Bukit Safa dan Bukit Marwah merupakan dua buah bukit yang terletak di dalam Masjidil Haram di Kota Mekah, Arab Saudi. Bukit Safa terletak lebih kurang setengah batu dari Ka'abah dan Bukit Marwah terletak lebih kurang 100 kaki dari Ka'abah. Bukit Safa dan Marwah merupakan tempat bersejarah bagi umat Islam suatu ketika dahulu. Di dua bukit inilah Siti Hajar berulang-alik sebanyak tujuh kali untuk mencari air untuk anaknya Nabi Ismail 'alaihissalam yang pada ketika itu kehausan setelah bekalan mereka kehabisan. Akhirnya dengan pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala, air memancar keluar berhampiran kaki anaknya Nabi Ismail 'alaihissalam. Air itu menjadi bertambah banyak dan Siti Hajar meletakkan batu di sekeliling air tersebut yang juga dikenali sebagai air Zamzam. Perjuangan Siti Hajar mencari air dengan berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah diabadikan dalam ibadah haji dan umrah, iaitu ibadah sa'ie. Dengan melakukan sa'ie sebanyak tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, kita dapat merasakan perjuangan Siti Hajar ketika mencari air untuk kelangsungan hidup beliau dan anaknya.
Translate
Tuesday, February 24, 2026
ASAL USUL AIR ZAMZAM
Monday, February 09, 2026
JUDI DALAM PERTANDINGAN
Judi Dalam Pertandingan
Allah Subhanahu
Wata’ala menciptakan manusia untuk beribadat kepada-Nya dan mengurniakan nikmat
untuk kita gunakan di jalan yang diredai-Nya. Manusia diberikan
akal fikiran supaya tidak tunduk kepada hawa nafsu. Manusia juga dianugerahkan panca indera untuk mencari rezeki
serta menikmati kehidupan di muka bumi ini. Islam memerintahkan kita berusaha
mengikut landasan yang benar, menjauhi perkara-perkara haram seperti kekerasan,
penindasan, penipuan, rasuah, riba, judi dan bermacam-macam lagi kemungkaran.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat
90 tafsirnya:
“Wahai
orang-orang yang beriman, bahawasanya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi
nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor keji dari perbuatan
syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.”
Adapun yang
dimaksudkan dengan judi itu ialah tiap-tiap perkara yang ada di dalamnya beradu
nasib atau pertaruhan baik sedikit atau banyak, kecil atau besar, sama ada melalui
permainan, hiburan dan sebagainya.
Di antara
permainan berunsur judi yang dapat dilihat secara terang-terangan ialah
permainan daun terup, loteri, main katam, nombor ekor dan apa sahaja pertaruhan
seperti pertaruhan di dalam pertandingan sukan, perlumbaan dan yang
seumpamanya.
Selain itu
juga, pada zaman sekarang ini, judi menjadi semakin mudah untuk dilakukan
umpamanya melalui internet dan melalui telefon bimbit seperti permainan judi online termasuklah aplikasi telefon bimbit yang ada unsur-unsur judi di
dalamnya. Kadang-kadang tanpa kita sedari, terdapat perbuatan yang kita lakukan
terkandung di dalamnya unsur judi.
Apapun jua
jenis pertandingan atau peraduan yang berbentuk pertaruhan wang atau harta dari
pihak-pihak yang menyertai pertandingan atau peraduan itu dan mereka semuanya
sama-sama mempunyai peluang untuk mendapat habuan atau keuntungan dan sama-sama
juga mempunyai risiko menanggung kerugian, sementara pihak yang menang akan
mengambil habuan daripada pihak yang kalah, maka pertandingan atau peraduan
seperti itu adalah dikategorikan sebagai judi.
Tanpa kita
sedari terdapat pertandingan atau peraduan masa kini yang berunsur judi. Dalam
pertandingan atau peraduan masa kini kebanyakannya ada mensyaratkan bayaran
penyertaan. Contohnya dalam pertandingan sukan dan sebagainya. Jika hadiah
pertandingan tersebut diperolehi dari bayaran penyertaan para peserta, maka
pertandingan itu adalah judi.
Oleh itu,
hendaklah kita berhati-hati dan peka dengan pertandingan atau peraduan yang ada
mensyaratkan bayaran kerana ia boleh jatuh kepada perjudian tanpa kita sedari.
Semua pihak lebih-lebih lagi para penganjur terutama sekali mereka yang terdiri
daripada orang Islam hendaklah sentiasa peka terhadap hukum syarak.
Perlu difahami
bahawa permainan berunsur judi ialah setiap permainan yang di dalamnya
mengandungi unsur taruhan (harta atau material) di mana pihak yang menang atau untung berhak
mengambil (merampas) harta atau material dari pihak yang kalah. Secara amnya dapatlah
dijelasksan bahawa dalam judi ada tiga unsur utama, iaitu:
Pertama: Adanya
pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang sedang berjudi.
Kedua: Ada
suatu permainan untuk menentukan pihak yang menang dan kalah.
Ketiga: Pihak
yang menang akan mengambil harta yang menjadi taruhan dan pihak yang kalah akan
kehilangan hartanya.
Sesungguhnya
judi sangat berbahaya dan boleh mengancam negara dan seterusnya menjadikan kita
tidak lagi berada di landasan yang betul. Oleh itu, ada beberapa langkah yang
boleh diambil dalam menghindarkan diri dari terjerumus dengan kegiatan judi,
antaranya ialah:
Pertama: Meneguhkan keimanan.
Iman adalah
salah satu kekuatan yang dapat menjaga manusia daripada melakukan
perkara-perkara mungkar. Iman juga mengangkat manusia ke jalan kemuliaan.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Thaha ayat 75, tafsirnya:
“Dan
sesiapa yang datang kepada-Nya dalam keadaan beriman lagi telah mengerjakan
amalan-amalan soleh maka mereka itulah yang beroleh darjatdarjat yang tinggi di
sisi Allah.”
Jika iman
seseorang itu teguh, maka dia akan dapat menahan diri dari tunduk kepada
pujukan dan hasutan syaitan dan dapat menjaga hawa nafsu.
Kedua: Meningkatkan pengetahuan dan penghayatan
agama Islam bagi memastikan tahap kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap
agama terus meningkat khususnya tentang haramnya dan bahayanya judi. Pendidikan
agama hendaklah dititikberatkan dan diberi keutamaan oleh semua pihak terutama
ibu bapa, penjaga, pendidik dan pemimpin masyarakat.
Ketiga: Melaksanakan ‘Amar Ma’aruf Nahi Mungkar’.
Berlakunya
kemungkaran dan pelbagai gejala sosial hari ini adalah disebabkan oleh pudarnya
semangat umat Islam untuk menegakkan dan melaksanakan ‘Amar Ma’aruf’ di antara
sesama mereka. Sikap camah mata dan tidak ambil peduli serta takut untuk
menegur kemungkaran segelintir daripada kita boleh menjejaskan keamanan,
keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Sebagai seorang Mukmin, kita adalah bersaudara dengan Mukmin yang
lain. Jika seorang Mukmin melihat kemungkaran yang dilakukan oleh saudaranya
yang lain, mereka hendaklah sama-sama membetulkan kesilapan tersebut. Jika
saudaranya bertindak melampaui batasan, hendaklah dia segera menahannya. Mereka
hendaklah saling tolong-menolong agar tidak menganiaya diri sendiri dan juga
saudaranya yang lain.
Ingatlah wahai
kaum Muslimin, bahawa berjudi itu perbuatan maksiat. Wang yang diperolehi
daripada judi adalah haram. Tidak boleh digunakan, apatah lagi jika digunakan
untuk makan minum anak dan isteri.
Oleh itu,
berhati-hatilah dalam mencari rezeki. Jauhkan diri dari perkaraperkara yang
haram dan syubhah. Bersyukurlah walaupun rezeki hanya sedikit, asalkan halal
dan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sesungguhnya
kita hidup di dunia ini hanya sementara dan penuh dengan ujian, cubaan dan
godaan. Maka kita sebagai umat Islam janganlah sampai terjerumus ke lembah judi
kerana inginkan kemewahan.
Akhirnya,
sama-samalah kita berdoa semoga kita semua terhindar dari mengikut kehendak dan
hasutan syaitan yang sentiasa mengajak kita melakukan dosa dan maksiat.
Mudah-mudahan kita semua tergolong ke dalam golongan orang-orang yang sentiasa
melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan meninggalkan
segala larangannya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah
Al-Maidah ayat 91, tafsirnya:
“Sesungguhnya
syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan
sebab meminum arak dan bermain judi dan menghalangi kamu daripada mengingati
Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti daripada
melakukan perbuatan keji itu?”
JUDI UNTUNG ATAU RUGI
Pendahuluan
Kenaikan mata wang dunia dan gaya
taraf kehidupan masyarakat yang semakin meningkat menjadikan masyarakat dunia
masa kini salingberlumba-lumba mengejar kesenangan dan kemewahan harta benda
tanpamengira apa jua cara sekalipun. Selagi adanya peluang untuk
mendapatkankeuntungan, pasti ramai yang akan cuba menceburinya. Cuma
yangmembezakannya ialah bagaimana dan apakah cara yang digunakan olehseseorang
untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan.
Dalam hal ini, untuk
memperolehikehidupan yang selesa, baik dan kukuh, Islam menggalakkan umatnya
mencari harta dengan hasil usahanya sendiri. Selain itu juga, Islam telah
menggariskan tentang panduan pendapatan dan rezeki yang halal di sisi agama
serta mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Diriwayatkan oleh Imam
Ahmad dalam kitab musnadnya daripada Amir daripada bapa saudaranya sebelah
ibunya berkata: ِ
Maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
sallam telah ditanya mengenai pekerjaan yang paling utama. Baginda menjawab,
“Berjual beli yang diberkati dan usaha seseorang yang dilakukan dengan
tangannya sendiri.” Namun begitu, masih terdapatsegelintir umat Islam yang cuba
untuk mencari rezeki tanpa memikirkan halal haram perbuatan yang mereka lakukan
asalkan ianya membawa keuntungan kepada mereka dengan cepat dan sekelip mata
walaupun perbuatan itu salah dan dilarang di sisi agama Islam seperti menipu,
mencuri, memeras ugut, rasuah, riba dan pecah amanah serta menganggap perbuatan
tersebut sebagai salah satu cara yang elok untuk mereka mendapatkan keuntungan.
Di antara perbuatan haram dan dilarang oleh syara’ yang masih dilakukan oleh
segelintir umat Islam ialah bermain judi. Secara amnya, judi adalah satu
permainan yang menggunakan wang atau harta benda sebagai pertaruhan untuk
menarik minat seseorang dengan kadar yang cepat dan mudah untuk diperolehi tanpa
perlu bekerja dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Permainan judi ini
menjadi satu penyakit yang susah diubati apatah lagi sifat tabi‘e manusia yang
suka akan kesenangan dan kemewahan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dalam surah Aali-‘Imraan ayat 14:
Mafhumnya:
Dihiaskan (dijadikan indah) bagi
manusia kecintaan kepada keinginan-keinginan nafsu iaitu menyukai perempuan,
anak pinak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan lagi
terlatih serta binatang-binatang ternakan dan tanam-tanaman. Semuanya itu
adalah kesenangan hidup di dunia. Padahal di sisi Allah ada sebaik-baik tempat
kembali (iaitu syurga).
Dari itu, umat Islam perlu
berhati- hati dalam giat mencari harta benda kerana ditakuti akan terjebak
dengan perkara-perkara maksiat dan mungkar yang ditegah dalam Islam yang
membawa kepada haram. Pengertian Judi Perkataan Arab untuk judi adalah maisir (ميسر)
yang berasal dari perkataan yasara (يسر
) atau yusr bermaksud mudah atau yasar
bermaksud kekayaan. Maisir juga
ditakrifkan oleh para ulama Islam
sebagai qimar (قمار) yang bermaksud pertaruhan dan menang. Menurut Ensiklopedia Hukum Islam, maisir adalah suatu bentuk permainan yang mengandungi unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapatkan taruhan tersebut.
Secara amnya, dalam judi terdapat tiga unsur utama iaitu:
1. Adanya pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang berjudi.
2. Ada suatu permainan untuk menentukan pihak yang menang dan yang kalah.
3. Pihak yang menang mengambil harta yang menjadi taruhan (murahanah) manakala pihak yang kalah akan kehilangan hartanya.
Jenis-jenis Judi Judi Zaman Jahiliyah:
Al-Mukhatarah iaitu permainan yang melibatkan dua orang atau lebih yang mempertaruhkan harta dan isteri mereka dalam sesuatu permainan. Orang yang menang berhak mengambil harta dan isteri pihak yang kalah dan dapat
diperlakukan sesuka hati sama
ada mengahwininya atau dijadikan
hamba atau gundik.
At-Tajzi’ah iaitu 10 orang
bermain kad
daripada potongan kayu. Ada
10 keping kad, tujuh kad diberi angka satu hingga tujuh dan tiga kad kosong sehingga semua angkanya berjumlah 28. Kemudian seekor unta dipotong menjadi 28 bahagian. Setiap peserta diundi untuk mengambil potongan daging sesuai angka pada kad yang diperolehi. Tiga peserta yang mendapat kad kosong dianggap kalah dan perlu membayar harga unta.
Judi Zaman Moden:
• Pelbagai bentuk permainan dan perlumbaan pada masa ini termasuk dalam kategori judi mengandungi unsur taruhan atau mengadu nasib dan salah satu pihak akan menerima kerugian.
• Contoh: Daun terup, loteri,
main ketam, nombor
ekor pertaruhan lumba
kuda, perlawanan sukan, lumba
kereta, peraduan kuiz, teka-teki,
jualan lelong dan permainan
yang terdapat di pusat-pusat
permainan yang mengandungi
unsur-unsur judi.
• Aktiviti perjudian dijalankan dengan mudah dan dijalankan di mana-mana sahaja menggunakan bantuan alat-alat kemudahan yang berteknologi tinggi seperti internet, telefon bimbit dan mesin slot.
Perbezaan Antara Permainan judi
dan Permainan tanpa judi
Tidak semua permainan termasuk dalam
kategori judi. Perbezaan judi dan permainan tanpa judi ialah jika permainan
yang pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga bukan dari
pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan
pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.
Permainan Berunsur Judi
Permainan berunsur judi ialah setiap
permainan yang di dalamnya mengandungi unsur pertaruhan (harta atau material).
Pihak yang menang atau beruntung berhak mengambil (merampas) harta atau material
yang dipertaruhkan dari pihak yang kalah.
Punca judi
Judi adalah seperti parasit yang
terus membiak dan menjadi barah jika tiada usaha untuk membendungnya. Kesannya
bukan sahaja memberi impak yang buruk kepada diri sendiri bahkan juga kepada
sekelilingnya.
Antara punca berlakunya kegiatan judi
ialah:
a) Lemahnya iman.
Iman yang lemah akan mengundang
gejala kesesatan dan kemaksiatan terutama dari segi akidah. Ia juga memudahkan musuh
Islam mengambil peluang untuk mempengaruhi akal fikiran mereka sehinggakan
perbuatan yang salah dan haram tidak diendahkan lagi.
b) Kurang pengetahuan dan penghayatan
agama Islam.
Kelemahan umat Islam masa kini berpunca
daripada kurangnya kesedaran dan penghayatan terhadap didikan agama. Kesibukan
mengejar kemewahan dan keseronokan duniawi menjadikan sesetengah mereka lupa
pada mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama bagi membentuk iman yang kukuh yang
boleh menjadi benteng pertahanan diri daripada sebarang pengaruh yang negatif. Kurang
penghayatan dan gagal mengaplikasikan ilmu pengetahuan agama Islam dalam kehidupan
seharian juga sering terjadi hingga terjebak dalam perbuatan yang tidak
bermoral dan hati mereka dikuasai oleh nikmat dunia.
c) Mengikut hawa nafsu
Mereka yang terjerumus dalam kegiatan
judi ini adalah mereka yang terlalu mengikut hawa nafsu dan bisikan hasutan
syaitan. Mereka tidak mampu menahan hawa nafsu dan menjadi tamak serta
cenderung berbuat salah sehingga mengetepikan agama dan membuat perkara haram
dan maksiat.
d) Sosio ekonomi yang rendah
Pendapatan yang rendah dan mempunyai
tanggungan yang ramai adalah antara penyebab mencari jalan pintas untuk mencari
sumber pendapatan tambahan tanpa berfikir panjang. Tidak ada jaminan kesenangan
bagi mereka yang bermain judi meskipun ada yang beranggapan judi boleh membantu
golongan miskin dan menggembirakan orang yang untung dengan menjadikan orang
miskin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.
Kesan Judi
Pelbagai akibat atau kesan buruk yang
boleh terjadi kepada individu
yang hanyut dengan kancah perjudian.
Antaranya ialah:
1. Terlalu obses berjudi boleh membawa
kepada kerosakan dan keruntuhan akhlak dan moral bukan sahaja kepada individu terbabit
malah kepada kaum keluarga dan masyarakat.
2. Amalan judi menjadikan
individu cenderung kepada sifat dendam, permusuhan, pergaduhan atau pertelingkahan
dan tamak haloba berpunca daripada keinginan untuk memperolehi kesenangan serta
kekayaan dengan cara bathil iaitu jalan mudah tanpa usaha yang dibenarkan oleh
syara’.
3. Judi dapat menjerumuskan mereka
yang terlibat di dalamnya ke dalam lembah maksiat dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab
terutama kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
4. Aktiviti judi juga menyebabkan
penjudi dibebani dan dibelenggui dengan hutang piutang sehinggakan terpaksa
berhutang melalui ceti haram.
Akibat taksub akan berjudi juga menyebabkan
akidah penjudi terpesong kerana mempercayai perkara-perkara khurafat seperti berjumpa
bomoh, mengunjungi kubur bagi mendapatkan nombor ekor, mendapatkan nombor kenderaan
yang terlibat dalam kemalangan, mendapatkan nombor dari mimpi yang dipercayai
membawa tuah dan keuntungan kepada si penjudi tersebut.
Cara Mengatasi Masalah Judi
• Teguh dan Tingkatkan keimanan
Iman adalah kekuatan yang dapat menjaga
manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala dalam surah Thaahaa ayat 75:
Mafhumnya:
Dan siapa yang datang kepada-Nya dalam
keadaan beriman lagi telah mengerjakan amalan-amalan shalih maka mereka itulah
yang beroleh darjat-darjat yang tinggi (di sisi
Allah).
·
Meningkatkan pengetahuan dan
penghayatan agama Islam
Setiap individu muslim hendaklah menghayati
dan mengukuhkan pengetahuan tentang agama Islam agar tidak tergelincir daripada
ajaran dan aqidah Islam serta memastikan tahap kefahaman dan penghayatan
terhadap agama Islam terus meningkat, dititikberatkan dan diberi keutamaan.
• Melaksanakan amar ma‘ruf nahi
mungkar
Sesungguhnya tidak camah mata dan
menegakkan amar ma‘ruf nahi mungkar merupakan tanggungjawab setiap muslim untuk
menjamin keadilan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Sebagai
seorang mu’min, kita adalah bersaudara dengan mukmin yang lain. Jika melihat
kemungkaran dan perbuatan melampaui batas, ianya perlu ditahan segera dan diperbetulkan.
Imam al-Bukhari dalam kitab shahihnya meriwayatkan daripada Anas bin Malik,
Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam bersabda: َ
Maksudnya:
“Bantulah saudaramu baik dia
zalim mahupun dizalimi,” para sahabat bertanya: “Apabila dizalimi kami
membantunya tetapi bagaimana membantunya jika dia zalim?” Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan: “Engkau perlu menahannya dari
membuat zalim, itulah cara membantunya.”
Penutup
Perbuatan judi sememangnya
ditegah dan diharamkan dalam syariat Islam tidak kira sama ada ianya dijadikan
sebagai alat permainan untuk hiburan ataupun sebagai sumber untuk mencari
pendapatan. Perbuatan judi tidak membawa keuntungan malah ianya menjadikan
seseorang itu dalam kerugian kerana boleh merosakkan aqidah dan meruntuhkan
akhlak serta jati diri individu tersebut sebagai seorang muslim. Berpaksikan
iman yang teguh dan pengetahuan agama yang luas boleh dijadikan benteng
pertahanan diri seorang muslim dari terikut dan terjebak pada kancah perjudian
lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang banyak mengelirukan minda yang
menjadikan judi dalam pelbagai bentuk seperti peraduan dan pertandingan yang
mengaburkan mata umat Islam.
PENGHARAMAN CLAW MACHINE
Selaras dengan
peredaran masa dan perkembangan teknologi, pelbagai permainan elektronik turut
berkembang di premis-premis perniagaan dan seterusnya menarik minat serta
menjadi kesukaan orang ramai terutama golongan remaja dan kanak-kanak.
Antaranya yang menimbulkan perdebatan ulama pada masa kini adalah
permainan ‘claw machine’ atau mesin cakar. Mesin tersebut adalah sejenis
permainan arked yang menggunakan cakar besi untuk memperolehi barangan-barangan
menarik yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Pengguna perlumemasukkan
duit terlebih dahulu sebelum menggunakan mesin tersebut, namun tidak terjamin
sama ada berjaya atau tidak memperolehi barang berkenaan. Justeru, hukum
bermain permainan ini telah disepakati haram dan dilarang kerana permainan ini
jelas memiliki unsur-unsur judi dan ia bergantung kepada nasib serta melibatkan
pertaruhan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman dalam surah al-Maa’idah ayat
90, mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi,
pemujaan, berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan)
keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu
beroleh kemenangan (dan keberuntungan).
Jabatan Mufti Kerajaan telah mengeluarkan fatwa secara ringkasnya
seperti berikut: Berdasarkan cara permainan Claw Machine ia adalah mempunyai
usur-unsur judi seperti berikut;
i.
Pemain
disyaratkan untuk membayar sejumlah wang sebagai taruhan bagi mendapatkan
hadiah;
ii.
Permainan
ini lebih banyak bergantung kepada nasib sama ada akan dapat hadiah atau tidak;
dan
iii.
Permainan
ini mempunyai risiko untung atau rugi.
Oleh itu, umat Islam dan khasnya ibu bapa perlu memantau anak-anak
agar tidak bermain atau melibatkan diri dalam permainan ini dan permainan-
permainan yang seumpamanya. Begitu juga haram hukumnya melibatkan diri sama ada
sebagai penyedia permainan, pengiklan dan lain-lain mengenainya kerana ia
merupakan satu dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Moga-moga dengan kita meninggalkan langsung dan tidak mendekati perkara-perkara
yang telah diharamkan itu, dapatlah kita mendapat kejayaan di dunia dan
akhirat.
وبالله
التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Wednesday, January 21, 2026
PENGAJARAN DARI PERISTIWA ISRA' DAN MI'RAJ
Walaupun peristiwa Isra' dan
Miraj ini merupakan kejadian yang hanya berlaku ke atas diri baginda Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam, di mana baginda diperlihatkan tanda-tanda
kebesaran Allah Yang Maha Agung, namun di sebalik segala apa yang diperlihatkan
itu mengandungi maksud yang lebih luas atau mendalam dan lebih umum daripada
ianya hanya menjadi suatu lipatan dalam sejarah sahaja.
Sebenarnya kejadian peristiwa
Isra' dan Mi'raj ini merupakan suatu gambaran tentang beberapa aspek penting
dalam kehidupan umat manusia hari ini. Ianya mengandungi berbagai pengajaran
serta contoh teladan. Namun, mungkin ada yang terlepas pandang atau tidak
mengambil berat tentang kepentingan dan pengajaran yang terkandung di dalamnya.
Di antara beberapa pengajaran
yang dapat disimpulkan melalui peristiwa Isra' dan Mi'raj ini iaitu sebagai
pengetahuan dan untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba
Allah Subhanahu wa Ta'ala di muka bumi ini ialah:
1. Terjadinya peristiwa ini
dengan bermulanya detik-detik sebelum Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
diisra' kan, Malaikat Jibril 'alaihissalam telah menemui baginda, lalu membelah
dada baginda yang mulia dan menyucinya dengan air zamzam. Kemudian diambilnya
bejana yang berisi hikmat dan iman, lalu dicurahkannya ke dalam dada baginda
dan ditutupnya kembali dada baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.
Peristiwa ini jika diaplikasikan
ke dalam diri kita, maka akan dapat memberi kesedaran betapa mustahaknya pembersihan
rohani pada setiap masa dalam kehidupan ini. Inilah juga yang terjadi
kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila pembersihan hati ke atas
diri baginda juga berlaku beberapa kali dalam hidup baginda.
Apa yang dimaksudkan dengan
pembersihan rohani di sini ialah kesedaran untuk bertaubat daripada melakukan
perbuatan ataupun perkara-perkara yang keji. Ini sememangnya menjadi tuntutan
dalam Islam supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma'shum wajib
melakukan taubat pada setiap ketika. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman
dalam Surah at-Tahriim ayat 8, yang menjelaskan tentang wajibnya bertaubat dan
kedudukan bagi orang yang bertaubat sebagaimana berikut:
Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari (Kiamat) yang Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, cahaya (iman dan amal salih) mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka sambil mereka berkata: “Ya Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
2. Allah Subhanahu wa Ta'ala menguji
keimanan seseorang hambaNya sama ada mempercayai tentang peristiwa Isra'
dan Mi'raj ini ataupun sebaliknya. Kerana apabila imannya kuat, maka tidak ada
alasan apapun untuk menolak segala sesuatu dan seterusnya ia akan sanggup
memikul segala kewajipan yang diperintahkan ke atasnya, termasuklah keutamaan
dalam melaksanakan ibadah sembahyang yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu
wa Ta'ala melalui peristiwa Mi' raj Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
Ini menunjukkan pengkhususan ibadah sembahyang itu sebagai ibadah utama dalam
Islam berbanding ibadah lainnya.
3. Adalah juga menjadi kewajipan
ke atas umat manusia untuk beriman (percaya) dan berpegang teguh atas apa yang
disampaikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sesuai dengan apa yang telah
dijelaskanNya melalui firmanNya di dalam al-Qur'an dan juga dengan apa yang
telah dikhabarkan dan diperingatkan melalui sunnah atau hadits-hadits
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
4. Dalam peristiwa ini,
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah diberikan pilihan untuk memilih
di antara minuman arak atau susu, dan baginda telah memilih susu. Ini
menggambarkan apabila seorang manusia mempunyai iman dan bersihkan hatinya,
maka dıa akan memilih sesuatu yang baik untuk keperluan hidupnya, sama ada
memilih dari segi makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Akan tetapi jika
hidup seseorang itu tanpa berlandaskan iman, maka ia hanya akan memilih jalan
hidup mengikut hawa nafsu.
5. Dalam perjalanan Mi'raj
Rasulullah Shallallahu 'alaihiwasallam, baginda telah diberikan penghormatan
untuk berjumpa dengan nabi-nabi yang lain iaitu Nabi Adam 'alaihissalam, Nabi
Isa 'alaihissalam, Nabi Yahya 'alaihissalam, Nabi Idris 'alaihissalam, Nabi
Yusuf alaihissalam, Nabi Harun 'alaihissalam, Nabi Musa 'alaihissalam dan Nabi
Ibrahim 'alaihissalam. Dalam hal ini, dapat kita ambil pengajaran bahawa
pentingnya untuk sentiasa menjalin hubungan silaturrahim dengan sesama manusia.
Walaupun kedudukan Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam adalah sebagai penghulu segala nabi, namun baginda
tidak sombong. Baginda tetap menghargai dan menghormati nabi-nabi yang lain
dengan menziarahi dan menjalinkan hubungan silaturrahim dengan mereka.
6. Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wasallam telah menceritakan tentang balasan baik dan buruk yang telah
diperlihatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam perjalanan Mi'raj baginda.
Ini menunjukkan kepada kita
bahawa hukuman atau azab neraka pasti berlaku kepada sesiapa yang melakukan
perkara-perkara yang keji dan ganjaran yang baik dengan mendapat balasan syurga
juga pasti diterima bagi mereka yang sentiasa berbuat kebaikan.
(Petikan daripada Buku Peristiwa
Isra’ Dan Mi’raj Dalam Al-Qur’an Dan As-Sunnah, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah)




.png)
.jpg)
