasa kesyukuran, menghindarkan diri dari sifat materialistik dan sifat kedekut. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala akan meluaskan rezeki mereka yang suka bersedekah sepertimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Hadid ayat 18 tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah laki-laki dan perempuan serta (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan membelanjakan harta kepada jalan Allah) akan digandakan ganjaran kepada mereka dan mereka akan beroleh pahala yang banyak.”

Islam menganjurkan supaya kita menghulurkan bantuan kepada faqir miskin dan orang-orang yang dalam kesusahan samada sedikit atau banyak jumlahnya. Dalam membantu faqir miskin,  Islam menganjurkan supaya setiap orang yang berada atau berkemampuan itu melihat kaum keluarga masing-masing supaya saudara mara miskin yang dekat itu lebih diutamakan.

Sebagimana dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dari Abu Jabir, Rasulullah bersabda yang maksudnya :

“Apabila salah seorang dari kamu terdiri seorang yang faqir, maka mulailah dengan dirimu sendiri. Jika ada kelebihan, berilah kepada keluargamu. Dan jika masih juga ada lebih, berilah kepada kaum kerabat. Dan jika masih ada lebih, maka berilah kepada sesiapa yang dikehendaki.”

Islam membolehkan supaya bantuan atau sedekah dihulurkan secara terang-terangan atau secara tersembunyi sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 274 yang tafsirnya :

“Orang-orang yang membelanjakan harta-harta mereka pada waktu malam dan siang dengan cara bersembunyi-sembunyi dan berterang-terangan maka bagi mereka ganjaran pahala di sisi Tuhan mereka dan tidaklah ada ketakutan atas mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Jika sedekah secara terang-terangan memang dibolehkan, asalkan tiada mengandungi niat untuk bermegah atau menunjuk-menunjuk. Kerana jika ada niat sedemikian itu, dikhuatiri pahala tidak diperolehi, tetapi dosa pula yang dapat. Tetapi jika niatnya untuk menggalakkan dan memberi contoh teladan yang baik kepada orang lain supaya membuat kebajikan yang sama, itu tidaklah mengapa.

Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan..”

Dalam pada itu, Islam sangat menggalakkan supaya bantuan atau sedekah itu dihulurkan secara tersembunyi, yang dimaksudkan dalam hadits bahawa tangan kanan yang menghulur, tetapi tangan kiri tidak mengetahuinya. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sebuah hadits dari Hakim bin Hizam Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah telah bersabda yang maksudnya :

“Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Dan mulailah dari orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-baik sedekah adalah dikeluarkan dari orang yang berada kecukupan (kekayaan). Barangsiapa menjaga kehormatan dirinya maka Allah akan menjaganya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.”

Justeru itu, bagi memastikan agar sedekah itu tidak sia-sia, Islam mengajar umatnya untuk menyumbang dan bersedekah dengan menepati erti sedekah yang sebenar iaitu melakukannya dengan penuh keikhlasan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apatah lagi pada masa ini, kita di dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan istimewa di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjanjikan semua amal kebajikan yang dibuat di bulan ini akan digandakan pahalanya oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala berpuluh kali ganda. Dalam memberikan sedekah di bulan puasa ini, tidak  melihat kepada faqir miskin semata-mata, tetapi sedekah juga boleh diberikan kepada golongan yang bukan miskin seperti memberi makan bagi berbuka puasa untuk orang yang berpuasa. Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dari Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam bersabda : "Barangsiapa yang menjamu orang yang berpuasa, nescaya dia akan mendapat pahala seperti  orang yang berpuasa itu sendiri, tanpa kurang sedikit jua pun."

Selain itu juga, sedekah yang dihulurkan itu termasuklah juga zakat fitrah atau zakat badan yang menjadi kewajipan setiap orang Islam mengeluarkannya. Masa untuk mengeluarkan zakat fitrah ini ialah bermula dari awal bulan Ramadhan hinggalah sebelum orang mengerjakan sembahyang Hari Raya Aidil Fitri sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Abbas, dia berkata yang maksudnya :

“Rasulullah telah memfardhukan sedekah fitrah (zakat fitrah) itu adalah untuk mensucikan diri orang yang berpuasa daripada kelalaian, kekotoran, dan untuk memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang mengeluarkannya sebelum berlangsungnya sembahyang Hari Raya Aidil Fitri, maka zakat fitrah itu diterima Allah, tetapi barangsiapa yang mengeluarkannya selepas sembahyang Hari Raya Aidil Fitri, maka zakat fitrahnya itu hanya merupakan satu jenis sedekah biasa sahaja.”

Oleh itu, kaum muslimin dan muslimat adalah diingatkan supaya waspada, jangan lalai dan terlupa untuk menunaikan kewajipan membayar zakat ini. Jika zakat ini dilakukan selepas sembahyang Hari Raya Aidil Fitri, jadilah ia seperti zakat biasa sahaja. Bermakna orang itu menanggung dosa tidak membayar zakat fitrahnya pada tahun ini. Zakat ini juga sebenarnya bertujuan untuk menambal dan menampung apa jua kekurangan dalam puasa Ramadhan yang telah dilaksanakan.

Semoga dengan amalan sedekah dan membayar zakat ini, kita akan terus mendapat berkat, rahmat dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

آمين يا رب العالمين

 

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan