Air Zamzam berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud banyak atau melimpah. Air Zamzam mempunyai asal-usul yang sangat istimewa dan berkait rapat dengan sejarah Nabi Ibrahim 'alaihissalam, isterinya Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail 'alaihissalam. Cerita ini bermula beribu tahun yang lalu di sebuah lembah yang kering dan tandus di Mekah, Arab Saudi. Kisahnya bermula apabila Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail 'alaihissalam ditinggalkan berdua dan mereka kehabisan makanan dan minuman. Melihat anaknya kehausan Siti Hajar berlari-lari anak antara bukit Safa dan Marwah berharap dapat mencari sumber air. Ketika hampir berputus asa, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengirimkan Malaikat Jibril membantu Nabi Ismail 'alaihissalam menghentakkan tumit kakinya ke tanah dan dengan izin Allah air mula memancar keluar dari tempat di mana Nabi Ismail diletakkan. Air yang keluar itulah yang dikenali sebagai air Zamzam. Mengikut riwayat lagi, inilah kali kedua Malaikat Jibril memancarkan air Zamzam. Kali pertama ialah memancarkannya untuk Nabi Adam 'alaihissalam, tetapi telah tertimbus dan terputus semasa taufan zaman Nabi Nuh 'alaihissalam. Air Zamzam bukan sahaja memberi kehidupan kepada Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail 'alaihissalam, tetapi juga menjadi sumber kehidupan bagi penduduk Mekah pada ketika itu. Dengan adanya air tersebut, kawasan yang dahulunya tandus itu menjadi tempat subur dan orang mula tinggal di sana. Keajaiban air Zamzam ini ia tidak pernah kering sehingga ke hari ini dan ia mejadi salah satu keistimewaan yang diberikan kepada umat Islam. Umat Islam yang menunaikan ibadah haji dan umrah juga berpeluang untuk meminum air Zamzam sebagai satu simbol keberkatan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Hadits Riwayat Imam ath-Thabarani dalam kitab mu'jamnya meriwayatkan daripada Ibnu 'Abbas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang maksudnya: "Sebaik-baik air di muka bumi ialah air Zamzam"

No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan