Saturday, June 16, 2012

Isra’ Bukan Sekadar Mimpi.

gambar asal :http://world-travel-advisor.com
gambar asal :http://www.islamlaws.com





Peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagaimana lazimnya yang telah kitani ketahui dan dengar... ianya berlaku pada malam yg sama dan kitani tahu bahawa perjalanan agung ini merupakan salah satu peristiwa penting di dalam sejarah kehidupan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kenapa perjalanan ani merupakan perjalanan yang agung dan luarbiasa? Inilah buktinya... Firman Allah ayat 1 surah al-Isra’:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ
الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (1)

Tafsirnya :
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada bukti-bukti (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.”

Kitani lihat apa pendapat ulama tafsir seperti al-Qurthubi, at-Thabari, Ibn Kathir dan banyak lagi, di mana rata-rata mereka berpendapat bahawa ayat pertama surah al-Isra’ ani dimulai dgn tasbih iaitu ‘سُبْحَانَ’, yakni “Maha Suci Allah” bagi menunjukan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa yang menakjubkan dan datangnya dari Allah ‘Azza wa Jalla.

Perkataan ‘Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallamini mengikut pendapat al-Qurthubi ianya merupakan zikir yang agung, yang lazim digunakan untuk menunjukkan perasaan takjub, kehairanan ataupun keajaiban terhadap sesuatu perkara. Jadinya di sini dapat kitani fahami bhw peristiwa ini merupakan satu peristiwa yg sangat luar biasa iaitu di luar dari kelaziman atau kebiasaan yang difikirkan atau diterima oleh akal manusia... kerana apa? Kerana peristiwa ini merupakan kuasa Allah Subhanahu wa Ta’ala dan ‘سُبْحَانَ’ jua bermaksud: “Mensucikan dan membebaskan Allah dari segala keburukan dan kekurangan.”[1]

Terdapat satu hadits yang diriwayatkan oleh at-Thabraani menjelaskan makna سُبْحَانَ الله’, baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

وَالتَّسْبِيحُ تَنْزِيهُ اللَّهِ مِنْ كُلِّ سُوءٍ[2]
Maksudnya:
“Dan Tasbih itu mensucikan Allah dari segala keburukan.”

Dalam memperkatakan dan bercakap mengenai peristiwa Isra’ dan Mi’raj ani, ulama tidak terlepas daripada perbezaan pendapat mengenai keadaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda diisra’kan, adakah baginda melakukan perjalanan agung ini dalam keadaan jaga; yakni dengan jasad dan roh atau dalam keadaan ar-Ru’ya yakni mimpi atau dalam keadaan tidur iaitu dengan roh sahaja?

Sekelompok ulama berpendapat bahawa isra’ itu dengan roh sedang jasad baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak meninggalkan tempat tidur baginda. Semuanya adalah mimpi di dalam tidur baginda sahaja dan mimpi para nabi adalah kebenaran. Di antara yang berpendapat sedemikian ialah Mu’awiyah dan Aisyah yang dikisahkan dari al-Hasan dan Ibnu Ishak.

Adapun jumhur ulama berpendapat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah diisra’kan dengan roh dan jasadnya dalam keadaan terjaga, yakni bukan dalam keadaan tidur menuju ke Baitul Maqdis dan kemudian baginda diangkat menuju ke langit dengan roh.[3] Dalil bagi pendapat ini ialah firman Allah di dalam surah al-Isra’ ayat 1:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ
الْأَقْصَى...(1)

Tafsirnya :
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa...”

Ibnu Kathir pula berpendapat bahawa berdasarkan dari ayat di atas, ianya menunjukkan bahawa baginda diisra’kan dengan keadaan jaga serta meliputi jasad dan secara lebih jelas ia dilihat kepada perkataan ‘بِعَبْدِهِ’, yang mana ungkapan yang utuh dan mencakup keduanya iaitu sekelompok roh dan badan. Di samping itu jua, pengucapan tasbih pada di dalam ayat pertama bagi memulakan surah ini pula digunakan bagi perkara-perkara menakjubkan dan besar. Sekiranya peristiwa isra’ ini hanya dalam keadaan baginda tidur dan bermimpi, bermakna hal itu bukanlah suatu kejadian yang besar dan bukan pula ia termasuk dalam peristiwa agung yang penting.[4]

Antara perkara yang perlu kita sebagai umat Islam contohi dan juga insafi dalam mengenang kembali sejarah Isra’ ini ialah kejadian di mana Abu Bakar Radhiallahu ‘anh tetap teguh berdiri di samping Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, menyokong dan membenarkan baginda pada ketika kebanyakannya mencemuh dan menghina baginda. Inilah antara Qudwah Hassanah yang perlu kitani teladi dalam mempertahankan kebenaran agama Islam. Di samping itu jua, kita perlu insafi perbuatan Bani K’ab ibn Luay yang mana apabila di ceritakan kisah Isra’ dan Mi’raj, mereka cuba menguji baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam mengetahui kebenaran, akan tetapi apabila diberikan bukti kebenaran mereka iatu bagi memenuhi permintaan mereka, mereka  tetap tidak berganjak dari perbuatan dusta mereka. Bukankah meminta bukti dan apabila bukti diberikan, pendirian tetap seperti asal itu hanyalah perbuatan dusta semata-mata? Kisah keduanya dapat kita dengarkan begini...

“Telah diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang tidur di rumah Ummu Hani selepas sembahyang Isya’ lalu beliau diisra’kan dan balik pada malam itu juga, dan beliau telah menceritakan kisah Isra’ itu kepada Ummu Hani dan bersabda: “Para Anbia’ telah bertemu dengan aku dan aku bersembahyang mengimamkan mereka.” Kemudian beliau bangun hendak keluar ke masjid, lalu Ummu Hani memegang baju baginda bagi menghalang baginda seraya berkata: “Aku takut kaummu akan mendustakanmu jika engkau ceritakan hal ini kepada mereka.” Baginda menjawab: “Aku tetap keluar walaupun mereka dustakan aku.” Kemudian baginda menemui Abu Jahl, lalu menceritakan kisah Isra’nya.

Abu Jahl yang memang terkenal dengan sikapnya yang menentang baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendapatkan orang ramai dan berseru: “Wahai sekalian Bani Ka’ab ibn Lu’ay! Marilah ke sini.” Lalu beliau menceritakan kepada mereka apa yang telah baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ceritakan. Di antara mereka ada yang mempersendakan cerita tersebut dan tidak kurang pula yang hairan tidak percaya. Beberapa orang telah menemui abu Bakar as-Shiddiq serta menceritakan hal tersebut, lalu beliau bertanya kepada si tukang berita: “Betulkah beliau berkata begitu?” Maka si tukang berita pun berkata: “Ya”. Dan Abu Bakar as-Shiddiq berkata: “Aku akui jika beliau berkata sedemikian, maka semuanya adalah benar”.

Beberapa orang ramai yang hadir mendengar cerita yang sebelumnya pernah ke Baitul Maqdis cuba menguji baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan meminta agar baginda memberikan gambar bentuk masjid, lalu baginda menceritakan rupa bentuk masjid tersebut dan mereka mengakui kebenaran gambaran yang baginda ceritakan. Walau bagaimanapun ketepatan gambaran yang baginda ceritakan masih tidak mengubah penafian mereka. Perkara ini telah baginda ceritakan kepada shabat dan dapat kitani ketahui melalui hadits yang martabatnya adalah Shahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam kitab shahih mereka:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
لَمَّا كَذَّبَتْنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ فَجَلَا اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ[5]

Maksudnya:
“Ketika aku didustakan oleh kaum Quraisy, aku bangun dari tidur di Hijr Isma’il, lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku, maka aku segera memberitahu mereka tentang tanda-tanda Baitul Maqdis, sedang pada saat itu aku melihatnya”.

Dan kemudian mereka menguji lagi dengan meminta baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan tentang jumlah dan keadaan kafilah unta mereka. Lalu baginda ceritakan kepada mereka jumlah bilangan unta mereka beserta keadaan masing-masing kemudian bersabda: “Pada hari sekian… akan tiba satu kafilah iaitu ketika matahari terbit dan akan didahului oleh unta berwarna kelabu”.

Apabila tiba waktu yang disebutkan, golongan tersebut pun segera keluar menuju ath-Thaniyah untuk menunggu ketibaan kafilah tersebut. Seorang daripada mereka berkata: “Demi Allah (kata-kata yang lazim digunakan oleh orang arab), matahari telah terbit”. Dan seorang daripada mereka pula berkata: “Demi Allah, itu dia kafilahtelah sampai dan memang ia didahului oleh unta yang berwarna kelabu tepat seperti yang dikatakan Muhammad”. Akan tetapi mereka tetap tidak beriman…

Penipuan-penipuan seperti ini masih berterusan hingga ke hari ini, walaupun sebenarnya teknik seperti ini sudah digunakan berabad-abad sebelumnya. Di samping itu juga perlu kitani renungi dan contohi sikap Abu Bakar khususnya dalam kita menegakkan kebenaran dan  menyebarkan kebenaran tersebut.


[1] Tafsir al-Qurthubi, Ta’liq: Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, Takhrij: Mahmud Hamid Utsman, Pustaka Azzam -  Jakarta, 2008, m.s: 509
[2] المعجم الكبير للطبرانى، رقم: 6934، الباب: قطعة من المفقود، 351/19
[3] Tafsir al-Qurthubi, Ta’liq: Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, Takhrij: Mahmud Hamid Utsman, Pustaka Azzam -  Jakarta, 2008, Jld: 10, m.s: 516-517
[4] Tafsir Ibnu Katsir, Penyusun: Dr, ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh, Penterjemah: M.Abdul Ghoffar E.M dan Abu Ihsan al-Atsari, Pustaka Imam asy-Syafi’I – Bogor, 2008, Jld: 5, m.s: 132-133
[5]صحيح البخارى، رقم: 3597، الباب: حديث الإسراء، 271/12
  صحيح المسلم، رقم: 249، الباب: ذكر المسيح ابن مريم والمسيح، 140/1
 
*MB-1*

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan